Oleh MOHD LAZIM ENDUT
PENGGUNA jalan raya daripada Pulau Rusa dan Batu Enam tidak perlu lagi memasuki kawasan bandar Kuala Terengganu untuk ke Marang apabila siapnya pembinaan projek Kuala Terengganu Bypass yang juga dikenali sebagai ‘jalan shorcut’ tidak lama lagi.
Projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kuala Ibai ke Durian Burung sejauh enam kilometer beserta dengan jambatan dan ‘calvert’ itu kini dalam proses kerja-kerja persiapan terakhir.
Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Dr Mamad Puteh memberitahu, kerja-kerja bagi projek tersebut kini di sekitar 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun hadapan.
Menurut Dr Mamad, pada awalnya kos pembinaan jalan ini adalah sekitar RM160 juta, tetapi telah ditambah RM60 juta lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM220 juta.

“Projek ini terpaksa mengambil masa untuk disiapkan disebabkan beberapa faktor termasuk masalah pengambilan tanah dan juga perubahan skop kerja melibatkan tanah lembut dan beberapa perkara lain,”ujarnya.
Dr Mamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang memberitahu demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Kuala Terengganu Bypass, baru-baru ini.
Menurut beliau, apabila projek ini siap kelak, ia bukan sahaja dapat memudahkan urusan orang ramai, tetapi juga membantu mengatasi masalah kesesakan jalan raya.
Ini kerana katanya, selepas ini pengguna jalan raya daripada Pulau Rusa, Batu Enam tidak perlu lagi memasuki kawasan bandar Kuala Terengganu untuk ke Marang sebaliknya mereka boleh memasuki ‘jalan shortcut’ dengan keluar di Kuala Ibai.
“Kita berharap projek ini akan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, untuk memberi manfaat kepada kita semua” katanya.
Leave a Reply