ANALISIS
KIRA-kira pukul 4 petang ini, Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan mesyuarat tergemparnya. Kita tidak pasti sama ada keputusan yang akan buat akan menggemparkan atau tidak , selaras dengan ‘kegemparan’ yang ditunggu-tunggu.
Tetapi apa yang pasti sudah ada sumber mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepemimpinan parti yang bersama beliau akan memberi tekanan habis-habisan supaya ahli Parlimen parti itu dalam Kabinet dan GLC meletakkan jawatan.
Melalui tindakan itu, ia dilihat akan ‘memuluskan’ usaha untuk menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kelompok tersebut yang sebahagiannya dianggap ‘kluster mahkamah’ mahu memastikan kali ini MT benar-benar tidak membuat keputusan ‘separuh masak’, justeru tekanan akan diberikan kepada ahli-ahli Parlimen berkenaan untuk meletakkan jawatan.
Kelompok pemimpin dalam ‘kluster mahkamah’ dengan disokong oleh ahli-ahli MT yang bimbang nama tidak disenaraikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti akan berbuat demikian walaupun mereka tahu sebenarnya tidak timbul soal penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam isu pembatalan Ordinan Darurat seperti mana mereka uar-uarkan atau menjadi alasan untuk menarik diri daripada Kerajaan PN.
Walaupun kerajaan sudah memberi penjelasan panjang manakala Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, proses pembatalan sedang berjalan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, namun UMNO khususnya ‘kluster mahkamah’ dan penyokong mereka yang ada antaranya menjadi ‘batu api’ tidak mempedulikannya.
Sepatutnya, UMNO tidak harus tergopoh-gapah mahu membuat keputusan yang boleh menjejaskan bukan sahaja kestabilan politik negara tetapi juga boleh memburukkan keadaan dalam parti itu. Apa akan berlaku jika ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan dan GLC tidak mahu menarik diri? Adakah UMNO tidak akan keluar Kerajaan PN?
Sebab itulah ramai ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi mula bersuara. Dalam media-media sosial sudah tersebar pelbagai pandangan daripada kelompok itu yang mula melihat ‘ada sesuatu yang tidak kena’ di peringkat kepemimpinan pusat.
Kata mereka, seharusnya kepemimpinan UMNO mencari jalan penyelesaian kalau benar pembatalan Ordinan Darurat itu mencetuskan masalah. Sedangkan semua orang tahu apabila UMNO bercakap soal derhaka, maka pakatan pembangkang pun mengambil kesempatan.
Turut dibangkitkan oleh ahli-ahli UMNO, kenapakah sesetengah pemimpin parti itu khususnya yang digelar ‘kluster mahkamah’ beria-ia benar sejak awal penubuhan Kerajaan PN lagi mahu mengkritik apa sahaja dilakukan oleh kerajaan?
Apa lagi mereka mahu? Sedangkan UMNO adalah parti yang kalah dalam pilihan raya? UMNO adalah parti yang ditolak oleh rakyat? Pemimpin UMNO adalah parti yang mencetuskan skandal kewangan sehingga dikatakan menjadi punca BN tumbang? Selama 22 bulan, UMNO dilayan bagaikan sebuah parti yang secebispun tidak melakukan apapun jasa kepada negara ini, belum insafkah?
Tetapi UMNO dijemput masuk ke dalam kerajaan. Ahli-ahli Parlimen UMNO diberikan jawatan kanan dalam Kabinet dan terkini Timbalan Perdana Menteri yang disandang oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kalau sebelum ini mereka kata suara parti itu tidak didengari oleh kerajaan, sekarang pemimpin UMNO menjadi pemimpin nombor 2 dalam kerajaan, sudah pasti Ismail Sabri akan memainkan peranannya.
Oleh itu pemimpin-pemimpin UMNO bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melantik Ismail Sabri. Kalau mereka berhujah kenapa jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diberikan lebih awal, mungkin Ahmad Zahid Hamidi mempunyai berpuluh-puluh kes mahkamah boleh menjelaskannya.
Apapun UMNO tidak boleh mengikut rentak pembangkang tetapi kita boleh faham kenapa pembangkang mahu menjatuhkan kerajaan kerana mereka mahu kembali menjadi kerajaan, tetapi kalau UMNO yang berada dalam kerajaan mahu menumbangkan kerajaan, jangan marah kalau orang tafsir, sahlah sekelompok pemimpin UMNO khususnya mereka dalam ‘kluster mahkamah’ ada agenda peribadi. Soal pembatalan Ordinan Darurat dan kegagalan menangani Covid-19, hanyalah alasan!
Leave a Reply