VAKSINASI secara datang terus bagi warga emas yang belum mendapat tarikh temujanji akan diperluaskan ke seluruh negara bermula minggu depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin berkata, ini selepas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memutuskan untuk memperluaskan pelaksanaan kaedah datang terus bagi warga emas yang dilaksanakan di Lembah Klang ke semua negeri.
Namun beliau menjelaskan, pengumuman dan butiran lanjut mengenai perkara itu akan dibuat oleh badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat negeri.
“Inisiatif itu membabitkan warga emas di luar Lembah Klang yang belum menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan PICK secara maya, hari ini.
Mengulas lanjut Khairy berkata, ada negeri sudah memulakan inisiatif itu dan ada juga negeri yang sudah bersedia.
“Pengumuman akan dibuat oleh CITF peringkat negeri. Di peringkat Persekutuan, negeri (luar Lembah Klang) sudah boleh mulakan pemberian vaksin untuk warga emas belum terima dos pertama.
“Kita sudah serahkan dan turunkan kuasa kepada CITF negeri untuk buat pengumuman,”katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, setakat ini program vaksinasi yang dijalankan di peringkat nasional secara keseluruhannya telah mencapai tahap 95 peratus bagi warga emas yang telah berdaftar di mana kesemua mereka telah mendapatkan suntikan vaksin.
Leave a Reply