Oleh Abu Ubaidillah Rahman
MENTERI Besar, Datuk Seri Azlan Man memaklumkan, Perlis bakal menjadi negeri pertama beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, perkembangan itu akan menyaksikan pelbagai aktiviti khususnya sektor ekonomi dan sosial kembali dibenarkan.
Bagaimanapun katanya, pengumuman rasmi mengenainya akan dimaklumkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat bersama-sama perincian prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai semasa fasa ketiga tersebut.
“Alhamdulillah, hari ini, mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri telah meluluskan pergerakan Perlis ke fasa ketiga PPN.
“Ini bermakna banyak aktiviti harian dan operasi perniagaan tertentu yang boleh dibenarkan. Salah satunya ialah kebenaran untuk makan di restoran, kedai atau gerai makan.
“Bagaimanapun ada SOP yang perlu dipatuhi. Apa pun, tunggu pengumuman rasmi daripada pihak MKN berhubung perkara ini,” katanya hari ini.
Perlis telah memenuhi ketiga-tiga syarat untuk beralih ke fasa tersebut melalui jumlah kes, jumlah katil untuk pesakit Covid-19 dan kadar vaksinasi dua dos.
Sehingga kini, jumlah vaksinasi Covid di negeri ini adalah sekitar 43.5 peratus iaitu melebihi 40 peratus jumlah yang melayakkan negeri ini beralih kepada fasa tiga PPN.
Difahamkan dalam fasa tiga PPP, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi selain rakyat kembali dibenarkan bergerak tanpa had radius dalam Perlis namun pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Leave a Reply