Oleh RIZQI ZABIDI
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang selama ini dicanang sebagai ‘game changer’ kepada kemajuan ekonomi Kedah selain mendatangkan kesan positif kepada negeri-negeri berjiran di utara tanah air, dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada 2026.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, fasa pertama projek tersebut bakal dimulakan dalam masa terdekat dengan menelan kos sebanyak RM6 bilion.
Katanya, ia kemudiannya akan dilanjutkan dengan beberapa projek lain termasuk infrastruktur utama iaitu Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) melibatkan laluan antara Bandar Baharu ke Sungai Petani melalui KXP.
“Selain itu akses baharu Lebuh Raya Utara Selatan di Tikam Batu akan dibina malah kerja menaik taraf laluan keluar masuk sedia ada ke Sungai Petani, akan turut dinaik taraf.
“Di samping itu terdapat juga cadangan penjajaran baharu landasan kereta api Tasik Gelugor di Pulau Pinang – Taman Teknologi Tinggi Kulim – Sungai Petani,” katanya dalam satu kenyataan.
Hari ini, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. (KXP AirportCity) mewakili kerajaan negeri untuk memeterai perjanjian bersama Kumpulan ECK yang diwakili pengarah urusan kumpulanya, Tan Sri Dr. Khor Eng Chuen di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Alor Setar.
Menerusi perjanjian itu, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) akan ditubuhkan berperanan sebagai pemilik dan pemaju projek KXP.
Sebanyak 80 peratus pegangan ekuiti dalam SPV itu dimiliki ECK manakala bakinya dimiliki kerajaan negeri melalui KXP AirportCity yang merupakan syarikat subsidiari PKNK.
Muhammad Sanusi menambah, KXP akan memainkan peranan utama dalam beberapa cabang industri penerbangan serantau termasuk sebagai hab industri halal dan e-dagang bagi rantau ASEAN terutamanya melibatkan produk farmasi dan pelbagai kategori kargo.
KXP juga katanya akan dijadikan hab baik pulih industri penerbangan dan pusat operasi bencana serantau berdasarkan kedudukannya di tengah-tengah rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, antara berita baik untuk penduduk di negeri ini adalah KXP akan menjadi hab penerbangan haji dan umrah khususnya bagi penduduk utara semenanjung.
“Dari segi ekonomi, kerajaan negeri optimis KXP mampu menjana peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri Kedah yang diunjurkan 7.5 peratus setahun berbanding 4.5 peratus pada masa ini.
“Lapangan terbang ini juga dijangka menyumbang kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) sebanyak AS$281 juta (RM1.186 bilion) pada 2026,” ujarnya.
Tambahnya, KXP turut menyediakan antara 15,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan secara langsung untuk diisi penduduk tempatan.
“Dalam beberapa tahun akan datang, insya Allah Kedah akan berubah wajah daripada sebuah negeri miskin kepada negeri ekonomi baharu yang pesat berkembang sebagaimana Lembah Klang,” katanya.
Leave a Reply