BERIKUTAN kejayaan mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin ke Kedah, kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif tambahan bagi mempercepatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyatnya.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor antara langkah yang diambil adalah membuka pusat pemberian vaksin (PPV) mega di SP Sport Center di Sungai Petani dengan kerjasama ProtectHealth yang mampu memberi suntikan hingga 5,000 dos, sehari.
“Kerjasama ini menjadikan PPV mega tersebut sebagai PPV intergrasi terbesar di Kedah.
“Selain itu kerajaan negeri akan turut menaik taraf PPV awam di Dewan Kenangan Sungai Petani sebagai PPV mega intergrasi bermula 11 Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Baru-baru ini Muhammad Sanusi memaklumkan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersetuju dengan permintaan kerajaan negeri untuk menambah pemberian vaksin kepada Kedah daripada 130,000 dos seminggu kepada 220,000 dos seminggu.
Permintaan itu dibuat Muhammad Sanusi dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, minggu lalu.
Beliau menambah, kerajaan negeri pada masa sama sedang meneliti cadangan pembukaan PPV integrasi di lokasi bersesuaian bagi meningkatkan jumlah suntikan vaksin.
“Kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf PPV awam kepada PPV integrasi supaya suntikan vaksin dapat ditingkatkan ke tahap maksimum dengan penglibatan semua pihak terlibat,” katanya.
Dalam pada itu katanya, satu lagi PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), sedang menanti kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan (MOSTI) untuk dibuka di negeri ini bagi menampung vaksinasi pekerja industri di Alor Setar dan Kubang Pasu.
“PPV PIKAS tersebut akan dibuka di Jitra. Ia akan menjadi PPV PIKAS ketiga di negeri ini selepas PPV PIKAS Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan PPV PIKAS Sungai Petani yang mempunyai kapasiti mencecah 3,000 dan 5,000 suntikan sehari.
“Selain PPV awam, PIKAS, mega dan intgerasi, semua daerah di Kedah juga mula menggerakkan program vaksinasi secara ‘outreach’ dengan bergerak ke dalam komuniti luar bandar,” katanya.
“Dengan persiapan dilakukan, kita yakin 80 peratus penduduk di Kedah akan menerima dos lengkap menjelang akhir Oktober atau awal November sekali gus membantu membina imuniti berkelompok,” katanya.
Katanya, imuniti kelompok tersebut secara tidak langsung mampu menyelesaikan kekurang kemudahan rawatan di hospital seperti dilaporkan ketika ini.
Leave a Reply