AHLI Parlimen pembangkang tidak sepatutnya mengelirukan rakyat dan menyusahkan pihak berkuasa dengan berhimpun beramai-ramai di Dataran Merdeka hari ini.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, terdapat banyak cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati ekoran keputusan menangguhkan sidang Parlimen dan berhimpun beramai-ramai ketika negara masih dalam situasi pandemik Covid-19 yang serius bukanlah tindakan tepat.
“Para Ahli Parlimen pembangkang yang bijak belaka seharusnya lebih celik dalam kerja-kerja tunjuk perasaan ini.
“Mengapa pula memilih cara yang bakal membahayakan nyawa rakyat dan berkemungkinan besar akan memburukkan keadaan Covid-19 di negara kita untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka?
“Berfikirlah terlebih dahulu sebelum bertindak terutama tentang pengorbanan anggota barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus untuk melawan Covid-19.
“Fikirlah tentang keselamatan orang yang anda sayang, tentang rakyat yang sekian lama mendengar nasihat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan duduk di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang menambah, memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang semakin serius, semua pihak sama ada daripada kerajaan atau pembangkang seharusnya mengetepikan kepentingan politik masing-masing dan memberi fokus kepada usaha memerangi wabak berkenaan.
Dalam masa sama, beliau berharap pemimpin pembangkang tidak berterusan memalitkan diri dalam agenda politik yang hanya mementingkan matlamat peribadi.
“Rakyat merasa meluat dengan tindak-tanduk ahli-ahli politik ini dan mereka ingin melihat semua pihak bersatu padu membanteras penularan Covid-19 di negara kita.
“Semua ahli politik harus memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19 dan perjuangan politik harus diketepikan sehingga pilihan raya umum diadakan,” katanya.
Tambahnya, sementara menunggu sidang Parlimen disambung semula juga, Ahli Parlimen sepatutnya menggunakan masa terluang melawat kawasan masing-masing.
Katanya, masih ramai rakyat yang perlu diberi bantuan dan masih banyak masalah mereka yang perlu diselesaikan, bukannya menjadi punca yang menyebabkan kacau-bilau.
Jelasnya lagi, Ahli Parlimen pembangkang seharus menggunakan ‘masa lapang’ ini untuk mengagihkan kesemua bantuan barangan yang diperuntukkan kepada mereka sebanyak RM300,000 oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk rakyat yang memerlukan.
“Ahli Parlimen pembangkang juga harus menjadi teladan yang baik kepada rakyat. Mereka meminta rakyat mematuhi SOP, tetapi mereka sendiri yang melanggar SOP,” katanya.
Leave a Reply