Oleh Abu Ubaidillah Rahman
SERAMAI 8,856 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang menerusi kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang sejak 8 Julai lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Khairil Dzaimee Daud berkata, mereka dihantar pulang menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata, sebanyak 20 lagi kaunter khas dibuka di KLIA untuk mengelak kesesakan berikutan sambutan yang diterima di luar jangkaan.
“Imigresen dengan kerjasama Malaysia Airport Berhad (MAB) telah mengambil langkah segera membina 20 kaunter baharu yang terletak di Parkir Jangka Pendek, Aras 2 Blok B, KLIA.
“Ruang menunggu yang lebih luas dengan kapasiti 800 hingga1000 orang juga disediakan dengan pelbagai kemudahan,” katanya kepada ketika sidang akhbar di Sepang, hari ini
.
Kaunter khas tersebut katanya, turut menyediakan kemudahan seperti kios makanan, surau, kipas bersaiz industri dan ruang yang lebih luas untuk menjamin penjarakan sosial dapat dipraktikkan.
Pada masa sama, menurut Khairil, seramai 88,034 PATI sudah dihantar pulang di bawah program Rikalibrasi Pulang sejak dilancarkan pada 21 Disember lalu dengan kutipan kompaun melebihi RM52 juta sehingga 1 Ogos.
Dalam pada itu, menurutnya, untuk mempercepatkan lagi urusan, kaunter khas tersebut akan beroperasi 24 jam dengan kekuatan 140 kakitangan yang akan bertugas dalam tiga waktu tugasan.
Kaunter khas tersebut turut dibuka di Stulang Laut, Johor pada Ahad dan lapan lagi akan dibuka di KLIA2 pada Khamis ini.
“Perancangan seterusnya ialah membuka kaunter di Pasir Gudang Johor, dan Pelabuhan Klang, Selangor yang dijangka beroperasi mulai 15 Ogos ini,” katanya.
Leave a Reply