Oleh RIZQI ZABIDI

DUA kontena sejuk beku disumbangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, bagi memenuhi keperluan menempatkan mayat mangsa Covid-19 di kedua-dua hospital berkenaan.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya dimaklumkan kedua-dua hospital tersebut berdepan keperluan mendesak untuk menempatkan mayat mangsa Covid-19 yang kian meningkat kebelakangan ini.

Justeru katanya, beliau segera mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi TNB untuk sumbangan itu dIserahkan secepat mungkin.

“TNB sentiasa peka dengan situasi semasa pandemik Covid-19 ini dan kita ambil maklum akan keperluan hospital tersebut.

“Keputusan untuk menyerahkan sumbangan itu dibuat hanya dalam tempoh dua hari saja. Saya berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din yang banyak membantu,” katanya.

Di HSB, Mahdzir menyempurnakan gimik penyerahan kontena tersebut kepada pengarah hospital berkenaan, Dr. Zaiton Udin hari ini manakala Pegawai Khas Pengerusi TNB, Datuk Shahanim Mohd Yusuf dan Muhamad Nur Aizat Noor Azam mewakilinya menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengarah HSAH, Dr. Azlina Muhammad Radzi di Sungai Petani.  

Mahdzir menambah, dua unit respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) yang sering digunakan doktor ketika menjalankan pembedahan melibatkan kes berkaitan Covid-19 turut disumbangkan kepada HSB.

“Keseluruhan nilai sumbangan dua kontena dan dua PAPR itu adalah RM165,000.

“Kita berharap sumbangan ini dapat menyelesaikan masalah kritikal dihadapi di kedua-dua hospital tersebut sekali gus menghilangkan kerisauan orang ramai di negeri ini terhadap pengurusan mayat mangsa Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here