MESYUARAT Khas Dewan Negara ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak selepas penilaian risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah dalam notis kepada Ahli-ahli Dewan Negara bertarikh hari ini, pejabat Yang Dipertua Dewan Negara telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penangguhan persidangan yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Ogos ini selaras Peraturan Mesyuarat 10(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.
Menurutnya, penangguhan mesyuarat itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa terhadap penularan wabak berkenaan yang dibuat KKM.
“Berikutan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19, KKM berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko berlakunya penularan jangkitan itu,” kata notis itu.
Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin semalam mengeluarkan notis kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat memaklumkan mengenai penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, esok (2 Ogos) ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Jumaat lalu, Dr Noor Hisham berkata, 11 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen semasa persidangan Dewan Rakyat, dengan 10 kes positif dikesan melalui Kit Ujian Rapid Antigen (RTK Ag) menggunakan air liur, manakala satu lagi menerusi ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR).
Leave a Reply