Oleh Abu Ubaidillah Rahman

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) tidak akan sekali-kali mengizinkan institusi Raja-raja Melayu tidak dihormati atau diperalatkan oleh mana-mana pihak demi kepentingan politik atau kepentingan mana-mana pihak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, PN yang ditunjangi parti-parti berteraskan orang Melayu dan Bumiputera serta diperkasakan dengan muafakat pelbagai kaum, akan terus mempertahankan institusi Raja-raja Melayu.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pada masa sama tidak timbul soal tidak hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pembatalan Ordinan Darurat kerana proses itu sedang berjalan mengikut peraturan.

Jelasnya, ketika mengumumkan perkara tersebut di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sekadar memaklumkan pendirian dan keputusan terkini Kabinet tanpa memperincikan proses itu sebenarnya masih menunggu perkenan Agong.

“Pada 21 Julai lalu, keputusan dibuat dalam mesyuarat mingguan Kabinet berhubung pembatalan Ordinan Darurat dan pada 22 Julai, Peguam Negara menyiapkan Draf Ordinan (pembatalan) sebelum pada 23 Julai, Perdana Menteri mengutus warkah kepada Seri Paduka.

“Seterusnya pada 24 Julai, Seri Paduka menitahkan Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang menghadap. Pada 25 dan 26 Julai sidang Parlimen bermula. Di situ, Menteri Undang-Undang didesak pembangkang mengenai pendirian sebenar kerajaan lalu memaklumkan perkembangan terbaru.

“Apabila isu ini cuba dikelirukan, Perdana Menteri bersama-sama Peguam Negara tanpa berlengah terus menghadap Seri Paduka dan menerangkan perkara sebenar pada 27 Julai, termasuk memohon maaf sekiranya menimbulkan kekeliruan. Jadi, di mana penderhakaannya,” soalnya.

Annuar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Vaksinasi ‘Oghe Parlimen Terre’ di Kompleks Yayasan Kemiskinan (YKK), Peringat, Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Agong telah menjelaskan pandangan baginda kepada Perdana Menteri dan perkara tersebut seterusnya dibawa ke Kabinet pada 29 Julai lalu.

“Perlu diketahui, pada pagi Jumaat itu, Perdana Menteri sekali lagi menghadap Seri Paduka sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet. Proses pembatalan Ordinan Darurat sedang berjalan mengikut peraturan biasa, langsung tidak berbangkit soal derhaka dan jelas ia cuba dipolitikkan.

“Dan atas dasar inilah juga 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengikrarkan sokongan secara berterusan kepada Kerajaan PN ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here