PM Interim: Jangan layan cubaan pecah-belahkan kerajaan – TPM

“KITA tak perlu layan apabila ada pihak cuba nak melaga-laga atau memecah-belahkan kerajaan. Kalau layan lagi teruk.”

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai kenyataan beberapa pihak yang mengaitkan dirinya sebagai calon sesuai bagi mengisi jawatan Perdana Menteri Interim bagi meredakan ketegangan politik ketika ini.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai khabar angin semata-mata, Ismail Sabri turut menegaskan tempoh mencabar ketika ini bukan masa sesuai untuk berpecah sebaliknya semua pihak perlu bersatu memerangi COVID-19.

Ismail Sabri malah berkata jawatan Perdana Menteri Interim tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan isu berkenaan tidak patut timbul.

“Memang saya ada baca dalam laporan portal dan juga media sosial mengaitkan nama saya tetapi itu hanya khabar angin.

“Bagi saya, kenyataan sedemikian mungkin sengaja mahu melaga-laga atau memecah-belahkan kerajaan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil penduduk di Masjid Kampung Cheruk Puting, Bera,hari ini.

Lawatan itu juga merupakan kali pertama beliau pulang ke kawasan Parlimennya sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, 7 Julai lalu.

Semalam, tular dalam media sosial dan portal berita bahawa Ismail sabri mempunyai sokongan kukuh termasuk dalam kalangan Jemaah Menteri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Mengulas mengenai kenyataan sesetengah pihak yang cuba melaga-lagakan kerajaan dan pihak istana, Ismail Sabri berkata, semua pihak wajar menyejukkan keadaan dengan tidak memburukkan lagi suasana.

Kata beliau, tanggungjawab sebagai pemimpin lebih besar kerana rakyat ketika ini sedang berhadapan kesukaran.

“Kita tak perlu terlalu ikut dengan apa yang digembar-gemburkan. Tindakan kita sepatutnya mendamaikan, bukan terlibat dari segi memecah-belahkan.

“Ini bukan masa sesuai untuk sesiapa sahaja berpecah dan perlu bersatu. Apa yang penting ketika ini adalah kebajikan rakyat.

“Kenapa kita tak fokus kepada usaha menyelesaikan isu rakyat dan paling penting menyelesaikan masalah COVID-19,” jelas beliau. – UtusanTV


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *