SERAMAI 20 individu berusia antara 17 hingga 25 tahun ditahan polis ketika sedang leka berpesta dadah dan seks di sebuah homestay di Taman Starhill, Bukit Gambir, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Kesemua 13 lelaki dan tujuh wanita itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi di homestay jenis banglo tiga tingkat yang disewa mereka pada harga RM800.
Dalam serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) itu, turut dirampas adalah dadah dipercayai jenis methamphetamine dan kondom di ruang tamu termasuk set karaoke.
Menurut sumber polis, kesemua lelaki dan wanita tempatan yang ditahan itu termasuk ada merupakan pasangan kekasih bekerja sebagai operator kilang, penghantar makanan dan pembantu kedai.
Malah jelasnya, beberapa individu yang ditahan didapati turut merentas daerah untuk melepaskan gian dadah dan seks dengan pasangan kekasih.
“Kesemua yang ditahan juga didapati positif dadah jenis methamphtemine dan mereka ditahan reman selama empat hari sehingga 4 Ogos ini.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais mengesahkan kejadian tersebut.
Leave a Reply