Maritim bawa tiga pesakit positif Covid-19 dari pulau

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing memberikan perkhidmatan Medical Evacuation (MedEvac) bagi membawa tiga pesakit Covid-19 dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar, Mersing semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Zon Maritim Mersing menerima panggilan Pejabat Daerah Mersing memohon bantuan membawa tiga penduduk Pulau Aur yang dijangkiti Covid-19 ke Hospital Mersing.

“Berikutan itu Bot Perkasa 31 Zon Maritim Mersing bersama-sam lima anggota Maritim Malaysia lengkap berpakaian Personal Protection Equipment (PPE) telah ditugaskan ke Pulau Aur bagi melaksanakan khidmat MedEvac.

“Perkasa 31 tiba di lokasi sekitar jam 3.30 petang dan terus memindahkan tiga pesakit wanita yang berusia 15 hingga 77 tahun untuk dibawa ke Jeti Syahbandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, perjalanan dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar mengambil masa selama lebih kurang dua jam.

Sebaik tiba di Jeti Syahbandar katanya, pesakit terus dipindahkan ke ambulan yang telah bersedia menunggu untuk ke Hospital Mersing bagi rawatan lanjut.

Kesemua anggota Maritim Malaysia dan Bot Perkasa 31 telah disanitasi dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, katanya.

“Pihak maritim Johor mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam misi bantuan ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *