MOHD LAZIM ENDUT.
Majlis Syura Ulama Pas menyifatkan gesaan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan agar melepaskan jawatan berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat sebagai tidak wajar.
Setiausahanya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia kerana setiap keputusan dibuat dalam kerajaan adalah secara kolektif.
Sehubungan itu katanya, Majlis Syura Ulama Pas terus menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri sekalipun beliau kini berdepan gesaan supaya meletakkan jawatan.
“Adalah tidak wajar gesaan itu dibuat kerana apa jua keputusan dalam kerajaan merupakan keputusan bersama ahli-ahli Kabinet, bukan hanya Perdana Menteri seorang sahaja.
“Oleh itu, gesaan supaya kedua-dua pemimpin ini meletak jawatan adalah tidak relevan dan tiada keperluan kerana Takiyuddin hanya menjalankan tugas sebagai menteri Kabinet yang menguruskan undang-undang serta menyampaikan keputusan kerajaan, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kios Amal Kongsi Rezeki di Kuala Nerus, semalam.
Mohd Khairuddin turut menyifatkan tindakan pihak pembangkang cuba menutup kejayaan kerajaan mengurus negara dalam keadaan pandemik ketika ini sebagai proses demokrasi.
Menurut beliau, itu adalah hak mereka sebagai pembangkang untuk mengkritik dan menegur kerajaan.
“Setiap apa yang kita lakukan adalah mengikut undang-undang dan Perlembagaan. Sebagai pemerintah, setiap kelemahan yang berlaku dalam pengurusan negara, kita akan hadapi bersama,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, pergolakan politik adalah perkara biasa di mana-mana negara.
Katanya, tidak dinamakan politik jika ia tidak bergolak dan apa yang penting ialah orang politik perlu membuat kerja mengikut undang-undang dan Perlembagaan.
“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berhemah. Sebagai contoh, sewaktu persidangan Dewan Parlimenn berlangsung, banyak penjelasan diberikan antaranya termasuklah mengenai Pelan Pemulihan Negara, proses vaksinani untuk rakyat dan juga kedudukan kewangan negara,’’ katanya.
Leave a Reply