ARAB SAUDI dijangka menerima lebih 20,000 jemaah umrah dari dalam dan luar negara dalam tempoh beberapa hari lagi, lapor agensi berita Okaz semalam yang memetik Kementerian Haji dan Umrah.
Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah, Hisham Saeed berkata, jemaah dari luar negara yang dibenarkan masuk untuk ibadah itu hanya dari negara yang tidak dikenakan sekatan perjalanan berdasarkan arahan Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awan (GACA) Arab Saudi.
Buat masa ini, negara berdepan sekatan perjalanan adalah India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Habsyah, Vietnam, Afghanistan dan Lebanon
Lapor Saudi Gazette, larangan itu berikutan peningkatan jangkitan koronavirus (Covid-19) dan penularan variannya di negara terlibat.
Sementara itu, kira-kira 500 syarikat perkhidmatan umrah dan lebih 6,000 ejen umrah luar negara sudah bersiap sedia untuk menerima jemaah yang lengkap divaksin.
Menurut ahli Jawatankuasa Kebangsaan untuk Haji dan Umrah, Hani Ali Al-Amiri, umat Islam yang mahu menunaikan umrah boleh menempah pakej umrah dan membuat pembayaran menerusi kira-kira 30 platform elektronik dan laman web yang menyediakan tempahan peringkat global.
“Hanya mereka yang sudah lengkap divaksin boleh memohon visa umrah.
“Individu berkenaan juga perlu mempunyai tahap kesihatan yang cemerlang dan mematuhi protokol untuk memastikan tahap keselamatan jemaah luar negara,” kata ahli jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.
Leave a Reply