Dewan Rakyat Isnin ini ditangguh, PH dakwa Covid hanya helah

BERIKUTAN penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa Parlimen merupakan lokaliti berisiko untuk berlaku penularan jangkitan Covid-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menangguhkan sidang Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, penangguhan sidang kha situ dimaklumkan oleh Perdana Menteri selaras Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 yang mana Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19,’’ katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah diarahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk memaklumkan penangguhan itu kepada semua ahli Parlimen.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Parlimen telah berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Julai lalu dan sepatutnya berakhir pada 2 Ogos ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham berkata, sembilan lagi kes positif Covid-19 yang dikesan di Parlimen, menjadikan jumlah keseluruhan 11 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sembilan kes itu dikesan melalui kit ujian kendiri RTK Antigen air liur yang dilaksanakan petang semalam.

Katanya, pelaksanaan ujian kendiri itu dilakukan selepas terdapat dua kes positif yang dikesan di dalam bangunan berkenaan.

“Pada 29 Julai jam 12.30 tengah hari, Kementerian Kesihatan (KKM) dimaklumkan mengenai dua kes positif COVID- 19 yang hadir ke Parlimen.

“Kes pertama seorang petugas yang hadir ke Parlimen pada Isnin sehingga Rabu lalu dan dilaporkan positif COVID-19 semalam selepas melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selesema.

“Bagi kes kedua pula, dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) air liur kerana beliau mengalami gejala batuk,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan yang sama hari ini, pegawai Tun Dr.Mahathir Mohamad disahkan positif varian Delta sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Langkawi itu terpaksa melakukan kuarantin kendiri.

BAGAIMANAPUN Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang tidak berpuashati dengan pengumuman penangguhan sidang khas itu menggesa semua pihak termasuk pegawai KKM tidak bersekongkol dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melakukan helah sengaja menutup Parlimen.

Dalam kenyataan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, mereka juga memberi amaran keras kepada Muhyiddin agar tidak memperalat agensi dan lementerian  termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, untuk menutup Parlimen.

 ‘’Salah satu alasan yang diguna ialah terdapat sejumlah kes positif Covid-19 di Parlimen, yang menyaksikan semua yang berada di Parlimen dihalang dari keluar dan diarah melakukan ujian saringan.

‘’Dr Noor Hisham telah memaklumkan bahawa 1,183 orang telah disaring di mana 11 didapati positif Covid-19. Dari 11 ini, 1 membuat saringan RT-PCR manakala 10 yang lain membuat saringan RTK,’’ kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, berdasarkan laporan Dr. Noor Hisham, kadar positif di Parlimen adalah 0.9%, manakala nilai ambang (threshold) yang disaran WHO bagi menentukan jumlah ujian saringan yang mencukupi ialah 5%.

‘’Ini bermaksud tidak ada jumlah kes positif Covid-19 yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu. Oleh itu, isu jangkitan Covid-19 tidak boleh dan tidak patut dijadikan alasan untuk menutup atau menangguh sidang Parlimen yang perlu diteruskan pada Isnin ( 2 Ogos 2021),’’ kata mereka.

Ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu juga mengingatkan, jika Parlimen ditutup dengan kadar kurang daripada 1%, Parlimen berkemungkinan besar tidak akan bersidang lagi.

‘’Ini kerana hakikatnya Covid-19 akan terus berada di dalam masyarakat (endemic) bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia,’’ kata ketiga-tiga pemimpin pembangkang.

Walau apapun yang berlaku, tegas mereka, ahli-Ahli Parlimen tidak boleh dihalang dari hadir ke Parlimen pada hari Isnin ini untuk melaksana tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dan Negara serta melaksana sumpah untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

‘’Tan Sri Muhyiddin wajib mendengar suara rakyat yang mahu titah Yang di-Pertuan Agong dijunjung dengan membahas dan memutuskan Ordinan-Ordinan Darurat di Parlimen pada Isnin ini,’’ kata mereka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *