‘Depa’ kata Parlimen bukan kopitiam, pasar malam tapi…

TOK Aba dah agak sejak awai lagi memang bila sidang Parlimen saja mesti ‘huru-hara’.  Orang kampung macam Tok Aba yang dok depan TV melopong tengok perangai ahli-ahli Parlimen.

Masuk saja dewan bertengkaq tak habis-habis. Tok Aba dok kira hari pertama saja tak kurang sejam 45 minit masa habis macam tu saja tengok depa berbalah. Paling Tok Aba tak boleh terima time Tok Din berucap, masa PM kita minta bertafakur baca Al-Fatihah untuk disedekah kepada mangsa Covid-19, puak-puak pembangkang terpekik terlolong, langsung tak dak rasa hormat.

Tok Aba setuju bila Tok Mat Hasan kata puak-puak terutama sorang dua ahli Parlimen DAP biadab. Patutnya diam la sat, hormati la orang nak baca Al-Fatihah, nak tak terjerit-jerit macam ‘kera kena belacan’, pasai apa. Sepatutnya apapun masalah tak boleh ka cakap elok-elok.

Kalau tengok perangai sesetengah ahli Parlimen kita, depa baik sikit saja daripada ahli-ahli Parlimen kat Taiwan yang setiap kali bersidang sampai bertumbuk-tumbuk. Tok Aba faham masing-masing ada isu, masing-masing ada dendam politik tapi cubala belajaq hormat sikit terutamanya kat Speaker, kat PM.

Kasihan Tok Aba tengok depa dua orang, puak-puak pembangkang ‘bantai’ depa macam tak ingat dunia, macam langsung tak ada rasa hormat. Tok Aba tau la masing-masing nak ‘lepas geram’ sebab dah enam bulan tak mai Dewan Rakyat tapi jagalah adab sikit. Tu termasuklah budak Saddiq yang nampak  ‘garang tak tentu hala’ serang PM, macam la dia baguih sangat.

Yang syok ada ahli Parlimen punyala pandai cakap, bila kata Parlimen bukan pasar malam atau kopitiam, tetapi perangai depa tak mau tengok, depa yang buat Parlimen jadi macam tu. Di pasar malam tak dak orang nak terjerit-jerit macam sesetengah ahli Parlimen kecuali depa nak juai barang, di kopitiam kalau ada orang menjeritpun…tu yang tukang ambil order.

Tok Aba nak bagi tau kalau tengok cara sesetengah ahli Parlimen cakap macam-macam kat Speaker dan PM, rasanya orang kat pasar malam atau kopitiam pun tak buat macam tu.

Tok Aba percaya ramai yang sedih, marah bila tengok perangai ahli Parlimen kita. Kita la ni tengah dok ‘perang’, depa semua harapan rakyat untuk sama-sama lawan Covid. Sidang Parlimen tu dibuat, nak bagi peluang semua ahli Parlimen bagi pandangan dan cadangan, bukan masuk-masuk saja dewan terus ‘terpekik terlolong’.

Tok Aba faham ada isu yang mahu diketengahkan contohnya pasai Darurat, tapi bagi la peluang kerajaan buat penjelasan, lepas tu persoal la apa yang nak persoal, bukannya masa PM atau menteri dok cakap nak ganggu.

Sebenaqnya Tok Aba rasa semua tu berlaku sebab ada segelintir ahli Parlimen nak tunjuk kerajaan tak dak majoriti, sebab tu depa buat macam tu, minta undi dan macam-macam. Dah berbuih Speaker dok bagi tau tatacara sidang khas, Tok Aba tau depa faham saja buat-buat tak faham.Macam mana pun Tok Aba lega hari kedua dan ketiga nampak tenang sikit, tak dak la macam hari pertama.

Jadi Tok Aba nak nasihat ahli-ahli Parlimen jagalah perangai sikit, Tok Aba hormat depa, Tok Aba tau masing-masing nak ketengahkan isu tapi fahamlah sikit, kena ada tolak ansur sebab la ni musuh kita bersama adalah Covid-19.

Macam-macam varian tengah dok ‘mengamuk’, jadi macam PM kata, kena ada solidariti. Kita kena bersatu, lupa sat soal politik. Negara kita tengah ada masalah, tak kan nak tambah lagi dengan masalah politik. Bawala bersabaq sat.

Nanti bila Covid dah reda, rakyat pun dah boleh hidup macam biasa, oklah kalau nak berebut kuasa ka, apa ka. Kalau la ni dok kacau kerajaan bila masa kita nak boleh selesai masalah Covid ni. Bagilah cadangan kalau betui-betui ikhlas nak berjuang untuk rakyat.

Lepas Covid ‘settle’, Tok Aba rasa cara paling baik buat pilihan raya. Biaq rakyat pilih sapa depa nak. Tapi la ni tak sesuai sebab kita dok lawan dengan Covid. Lagipun buang masa saja nak tukaq kerajaan, nak tukaq PM waktu la ni.

Lagipun PM dan kerajaan bukan dok diam tak buat apa-apa nak selesai masalah Covid, dah macam-macam usaha depa buat, dah macam-macam bantuan kerajaan bagi kat rakyat, cuma virus tu tengah dok ‘mengamuk’ bukan kat Malaysia saja tapi seluruh dunia.  Tok sah la asyik dok puji negara orang, macam la kerajaan kita tak buat apa-apa.

Jadi lebih baik ahli-ahli Parlimen bekerjasama, nak tukaq tempat duduk kat, nak tukaq apa ka..boleh saja, yang penting sama-sama lawan Covid. Tok sah dok cakap soal majoriti ka, minoriti ka, nak dok atas titi ka, semua tu tak penting buat masa ni.

Yang penting la ni kita kena bersatu, macam ada sorang ahli Parlimen pembangkang tu cakap kelmarin, buat moratorium politik. Walaupun Tok Aba tak setuju sangat dia cakap pasai PM, tapi sekurang-kurangnya dia ada niat nak minta semua ahli Parlimen bersatu selesaikan masalah Covid.

Kalau betui-betui nak selesai benda tu, tok sah la tolak bila PM jemput untuk masuk dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN). Tak guna dok pung pang pung pang kat luaq, cakap kat kerajaan macam-macam, bila ‘offer’ suruh masuk MPN macam-macam alasan.

Jadi Tok Aba harap sangat la, sebagai orang kampung macam Tok Aba ni nak tengok sidang Dewan Rakyat jadi tempat selesai masalah negara bukan nak tambah masalah. Ada lagi dua hari persidangan, harap tak dak lagi perangai pelik-pelik ahli Parlimen yang rakyat kena tengok.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *