Tag: zuraida

  • Zuraida, Redzuan dilantik timbalan presiden Muafakat Nasional

    Zuraida, Redzuan dilantik timbalan presiden Muafakat Nasional

    DUA bekas menteri Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Seri Redzuan Md. Yusof dilantik sebagai timbalan presiden NGO Muafakat Nasional (MN).

    Presidennya, Tan Sri Annuar Musa turut mengumumkan pelantikan penceramah terkenal Dr. Ridhuan Tee Abdullah dan bekas Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara Kumar ke jawatan itu.

    Beliau mengumumkan pelantikan itu selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi MN pertama selepas ditubuhkan bulan lepas.

    Zuraida, bekas Ahli Parlimen Ampang, dipecat daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 27 Disember lepas bersama 10 individu lain selepas didakwa melanggar disiplin parti.

    Redzuan ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Sejak dibuka untuk pendaftaran, MN kini mempunyai lebih 25,000 ahli daripada pelbagai parti dan dalam kalangan golongan profesional.

    Sementara itu, Annuar berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk menubuhkan enam kluster utama bagi mengukuhkan struktur organisasinya.

    Kluster berkenaan terdiri daripada Ekonomi; Sosial dan Kebajikan; Pendidikan dan Kenegaraan; Politik dan Kepimpinan; Belia dan Mahasiswa; serta Media Sosial dan Seni Budaya.

    “Enam kluster dibentuk supaya setiapnya membuat susulan perbincangan dalam aspek yang lebih spesifik,” katanya lapor FMT.

  • Noh Omar, Zuraida, Jamal Abdillah, Ridhuan Tee antara 30 Ahli Dewan Tertinggi MN

    Noh Omar, Zuraida, Jamal Abdillah, Ridhuan Tee antara 30 Ahli Dewan Tertinggi MN

    BEKAS Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin serta bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof dipilih sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN).

    Tidak ketinggalan artis tersohor tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan dua pelakon terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Ummi Nazeera turut disenaraikan menganggotai Dewan Tertinggi MN.

    Presiden NGO MN, Tan Sri Annuar Musa yang mengumumkan perkara itu berkata, pertubuhan berkenaan juga menyenaraikan dua ahli akademik iaitu pakar Perlembagaan, Prof Madya Shamrahayu A. Aziz dan pendakwah terkenal, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

    “Kesemua mereka merupakan antara 30 personaliti Dewan Tertinggi MN. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan aktivis, Cikgu Izzat Johari turut disenaraikan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • 2 lagi ahli Parlimen sertai PBM

    2 lagi ahli Parlimen sertai PBM

    AHLI Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar hari ini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). 

    Bakal Presiden PBM Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan perkara itu berkata dengan kemasukan Xavier yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen bebas dan Santhara dari Parti Bersatu, PBM kini mempunyai enam orang Ahli Parlimen termasuk Zuraida sebagai Ahli Parlimen Ampang; Steven Choong (Tebrau); Larry Sng (Julau) dan Mohammadin Ketapi (Lahad Datu).

    “Dua orang lagi yang berpotensi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri dari Negeri Sembilan, insya-Allah kita sedang meneliti sedikit perkara dan akan membuat pengumuman,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan 2022 PBM di sini hari ini. 

    Beliau berkata susulan kemasukan Santhara yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ke dalam PBM, secara automatiknya beliau telah keluar dari Parti Bersatu. 

    Mengenai permohonan PBM yang mahu menyertai Barisan Nasional (BN), Zuraida berkata perbincangan masih berjalan dan maklum balas yang diterima adalah positif.  – BERNAMA

  • Langgar syarat bon: Mahkamah tolak rayuan Zuraida batal saman PKR

    Langgar syarat bon: Mahkamah tolak rayuan Zuraida batal saman PKR

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak permohonan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin untuk membatalkan saman PKR yang mendakwa beliau melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam keputusan sebulat suara berkata mereka bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa isu kesahihan dan kesahan kontrak di antara Zuraida dan PKR hanya boleh ditentukan melalui perbicaraan penuh.

    “Mahkamah perlu mendengar keterangan penuh secara berdokumen mahupun lisan (viva voce) sebelum keputusan dibuat.

    “Kami tidak mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memutuskan isu yang dibangkitkan melalui saman ini yang dirasakan adalah tidak wajar untuk dipertimbang bagi permohonan ini.

    “Justeru, rayuan ini ditolak dengan kos RM10,000 dan keputusan Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan,” kata Vazeer ketika menyampaikan keputusan itu melalui telesidang.

    Turut bersidang Datuk M.Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya.

    Panel itu turut memutuskan bahawa selepas mendengar hujahan peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili Zuraida, dan peguam Ranjit Singh bagi pihak Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Pada 19 Nov 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zuraida untuk membatalkan saman yang difailkan parti itu pada 28 Sept 2020.

    Pernyataan tuntutan PKR mendakwa Zuraida, yang kini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah menandatangani bon itu pada 25 April 2018 yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

    PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

    Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Feb tahun lepas, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.

    PKR turut menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- BERNAMA