Tag: Zizie Izette

  • Pendakwaan bantah rayuan Bung Moktar, Zizie Izette semak keputusan mahkamah

    Pendakwaan bantah rayuan Bung Moktar, Zizie Izette semak keputusan mahkamah

    PIHAK pendakwaan memfailkan bantahan awal terhadap rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How ketika dihubungi pemberita berkata notis bantahan awal itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas.

    Berdasarkan notis tersebut, bantahan awal dibuat atas alasan keputusan Mahkamah Tinggi bukan suatu keputusan yang boleh dirayu mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    Pada 9 Dis 2022, Bung Moktar dan isterinya gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu setelah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.

    Sementara itu, Law berkata pengurusan kes bagi rayuan Bung Moktar dan isterinya itu ditetapkan pada 22 Mei di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

    Menurut Law prosiding bela diri kedua-dua tertuduh sebelum ini ditetapkan pada 15 Jun di Mahkamah Sesyen di sini.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

    Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • Bung Moktar, isteri sekali lagi berjaya pohon tangguh bicara kes rasuah

    Bung Moktar, isteri sekali lagi berjaya pohon tangguh bicara kes rasuah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini, sekali lagi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menggantung perbicaraan membela diri pasangan itu atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan itu selepas peguam M. Athimulan memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua anak guamnya memohon untuk menggantung pendengaran kes pembelaan tersebut, sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria tidak membantah permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette. Sepatutnya, hari ini ditetapkan perbicaraan hari pertama bela diri bagi pasangan suami isteri itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

    Ini adalah kali kedua Bung Moktar dan Zizie Izette dapat menangguhkan prosiding bela diri selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 23 Sept tahun lepas, membenarkan permohonan pasangan itu untuk menggantung perbicaraan kes tersebut yang dijadual berlangsung pada hari sama (23 Sept).

    Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 45, merayu terhadap keputusan Azhar pada 9 Dis tahun lepas yang menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

    Menerusi notis usul difailkan pada 22 Dis tahun lepas, Bung Moktar dan Zizie Izette selaku pemohon berkata terdapat keadaan khas atau luar biasa untuk mewajarkan dan menjustifikasikan penggantungan kes bicara di Mahkamah Sesyen sehingga pelupusan rayuan pemohon di Mahkamah Rayuan.

    Kedua-dua pemohon berkata terdapat isu perundangan dalam rayuan mereka yang berkemungkinan besar akan dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan dan sekiranya penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen tidak dibenarkan, ia akan mencetuskan ketidakadilan kepada mereka.

    Menurut pasangan itu, jika perbicaraan diteruskan, ia akan menyebabkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan menjadi akademik.

    Sementara itu, di hadapan Hakim Rozina, Athimulan memberitahu Mahkamah Sesyen berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu dan memaklumkan bahawa pengurusan kes rayuan telah ditetapkan pada 25 Jan ini.

    Bagaimanapun, Rozina mengingatkan semua pihak terlibat agar mengambil langkah positif supaya kes berkenaan dapat diteruskan dengan segera berikutan kes itu diibaratkan sebagai ‘tiada penghujung’ kerana belum selesai sejak 2019.

    “Kes masih tergantung tanpa penghujung. Saya pasti tertuduh-tertuduh juga gelisah untuk mengetahui keputusan kes. Namun, mahkamah menangguhkan prosiding bela diri hari ini dan tarikh perbicaraan pada 9 sehingga 13 Jan ini dilapangkan,” katanya yang menetapkan 27 Jan untuk sebutan kes.

    Pada 2 Sept 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • Semak keputusan mahkamah: Zizie Izette mohon kes didengar bersama permohonan suami

    Semak keputusan mahkamah: Zizie Izette mohon kes didengar bersama permohonan suami

    DATIN Seri Zizie Izette Abdul Samad memohon supaya notis usul difailkannya bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen, yang memerintahkan pelakon itu membela diri atas pertuduhan rasuah RM2.8 juta, didengar bersama permohonan suaminya Datuk Seri Bung Moktar Radin di hadapan hakim sama di Mahkamah Tinggi di sini.

    Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette berkata pihaknya memohon agar, permohonan Zizie Izette dipindahkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid ketika sebutan kes itu hari ini.

    JC Azhar kemudian menetapkan 17 Okt ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

    Sepatutnya, kes Zizie Izette didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah manakala kes Bung Moktar di hadapan JC Azhar.

    Pada 23 Sept lepas, Hakim Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, untuk menangguhkan perbicaraan mereka di Mahkamah Sesyen, selepas pasangan itu memfailkan notis usul untuk menyemak semula dan mengetepikan keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen pada 2 Sept lepas.

    Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya selaku pemohon, memfailkan permohonan semakan secara berasingan pada 19 Sept, antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen, yang mendengar dan memutuskan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.

    Dalam permohonan itu, kedua-duanya memohon perintah Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan yang disampaikan Mahkamah Sesyen.

    Kedua-dua pemohon berkata hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta, apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

    Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Rozina Ayob menetapkan 17 Okt ini untuk sebutan bagi pihak-pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai status perkembangan permohonan pasangan suami isteri itu.

    “Tarikh bicara (bela diri) yang dijadualkan pada 14 Okt ini dilapangkan, manakala tarikh-tarikh perbicaraan pada 28 Okt, 21 dan 31 Nov, 1 dan 7 Dis, 3 Jan dan 9 hingga 13 Jan 2023 dikekalkan,” kata hakim itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, supaya tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan sementara permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

    Pada 2 Sept lalu, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka. 

    Pasangan itu sepatutnya membela diri bagi menjawab tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad bermula 23 Sept lepas.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga, didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.- BERNAMA