Tag: Zizie Ezette

  • Kes rasuah RM2.8 juta: Selasa depan tentukan tarikh bela diri Bung Moktar, Zizie Ezette

    Kes rasuah RM2.8 juta: Selasa depan tentukan tarikh bela diri Bung Moktar, Zizie Ezette

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur akan menetapkan pada Selasa depan tarikh perbicaraan bela diri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

    Peguam mewakili Zizie Izette, Datuk K. Kumaraendran, berkata tarikh itu akan diputuskan Hakim Rozina Ayob yang memerintahkan pasangan terbabit membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    “Saya tidak tahu lagi bila prosiding bela diri itu. Saya akan hadir mahkamah pada 3 Januari depan dan di sana akan diputuskan tarikh terbabit. Saya juga ingin memaklumkan pihak pembelaan tidak membuat sebarang permohonan baharu menjelang pendengaran minggu depan,” katanya kepada BH, hari ini.

    Pada 9 Disember lalu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie Izette gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah.

    Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, dilaporkan membenarkan bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How terhadap permohonan semakan yang difailkan pasangan itu.

    Pada 17 Oktober lalu, Chin How mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu dengan alasan semakan berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui notis usul.

    Kaedah pemfailan notis usul itu didakwa salah dan bertentangan Seksyen 35 serta 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Acara Jenayah.

    Pada 2 September lalu, Bung Moktar, 64, diperintah membela diri atas tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA itu didakwa menerima rasuah daripada perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

    Bung Moktar juga perlu membela diri atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada seorang lagi perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

    Zizie Izette, 44, pula diarah membela diri atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung tuduhan sama di tempat, tarikh dan masa sama.

    Seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020.

    Saksi termasuk bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Dr. Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad terbabit.

  • Rasuah: Bung Moktar, isteri beri keterangan 23 Sept ini

    Rasuah: Bung Moktar, isteri beri keterangan 23 Sept ini

    AHLI Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, akan membela diri bagi menjawab tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad bermula 23 Sept ini.

    Bung Moktar, 64, bersut biru gelap dan Zizie Izette, 44, bersut hitam memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, dan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

    Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan pasangan suami isteri itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

    Rozina memaklumkan kepada mereka bahawa bagi tujuan membela diri, mereka mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri; atau sama ada ingin memberi keterangan di dalam kandang tertuduh yang mana keterangan secara tidak bersumpah; atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.

    Sementara itu, peguam M. Athimulan, yang mewakili Bung Moktar memberitahu mahkamah seramai lapan saksi termasuk anak guamnya, akan memberi keterangan manakala peguam Datuk K. Kumaraendran, mewakili Zizie Izette memaklumkan hanya dua saksi termasuk pelakon itu, akan memberi keterangan pada perbicaraan yang ditetapkan selama 14 hari bermula 23 Sept ini.

    Rozina dalam penghakimannya berkata walaupun terdapat percanggahan antara rakaman percakapan dua saksi utama pendakwaan dengan keterangan lisan mereka di mahkamah terbuka, ia tidak memberi kesan terhadap pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh.

    Mereka ialah saksi pendakwaan ke-24 (SP24), ejen Public Mutual Madhi Abdul Hamid dan saksi pendakwaan ke-25, perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar.

    “Walau bagaimanapun, saya mengambil maklum percanggahan tersebut dan setelah meneliti keterangan SP24 dan SP25 secara keseluruhannya dengan berhati-hati, mahkamah menerima keterangan kedua-dua saksi itu yang dikemukakan di hadapan mahkamah ini.

    “Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara keseluruhan dan hujahan pendakwaan serta pembelaan, saya berpuas hati dan mendapati bahawa kesemua inti pati pertuduhan di bawah Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dipertuduhkan ke atas tertuduh pertama, Bung Moktar telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan pada tahap prima facie,” katanya.

    Rozina berkata di dalam kes ini telah dibuktikan bahawa wang RM2.8 juta telah diperoleh melalui tertuduh kedua, Zizie Izette.

    Beliau bekata sehubungan itu, anggapan di bawah Seksyen 50 Akta SPRM 2009 terpakai, dan Bung Moktar dianggap memperoleh suapan itu sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipalnya, dengan mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan RM150 juta, bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

    Ketika itu Bung Moktar merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra.

    Sehubungan itu, katanya tertuduh pertama (Bung Moktar) dipanggil membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan.

    Bagi Zizie Izette, hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa kesemua intipati pertuduhan-pertuduhan di bawah Subseksyen 28 (1) (c) Akta SPRM yang dipertuduhkan ke atasnya telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan pada tahap prima facie.

    “Justeru itu, tertuduh kedua juga dipanggil untuk membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan,” kata Rozina.

    Sebelum mahkamah menetapkan tarikh untuk kedua-dua tertuduh membela diri, Rozina berkata mahkamah memberi keutamaan kepada kes itu dan perbicaraan akan ditetapkan bulan ini.

    Bagaimanapun, Athimulan memaklumkan bahawa tarikh yang sesuai adalah pada Disember ini, berikutan Bung Moktar perlu menghadiri sidang Parlimen yang akan diadakan pada 3 Okt dan 29 Nov ini dan Kumaraendran pula berkata pihaknya memerlukan masa untuk menyediakan pembelaan.

    “Saya mempunyai anak guam lain yang berhadapan hukuman mati dan kes mereka telah ditetapkan untuk perbicaraannya sebelum ini. Terdapat juga kes lain yang telah tertangguh untuk satu tempoh yang lama. Kenapa kes Daruk Seri ini dianggap lebih penting daripada kes lain,” katanya.

    Rozina bagaimanapun memohon mereka melihat tarikh-tarikh bersesuaian untuk ditetapkan dan selepas berbincang, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 23 Sept.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How.

    Prosiding hari ini turut dihadiri pelakon Shaheizy Sam, yang juga adik kepada Zizie Izette serta beberapa penyokong suami isteri itu.- BERNAMA

  • Tuduhan rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar, Zizie Izette diperintah bela diri

    Tuduhan rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar, Zizie Izette diperintah bela diri

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad, tujuh tahun lepas.

    Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, di akhir kes pendakwaan.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad manakala Zizie Izette pula dituduh bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama.

    Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, dituduh menerima rasuah tersebut daripada ejen pelaburan melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015.  – BERNAMA

  • Keputusan kes rasuah Bung Moktar, isteri diketahui hari ini

    Keputusan kes rasuah Bung Moktar, isteri diketahui hari ini

    KEPUTUSAN sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad atau dibebaskan, akan diumumkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

    Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob dijadualkan memberi keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada pukul 3 petang.

    Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, maka pasangan suami isteri itu akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya mereka akan dilepas dan dibebaskan.

    Pada 17 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2 Jan 2020 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 24 Jun lepas.

    Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra Adnan Yusof, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra Dr Habibah Suleiman, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsharil Saharom, serta dua ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar serta peguam Datuk K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri bagi pihak Zizie Izette.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

    Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette. 

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang,  12 Jun 2015.

    Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

    Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Zizie Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- BERNAMA 

  • Saksi utama nafi beri keterangan bercanggah untuk selamatkan Bung Moktar, Zizie

    Saksi utama nafi beri keterangan bercanggah untuk selamatkan Bung Moktar, Zizie

    SAKSI utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad hari ini menafikan beliau memberi keterangan bercanggah serta mereka-reka cerita semata-mata untuk menyelamatkan pasangan suami isteri itu.

    Perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa keterangannya adalah benar.

    “Saya tidak berbohong di mahkamah,” katanya ketika dipanggil semula untuk disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How selepas dianggap sebagai saksi belot dalam kes pendakwaan.

    Bagaimanapun, saksi ke-25 pendakwaan itu bersetuju dengan cadangan Law bahawa terdapat percanggahan berhubung keterangannya di mahkamah dengan rakaman percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai permintaan komisen sebanyak RM3.5 juta daripada Bung Moktar.

    Law: Menurut rakaman percakapan SPRM pada 2016, kamu nyatakan wang RM3.5 juta diminta oleh Bung Moktar tetapi ketika memberi keterangan di mahkamah sebelum ini, kamu maklumkan wang itu tidak pernah diminta olehnya. Adakah kamu setuju kedua-dua keterangan ini adalah bercanggah.

    Norhaili: Setuju.

    Kepada cadangan Law bahawa dengan memberi keterangan yang bercanggah di mahkamah dan rakaman percakapan, beliau adalah seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dan Norhaili menjawab: “Saya tidak pasti.”

    Law berkata saksi itu memberi keterangan yang tidak memihak kepada pendakwaan dan Norhaili menjawab: “Saya tidak pasti… yang penting, saya bercakap benar.”

    Kepada soalan lain, saksi itu berkata semasa dipanggil oleh SPRM untuk siasatan, beliau berada dalam keadaan tertekan dan takut.

    “Ini adalah pengalaman kali pertama sepanjang 19 tahun saya berada dalam unit amanah. Saya sedih dan rasa kemurungan seolah-olah saya bersalah sedangkan saya rasa saya sudah buat perkara yang betul,” katanya yang turut memaklumkan SPRM telah mengambil lima rakaman percakapan beliau bermula dari 2016 hingga 2018.

    Norhaili juga bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa RM2.8 juta yang dibayar kepada Zizie Izette adalah wang pengenalan.

    Pada 27 Jan lepas, Norhaili memberitahu mahkamah bahawa pelakon itu layak menerima wang pengenalan kerana telah memperkenal suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Beliau berkata bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette merupakan strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenal seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

    Terdahulu, Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyoal balas Norhaili yang dianggap sebagai saksi belot berikutan keterangannya di mahkamah pada 14 Feb lepas adalah bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat oleh SPRM.

    Prosiding soal balas terhadap Norhaili akan bersambung pada 18 Mac ini.

    Peguam Datuk K. Kumaraendran mewakili Zizie Izette manakala Bung Moktar diwakili M. Athimulan.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar, 64, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • Zizie terima RM2.2 juta perkenal ejen pelaburan kepada suaminya

    Zizie terima RM2.2 juta perkenal ejen pelaburan kepada suaminya

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa isteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad menerima wang tunai RM2.2 juta apabila memperkenalkan ejen pelaburan Public Mutual Berhad kepada suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit saham bank tersebut.

    Ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid, 43, berkata kebiasaannya wang pengenalan (introduction fee) akan diberikan kepada individu yang memperkenalkan ejen pelaburan kepada pelanggan.

    “Kami tidak menetapkan sebarang kadar bayaran (wang pengenalan), namun ia mengikut kepada budi bicara (antara ejen dengan individu). Kami putuskan untuk beri (wang pengenalan) kepada Datin Seri Zizie kerana memperkenalkan kami kepada Datuk Seri Bung,” katanya.

    Madhi yang merupakan saksi utama dalam kes itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Bung Moktar dan isterinya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Menceritakan mengenai penyerahan wang pengenalan tersebut kepada Zizie Izette, saksi pendakwaan ke-24 itu berkata beliau dan seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar menyerahkan wang berkenaan kepada pelakon itu di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini, pada Jun 2015.

    “Pada hari tersebut, saya dan Puan Norhaili berada di bank (Public Bank), namun Puan Norhaili berada di bank hanya sekejap sahaja kerana dia ada urusan lain, jadi ketika transaksi wang berlaku, hanya tinggal saya dan Datin Seri Zizie berada di bank sehingga transaksi selesai.

    “Pembayaran wang pengenalan itu dibuat dengan cara saya mengeluarkannya (wang) dalam bentuk cash (tunai) dan pihak Public Bank menyerahkannya kepada Datin Seri Zizie,” katanya.

    Madhi berkata sebelum penyerahan wang tersebut, pihak bank memaklumkan bahawa jumlah wang yang beliau mahu keluarkan tidak mencukupi dan hanya boleh mengeluarkan RM2.2 juta sahaja.

    Ditanya Law, berapa jumlah wang yang diminta saksi itu, sehinggakan pihak bank memberitahu wang yang diminta tidak mencukupi, Madhi menjawab “Saya tak ingat berapa wang yang kami minta, tapi jumlah wang tunai yang dikeluarkan oleh Public Bank adalah RM2.2 juta.

    Law: Sebelum ini kamu (Mahdi) kata akan bayar wang pengenalan kepada Datin Seri Zizie sebanyak RM2.5 juta ke atas, dan pihak bank hanya boleh keluarkan RM2.2 juta, jadi bagaimana dengan wang selebihnya?

    Mahdi: Yang selebihnya dibayar kepada Datin Seri Zizie dengan cara membuka akaun pelaburan dengan Public Mutual Berhad seperti yang diminta oleh Datin Seri Zizie.

    Saksi itu berkata bagi membuka akaun pelaburan atas nama Zizie Izette, beliau dan Norhaili perlu menyerahkan baki wang pengenalan itu dalam bentuk cek atas nama Public Mutual.

    “Sebanyak dua cek diberi kepada Datin Seri Zizie iaitu satu cek daripada saya berjumlah lebih RM200,000 dan satu lagi cek daripada Puan Norhaili yang jumlah untuk membuka akaun itu lebih kurang RM600,000 hingga RM700,000,” katanya.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar, 63, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

    Zizie Izette, 43, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Rozina bersambung 7 Dis ini. – BERNAMA