Tag: Zeti beritahu mahkamah

  • Suami saya yang lapor transaksi ‘mencurigakan’, Zeti beritahu mahkamah

    Suami saya yang lapor transaksi ‘mencurigakan’, Zeti beritahu mahkamah

    BEKAS gabenor Bank Negara (BNM), Tan Seri Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes 1MDB Najib Razak bahawa suaminya adalah individu yang melaporkan transaksi ‘mencurigakan’ melibatkan akaun bank syarikatnya ke bank Singapura.

    Beliau berkata, Tawfiq Ayman memiliki syarikat pengurusan aset di Singapura, dan menerima wang daripada pelbagai pelabur untuk tujuan pelaburan.

    Menurut Zeti, Tawfiq menyedari daripada “maklumat sumber terbuka” bahawa dana tertentu yang telah memasuki akaun syarikatnya mungkin berasal dari sumber yang “meragukan”.

    “Oleh itu, beliau melaporkannya secara bertulis kepada institusi kewangan dan meminta mereka memulangkan (dana) kepada pelabur. Dan jika bank gagal berbuat demikian, (dia menyuruh mereka) memajukan (dana) ke bidang kuasa (dari mana ia berasal).

    “Wang ini kembali kerana dia menulis surat kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Shafee Abdullah, lapor FMT.

    Sebelum ini, dilaporkan RM64.4 juta yang dikaitkan dengan 1MDB telah dipulangkan dari Singapura. Wang itu didakwa disimpan dalam akaun bank syarikat Tawfiq, Cutting Edge Industries Ltd.

    Polis juga dilaporkan telah melancarkan siasatan terhadap Tawfiq berhubung jumlah wang itu.

    Ditanya oleh Shafee sama ada beliau dapat mengemukakan surat Tawfiq kepada bank Singapura berhubung transaksi yang mencurigakan, Zeti berkata, polis masih menyiasat kes terhadap Tawfiq dan oleh itu, dia tidak bebas untuk mengulas.

    Ditanya sama ada suaminya yang memberitahu tentang dana itu, Zeti menjawab dengan tegas.

    “Ia adalah khabar angin sehingga dia (Tawfiq) dipanggil,” balas Shafee.

    Dalam pada itu, Zeti juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak melihat dua akuan berkanun yang dikatakan ditandatangani oleh Tawfiq dan anaknya untuk melepaskan hak mereka terhadap jumlah RM64.4 juta itu.

    “Saya tidak boleh mengulas,” katanya, menegaskan bahawa tiada seorang pun dalam keluarganya mengambil satu sen daripada 1MDB.

    Ditanya sama ada beliau bercakap dengan Tawfiq dan anak lelaki mengenai akuan berkanun mengenai mereka yang didakwa menerima dana 1MDB, Zeti berkata: “Kandungan SD, yang saya hanya lihat hari ini, tidak mengatakan mereka menerima wang itu. Ia mengenai pemulangan wang kepada pelabur.”

    Beliau berkata, tiada tindakan diambil oleh kerajaan Singapura terhadap Tawfiq atau anak-anaknya berhubung RM64.4 juta yang dipersoalkan di sana.

    Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan kerana salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

    Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

  • Peguam negara ‘tak endah’ cadangan BNM dakwa pegawai 1MDB, Zeti beritahu mahkamah

    Peguam negara ‘tak endah’ cadangan BNM dakwa pegawai 1MDB, Zeti beritahu mahkamah

    BEKAS Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu bank pusat itu telah menggesa Peguam Negara mendakwa pegawai 1MDB, namun tiada tindakan diambil.

    Beliau ketika memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB Datuk Seri Najib Razak berkata, pada mulanya BNM tidak mengetahui pergerakan dana kepada entiti tidak berkait 1MDB, tetapi susulan maklumat diterima, BNM menyiasat dan menghantar kertas siasatan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Apandi Ali.

    Zeti berkata, BNM mencadangkan kepada Peguam Negara mengenakan tuduhan terhadap pegawai kanan 1MDB mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang kerana mengemukakan maklumat palsu kepada bank pusat dalam permohonan kebenaran membuat pembayaran di luar negara.

    “Walaupun bukti terlalu banyak dikumpul dan direkod BNM dalam kertas siasatan, Jabatan Peguam Negara ketika itu, tanpa sebab diketahui, pada 11 September 2015 berkata kertas siasatan diklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).”

    Zeti berkata, beliau telah merayu kepada Jabatan Peguam Negara mempertimbangkan status NFA, namun tidak mendapat maklum balas.

    Beliau memaklumkan mahkamah bahawa bank pusat tidak mengetahui dana daripada 1MDB dipindahkan ke akaun entiti tidak berkaitan dengan syarikat itu.

    Katanya, BNM juga pada mulanya langsung tidak mengetahui berhubung dana dalam akaun Najib berasal dari 1MDB.

    Zeti menambah, BNM ada menerima maklumat pada 13 Mac 2015 memaklumkan terdapat sejumlah besar dana 1MDB dipindahkan ke akaun firma (Good Star Ltd), dimiliki ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

    “Berdasarkan maklumat diterima, saya bertemu dengan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar di pejabat saya pada 20 Mac tahun sama dan mendedahkan maklumat tersebut kepadanya,” katanya, lapor FMT.

    Zeti juga memberitahu pegawai penyiasat BNM melakukan pemeriksaan di AmBank dan Deutsche Bank Malaysia Bhd bagi menentusahkan sama ada sejumlah USD700 juta daripada USD1 bilion 1MDB dipindahkan kepada Good Star.

    Pada 2009, 1MDB menjalin usaha sama dengan PetroSaudi International, atau PSI, di bawah terma kontrak mengkehendaki 1MDB perlu membelanjakan USD1 bilion bagi tujuan itu.

    Dana USD1 bilion sepatutnya didepositkan dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI, bagaimanapun hanya US$300 juta dipindahkan dalam akaun berkenaan.

    Zeti berkata, BNM telah memberikan kelulusan kepada 1MDB memindahkan USD1 bilion bagi tujuan usaha sama itu.

    “Kelulusan diberikan BNM hanya semata-mata melibatkan pindahan dana kepada PetroSaudi bagi pembelian 40% pegangan,” katanya.

    Bagaimanapun, Zeti berkata, pemeriksaan pegawai BNM di AmBank dan Deutsche Bank mendapati USD700 juta telah dipindah kepada Good Star.

    Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.