Tag: Zalina Azman

  • Kes kehilangan Zalina: Mayat tanpa identiti tak sepadan

    Kes kehilangan Zalina: Mayat tanpa identiti tak sepadan

    POLIS masih belum menerima maklumat terbaharu mengenai bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman, 58, yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

    Malah, pemeriksaan serta analisa yang dijalankan terhadap beberapa mayat tanpa identiti juga tidak sepadan dengan wanita berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kes berkenaan masih dikategorikan sebagai orang hilang (OH) dan polis masih terbuka jika ada maklumat terbaharu yang ingin disalurkan orang awam.

    “Kita masih belum terima maklumat terkini daripada orang awam dan setakat ini, pemeriksaan terhadap mayat tanpa identiti yang kita jumpai tiada yang ‘match’ (sepadan) dengan Zalina.

    “Selain pemeriksaan terhadap mayat tanpa identiti yang ditemui di Kuala Lumpur dan Selangor, ia turut membabitkan penemuan di negeri-negeri lain berikutan profile Zalina sudah kita hantar ke Jabatan Kimia.

    “Kita tidak sama sekali menutup siasatan kes ini dan orang ramai masih diberi ruang untuk menyalurkan apa-apa maklumat terbaharu mengenai kehilangan Zalina,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini, lapor Harian Metro.

    Kehilangan Zalina dilaporkan anak lelakinya berusia 33 tahun pada 29 November tahun lalu.

    Polis sebelum ini mendedahkan keyakinan bahawa wanita itu masih berada di Malaysia susulan tiada pergerakan keluar dikesan pihak berkuasa.

  • Kehilangan Zalina: Kontraktor ubahsuai rumah tiada kaitan – Polis

    Kehilangan Zalina: Kontraktor ubahsuai rumah tiada kaitan – Polis

    TIGA lelaki yang menjalankan kerja pengubahsuaian rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman di Seksyen 3, di sini didapati tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan wanita itu.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata perkara itu berdasarkan keterangan yang diambil daripada kesemua mereka yang berusia lingkungan 30-an berkenaan, dua minggu lepas.

    Beliau berkata seorang daripadanya merupakan kontraktor manakala dua lagi adalah pekerja dengan mereka mula melakukan kerja pengubahsuaian pada 2019 selepas Zalina Shaharah membeli rumah tersebut setahun sebelumnya.

    “Ubah suai rumah itu dilakukan secara berperingkat bermula dari pendawaian, studio, galeri dan tempat masak untuk rakaman. Kos ubah suai itu berjumlah kira-kira RM320,000 dan dua transaksi pembayaran sekitar RM260,000 telah dilakukan Zalina Shaharah dengan terakhir pada Ogos 2021.

    “Bagaimanapun, Zalina Shaharah tidak meneruskan pengubahsuaian kerana tidak mempunyai wang untuk meneruskan kerja pengubahsuaian yang telah siap kira-kira 60 peratus,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini. 

    Mohd Iqbal berkata setakat ini, pihaknya telah merakamkan keterangan daripada 20 individu untuk membantu siasatan kehilangan wanita berkenaan.

    Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah merampas sebuah komputer riba untuk dianalisis dan beberapa dokumen menerusi pemeriksaan di rumah Zalina Shaharah pada 28 Julai lepas.

    “Kita juga telah melakukan pemeriksaan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) namun gagal mengesan sebarang jejak di rumah tersebut,” katanya. 

    Dilaporkan, polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina Shaharah, 58, atau dikenali sebagai Zalina Azman daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov tahun lepas bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    Polis mempercayai Zalina Shaharah masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.- BERNAMA

  • Tiga kali rumah Zalina diperiksa polis, tiada petunjuk baharu

    Tiga kali rumah Zalina diperiksa polis, tiada petunjuk baharu

    POLIS belum menemukan sebarang petunjuk baharu berhubung kes kehilangan bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata sehingga kini pihaknya telah melakukan tiga kali pemeriksaan ke atas rumah wanita tersebut.

    “Pemeriksaan terakhir dilakukan di rumah orang hilang (OH) pada 28 Julai lalu namun tiada petunjuk dan penemuan baharu,” katanya yang dihubungi hari ini. 

    Beliau berkata pemeriksaan dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Bahagian Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. 

    Dilaporkan, polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina Shaharah, 58, atau dikenali sebagai Zalina Azman daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    Polis mempercayai Zalina Shaharah masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.- BERNAMA

  • Zalina dipercayai masih berada dalam negara – Polis

    Zalina dipercayai masih berada dalam negara – Polis

    BEKAS pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas dipercayai masih berada dalam negara.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia susulan setelah pihaknya mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen.

    Mohd Iqbal berkata, setakat ini pihaknya turut mengesahkan bahawa tidak ada sebarang laporan polis dibuat oleh orang awam selepas hebahan berhubung kehilangan Zalina Shaharah, 58, dilakukan polis.

    Pagi tadi, sebuah portal hiburan tempatan melaporkan terdapat individu yang mendakwa melihat seorang wanita seperti Zalina Shaharah pada Ahad lepas menerusi Twitter miliknya.

    Wanita yang didakwa mirip Zalina Shaharah itu muncul di kafe miliknya di Seksyen 9, Shah Alam kira-kira 1 tengah hari dalam keadaan seperti cemas dan menggigil ketakutan.

    Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas.

    Zalina Shaharah dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. – BERNAMA