Tag: Zakir Naik

  • Zakir Naik pulang ke Malaysia selepas Aidilfitri

    Zakir Naik pulang ke Malaysia selepas Aidilfitri

    PENCERAMAH bebas, Zakir Naik dijangka pulang ke Malaysia selepas sambutan Aidilfitri.

    Peguamnya, Akberdin Abdul Kader berkata, Naik kini berada di Oman untuk menyampaikan ceramah sepanjang Ramadan.

    Beliau mengulangi Naik dalam keadaan selamat dan diberikan layanan baik di Muscat.

    “Jadi, beliau hanya akan pulang (ke Malaysia) selepas hari raya kelak. Setakat ini, Naik dalam keadaan baik dan menjadi tetamu di sana,” katanya menurut Harian Metro.

    Pada 27 Mac lalu, akhbar itu melaporkan Naik, yang menjadi buruan di India, akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat selepas menghadiri beberapa program di Oman.

    Media sebelum itu melaporkan Naik tiba di Oman pada 22 Mac lalu untuk menyampaikan ceramah agama atas jemputan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama.

    Naik yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia, dikehendaki pihak berkuasa India berhubung tuduhan pengubahan wang, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.

    Kerajaan India menghantar permohonan rasmi mengekstradisi beliau pada Januari 2018.

  • Kes Zakir Naik saman Kulasegaran selesai secara baik

    Kes Zakir Naik saman Kulasegaran selesai secara baik

    KES saman fitnah yang difailkan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik terhadap Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran selesai secara baik tanpa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Zakir berkata, terma-terma dalam perintah persetujuan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, namun ia tidak boleh didedahkan.

    “Pada prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin telah merekodkan perintah persetujuan itu. Kes saman itu berjaya diselesaikan secara baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Peguam K. Shanmuga yang mewakili Kulasegaran mengesahkan perkara itu.

    Sebelum ini, kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 26 dan 27 Jun tahun ini.

    Pada 27 Nov 2019, Dr Zakir memfailkan saman itu terhadap Kulasegaran berhubung kenyataan ahli politik tersebut yang didakwa telah mengundang kecaman awam terhadapnya dan menggambarkan beliau sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

    Dalam pernyataan tuntutannya, selain pampasan dan ganti rugi daripada Kulasegaran, Dr Zakir turut memohon perintah injunksi daripada mahkamah bagi melarang defendan menerbit serta menyebarkan empat artikel yang didakwa berbaur fitnah.

    Zakir turut menuntut permohonan maaf dikeluarkan oleh defendan serta disiarkan di akhbar dan portal berita secara dalam talian dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis diserahkan. – BERNAMA

  • Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Dr Zakir Naik

    Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Dr Zakir Naik

    PERBICARAAN kes saman fitnah yang difailkan oleh penceramah bebas Dr Zakir Naik terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, S. Raveentharan akan didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

    Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Dr Zakir untuk kebenaran merayu selepas membenarkan bantahan awal peguam Raveentharan iaitu Datuk T. Tharumarajah, Kernail Singh dan Asmeeta Rajendran.

    Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat berkata keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos tahun lepas adalah berdasarkan bantahan awal yang dikemukakan pada pendengaran rayuan itu dan Mahkamah Rayuan tidak meneruskan untuk mendengar merit rayuan itu.

    “Oleh itu, usul kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan sekarang terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan itu adalah berdasarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden (Raveentharan) di Mahkamah Rayuan,” katanya.

    Beliau berkata, kebenaran tidak boleh diberikan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana permohonan kebenaran merayu mestilah berkaitan dengan perkara di Mahkamah Tinggi dalam bidang kuasa asalnya.’

    Hakim Ong membenarkan bantahan awal itu dan menolak permohonan kebenaran merayu dengan kos RM30,000.

    Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Raveentharan untuk memindahkan kes saman itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, menyebabkan Dr Zakir memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

    Bagaimanapun pada 13 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Zakir selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam Raveentharan berhubung ketidakpatuhan terhadap peruntukan mandatori Kaedah 18(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 oleh bekas peguam cara (Dr Zakir) berkaitan rekod rayuan.

    Beliau kemudian memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

    Pada prosiding mahkamah hari ini yang dijalankan secara maya, Kernail Singh mengemukakan bantahan awal dengan mengatakan permohonan Dr Zakir untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan adalah tidak kompeten.

    Beliau berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan kebenaran kerana persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak timbul daripada penghakiman atau perintah Mahkamah Rayuan berkenaan dengan kausa perkara yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidang kuasa asalnya.

    Kernail Singh berhujah, Mahkamah Rayuan tidak mendengar rayuan Dr Zakir mengenai merit terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidang kuasa asalnya, sebaliknya Mahkamah Rayuan mendengar bantahan awal.

    Dalam erti kata lain, Mahkamah Rayuan mendengar bantahan awal dalam melaksanakan bidang kuasa asal Mahkamah Rayuan, tambahnya.

    Peguam Dr Zakir, Datuk Sulaiman Abdullah yang hadir bersama Dr Rafie Shafie dan Datuk Akberdin Abdul Kader, berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan perlu mendengar permohonan kebenaran merayu itu.

    Beliau berkata, individu yang mengemukakan bantahan awal harus menyatakan dengan lengkap apakah alasannya itu, tetapi dalam kes tersebut, Raveentharan tidak menyatakan apa-apa.

    Pada 12 Dis 2019, Dr Zakir selaku plaintif memfailkan saman terhadap bekas ADUN itu atas dakwaan memuat naik lima kenyataan fitnah di Facebook antara 13 dan 17 Okt tahun sama.

    Plaintif memohon perintah daripada mahkamah supaya Raveentharan mengeluarkan lima kenyataan fitnah itu daripada laman sesawang, media sosial atau mana-mana medium yang berkaitan selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA