Tag: zakat

  • TH umum agihan keuntungan selepas zakat 3.10 peratus

    TH umum agihan keuntungan selepas zakat 3.10 peratus

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, membabitkan nilai RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2022, meningkat tujuh peratus berbanding RM2.46 bilion tahun sebelumnya.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendepositnya dan ia juga setelah mengambil kira pembayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.

    “Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus.

    “Agihan ini telah ditolak zakat berjumlah RM97 juta yang dilunaskan kepada semua Majlis-majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit TH.

    “Pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. Sehingga kini TH telah melunaskan zakat berjumlah RM1.27 bilion,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula jam 12 tengah hari esok.

    “Ia boleh disemak menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic,” katanya.

    Sementara itu Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, prestasi pelaburan TH telah dapat dipertahankan walaupun berhadapan pasaran yang merudum pada tahun 2022.

    “Kami mengambil pendekatan yang amat berhati-hati untuk meminimumkan risiko dan memastikan pemilihan aset yang baik untuk menjana hasil.

    “Walaupun berhadapan tekanan inflasi, TH juga telah berjaya mengawal perbelanjaan dengan jumlah perbelanjaan operasi menurun sebanyak tiga peratus berbanding tahun 2021.

    “TH akan terus mengambil langkah meminimumkan risiko supaya modal pelaburan terpelihara dan tidak terjejas,” katanya.

  • Bekas guru besar didakwa pecah amanah wang zakat

    Bekas guru besar didakwa pecah amanah wang zakat

    SEORANG bekas guru besar hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan pecah amanah menyalahgunakan wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 pada 2019.

    Bagi kesemua pertuduhan, Mohamed Nor Azmi Darno, 54, didakwa melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan wang sumbangan zakat, dengan nilai keseluruhan RM75,000 daripada sebuah syarikat korporat kepada murid asnaf di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh, dekat sini di mana tertuduh merupakan guru besar sekolah itu pada masa tersebut.

    Mohamed Nor Azmi yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor didakwa menyalahgunakan wang sumbangan itu, masing-masing RM5,000; RM40,000 dan RM30,000 untuk kegunaannya sendiri dan tidak diagihkan kepada murid asnaf sekolahnya, bagi program Pemberian Sumbangan Hari Raya 2019.

    Dia melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah cawangan bank tempatan di Saujana Utama, Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini pada 17 dan 19 Jun 2019.

    Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Asikin Mohamed Yusoff.

    Terdahulu, Nur Asikin yang mewakili Mohamed Nor Azmi memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah daripada RM80,000 yang dicadang pihak pendakwaan, atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan enam anak dengan dua daripada mereka masih belajar serta tertuduh merupakan pencari nafkah utama keluarga.

    Hakim Rozilah Salleh memerintahkan tertuduh diikat jamin RM30,000 untuk kesemua kesalahan dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Nov depan.

    Sebagai syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi. – BERNAMA