Tag: zaid ibrahim

  • Zaid Ibrahim mahu tanding jawatan MKT UMNO

    Zaid Ibrahim mahu tanding jawatan MKT UMNO

    BEKAS menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan untuk bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

    Perkara itu diumumkan Zaid menerusi ciapan di Twitter hari ini.

    “Esok, saya akan mengemukakan borang permohonan saya untuk bertanding kerusi ahli Majlis Tertinggi UMNO,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pemilihan MKT UMNO dijadual diadakan pada 18 Mac ini.

    Zaid kembali kepada UMNO pada Sept tahun lalu selepas meninggalkan parti itu 14 tahun lalu.

    Katanya, keputusan beliau kembali kepada UMNO kerana mahu membantu “pembaharuan dari dalam”.

    Beliau kali pertama menyertai UMNO pada 2000. Zaid memenang Parlimen Kota Bharu pada 2004 tetapi digugurkan dalam pilihan raya umum 2008.

    Zaid digantung keahlian pada 2008 sebelum beliau menyertai PKR pada 2009 tetapi meninggalkan parti itu setahun kemudian.

    Pada 2010, Zaid menubuhkan Kita tetapi meletak jawatan sebagai ketuanya dua tahun selepas itu.

    Beliau menyertai DAP pada 2017 sebelum meninggalkan parti itu tiga tahun kemudian.

  • Kenyataan Shafee di mahkamah ‘salah’ – Zaid

    Kenyataan Shafee di mahkamah ‘salah’ – Zaid

    FIRMA guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan mempertikaikan kenyataan dibuat bekas peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika prosiding pada Isnin lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, surat itu menyifatkan kenyataan Shafee bahawa beliau melepaskan diri daripada mewakili Najib dalam rayuan SRC International disebabkan rasa tidak puas hati dengan pasukan pembelaan Zaid sebagai salah.

    Menurut surat itu, Najib sebenarnya telah melepaskan Shafee daripada mewakilinya.

    “Kami mengetahui perkara ini, kerana apabila diarahkan mengambil alih pengendalian perkara itu, kami dipanjangkan satu salinan surat daripada perayu (Najib kepada Shafee) bertarikh 25 Julai 2022 yang melepaskan Shafee dan firma guamannya dengan beberapa alasan diberikan untuk pelepasan,” menurut surat itu yang ditandatangani bersama oleh peguam Datuk Zaid Ibrahim dan Liew Teck Huat.

    Bagaimanapun, firma Zaid tidak dapat mendedahkan kandungan surat berkenaan mahupun menyatakan alasan keputusan Najib itu disebabkan perlindungan keistimewaan profesional undang-undang.

    “Kami harus menambah bahawa Shafee sedar bahawa beliau telah dilepaskan daripada bertindak bagi pihak (Najib) pada 25 Julai memandangkan firma guaman beliau sendiri telah menulis surat kepada mahkamah pada pagi 26 Julai dengan memberi satu notis rasmi bahawa beliau dan firma guamannya telah dilepskan,” menurut surat itu.

    “Fakta bahawa Shafee dengan sengaja menyatakan satu kenyataan tidak benar dalam Mahkamah Terbuka (atas apa jua sebab pun), dengan hormatnya, tidak boleh dibiarkan tanpa pembetulan,” kata Zaid dan Liew dalam surat itu.

    Mereka berkata, sebagai pegawai mahkamah, mereka bertanggungjawab menarik perhatian mahkamah terhadap perkara itu.

    Selepas pendakwaan selesai berhujah Jumaat lepas, rayuan Najib dijadualkan bersambung pada Selasa.

    Bagaimanapun, pada lewat Isnin, peguam bela utama Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan mahkamah bahawa Najib telah memfailkan permohonan supaya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuannya.

    Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud kemungkinan berat sebelah ekoran kenyataan suami hakim tersebut di media sosial empat tahun lepas.

    Ketika prosiding berlangsung pada Selasa, Shafee hadir dan memaklumkan mahkamah beliau telah dilantik semula oleh Najib untuk menghujahkan permohonan supaya Tun Tengku Maimun menarik diri.

    Mahkamah terus mendengar permohonan itu sebelum menolaknya. Mahkamah kemudian mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 dan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lepas

    Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

    Tengku Maimun turut bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.