Tag: Zahidi Zainul Abidin

  • PRU-15: Zahidi dakwa BN bakal kalah di Perlis

    PRU-15: Zahidi dakwa BN bakal kalah di Perlis

    BEKAS pemimpin UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kalah di Perlis buat julung kali pada 19 Nov ini.

    Tidak cukup dengan itu, beliau turut menjangkakan BN akan hilang sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen, iaitu Arau dan Padang Besar, serta sembilan kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Katanya, ramalan itu berdasarkan hasil kajian dan situasi semasa, selepas BN menggugurkan calon boleh menang.

    “Di Arau, empat kerusi sudah tentunya kalah, iaitu Guar Sanji, Pauh, Simpang Empat dan Sanglang. Di Kangar, BN dijangka kalah di Kuala Perlis, Indera Kayangan, Sena dan Bintong.

    “(Di) Padang Besar, BN dilihat sudah pasti kalah di DUN Titi Tinggi, manakala Parlimen Arau, Shahidan Kassim dilihat tidak menghadapi masalah menang, selain Padang Besar peluang 50-50 untuk BN menang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

    Bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu digugurkan BN dan kemudian bertanding atas tiket bebas di Parlimen itu dan DUN Titi Tinggi.

    Selain Zahidi, bekas Ahli Parlimen Arau, Shahidan juga digugurkan BN dan bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

  • Digugurkan UMNO: Dua penyandang di Perlis tanding Bebas, PN

    Digugurkan UMNO: Dua penyandang di Perlis tanding Bebas, PN

    DUA penyandang kerusi Parlimen di Perlis, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin yang digugurkan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), akan mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket lain.

    Di Arau, Shahidan Kassim akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan akan ditentang oleh calon BN, Datuk Rozabil Abd Rahman, calon Pejuang, Abdul Razak Abdul Khalek dan calon PH, Fathin Amelina Fazlie lapor Malaysiakini.

    Shahidan, 71 menjadi wakil rakyat di Parlimen itu selama empat penggal sejak PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 dan ini kali kelima, bekas menteri besar itu akan mempertahankan kerusi berkenaan.

    Di Padang Besar, Zahidi akan ditentang empat calon lain termasuk Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Muhammad Saad @ Yahya (PH); Rusydan Rusmi (PN) dan Ko Chu Liang mewakili parti Warisan.

    Ketua UMNO bahagian Padang Besar itu akan turut bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, juga atas tiket Bebas.

  • ‘Don’t Look at the Demon’, filem Malaysia pertama masuk pasaran Amerika Utara

    ‘Don’t Look at the Demon’, filem Malaysia pertama masuk pasaran Amerika Utara

    FILEM seram ‘Don’t Look at the Demon’, sebagai filem Malaysia pertama memasuki pasaran Amerika Utara  sekali gus membuka jalan untuk kejayaan dalam produksi tempatan masa depan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

    Menaraf filem itu sembilan daripada 10, katanya, filem tersebut, yang diterajui oleh pengarah dan penerbit filem tempatan, Brando Lee, memberi peluang kepada penonton antarabangsa untuk mempelajari dan memahami budaya, tradisi dan tarikan pelancong di Malaysia.

    “Sekarang kami telah memasuki pasaran Amerika Utara, kami boleh berusaha untuk mencapai tahap baharu dengan menyasarkan memburu anugerah seperti Oscar, Emmy, dan banyak lagi dalam masa terdekat,” katanya selepas tayangan perdana filem itu di Pawagam DADI, Pavilion Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

    Selain Lee, tayangan perdana tersebut turut dihadiri pelakon, Malin Crépin, kelahiran Sweden. yang membawakan watak ‘Martha’ dan pelakon tempatan Hafidzuddin Fazil memegang watak sebagai pelayan bar.

    ‘Don’t Look at the Demon’, dengan bajet pembikinan hampir RM9 juta akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 6 Okt ini dan sehari kemudian di lebih 250 pawagam di Amerika Utara.

    Berdasarkan kisah sebenar, filem tersebut mengisahkan sekumpulan penyiasat paranormal Amerika Syarikat yang telah mengembara ke Bukit Fraser di Pahang untuk menyiasat kejadian ghaib di sebuah rumah yang dibina pada tahun 1970-an. – BERNAMA

  • Kisah Setanggi Ratna Inderapura bakal difilemkan

    Kisah Setanggi Ratna Inderapura bakal difilemkan

    KEMENTERIAN Komunikasi Dan Multimedia (K-KOMM) akan menjadikan kisah Setanggi Ratna Inderapura sebagai filem yang berupaya menembusi pasaran pawagam antarabangsa.

    Timbalan Menteri K-KOMM Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kisah sejarah Sultanah Alam Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Ungu, srikandi Melayu yang terkenal dengan berpencak senjata dan mengetuai angkatan perang dapat dijadikan pengajaran khusus buat generasi muda pada masa ini.

    “Ramai yang perlu tahu mengenai kisah Raja Ungu ini kerana ia sangat bermakna dan cerita ini bukan sahaja menonjolkan tentang sejarah Melayu tetapi elemen seperti syair dan nazam Melayu, harus ditonjolkan kepada generasi muda,” katanya selepas menonton Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini. 

    Menurut Zahidi, beliau akan ke Thailand dalam masa terdekat untuk mengadakan kolaborasi strategik antara produksi filem tempatan bersama produksi filem Thailand bagi tujuan berkenaan. 

    “Minggu depan saya nak ke Thailand kerana kita mahu menggalakkan filem Setanggi Ratna Inderapura ini menembusi pasaran antarabangsa…saya juga akan berusaha mencari produksi-produksi  filem di sana untuk bekerjasama dalam mengeluarkan filem ini,” katanya. – BERNAMA