Tag: YouTuber

  • Tuduhan perkauman palsu, Youtuber diberi tempoh 24 jam minta maaf

    Tuduhan perkauman palsu, Youtuber diberi tempoh 24 jam minta maaf

    SEORANG Youtuber diberi tempoh 24 jam untuk memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menyebarkan provokasi dan tuduhan palsu berbaur perkauman terhadap Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong, Youtuber yang menggunakan nama Cleo Hoo itu didakwa memuat naik satu video berbaur perkauman dan memainkan sentimen agama melampau dengan tuduhan palsu Khamis lalu, sehari selepas PN memenangi pilihan raya Parlimen Padang Serai.

    Beliau berkata, video berbahasa Cina itu antaranya cuba menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi berbangsa Cina dengan mengatakan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan dan orang bukan Islam perlu menukar agama kepada Islam jika PN memerintah negara.

    Selain itu, katanya, video yang sudah ditonton lebih 81,000 kali itu turut mendakwa daging babi akan diharam daripada dijual di negara ini, selain kedai judi perlu ditutup seperti di Kelantan dan Terengganu jika PN mentadbir negara.

    “Dia kata daging babi akan diharam daripada dijual seperti di Kelantan, tetapi ini tidak benar kerana orang bukan Islam bebas membeli dan menjualnya di Kelantan dan Terengganu.

    “Dakwaan orang bukan Islam perlu tukar agama juga adalah kenyataan provokasi, tidak bertanggungjawab dan berunsur hasutan kerana PN berpegang pada Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama dalam kalangan rakyat Malaysia.

    “Setakat ini, GERAKAN beri peluang kepada Youtuber ini untuk mohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, kami akan membuat laporan polis atau mengambil tindakan saman sivil,” katanya pada sidang media di ibu pejabat GERAKAN di Kuala Lumpur, hari ini.

    Terdahulu, beliau memainkan sebahagian daripada video berdurasi lebih 10 minit itu berserta sari kata, yang antara lain menunjukkan Youtuber itu mendakwa Malaysia akan bertukar menjadi seperti Afghanistan dalam tempoh kurang lima tahun jika PN menjadi kerajaan.

    Sentimen itu pernah dilaungkan secara terbuka oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming beberapa hari sebelum pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang memberi amaran Malaysia akan menjadi seperti negara Taliban jika PN berkuasa.

    Selain itu, Youtuber berkenaan yang memiliki lebih 61,000 pengikut, mendakwa pihak yang mempersoalkan kerajaan perpaduan dan memberi sokongan kepada PN wajar menukar nama anak dan cucu kepada ‘Abdullah’, selain menyifatkan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai ‘pengkhianat bangsa Cina’.

    Kah Keong mengingatkan penyokong parti politik untuk tidak terikut dan mengulangi sentimen serta tuduhan dimainkan parti tertentu, khususnya dakwaan dalam video berkenaan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

    “Jangan buat kenyataan tidak bertanggungjawab. Kebebasan kita ada batasnya,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Pernah dihina, Awang kini popular

    Pernah dihina, Awang kini popular

    SEJAK menonton sebuah video yang memaparkan seorang pemuda kurang upaya diejek dan dihina, penggiat YouTube atau Youtuber Muhamad Sukri Sulaiman tekad menjadikan insan istimewa tersebut terkenal dan dihormati masyarakat. 

    Muhamad Sukri, 27, berkata selepas menonton video tersebut sekitar 2018, beliau terus menjejaki Muhammad Hafizuan Muhammad Adam, 28, atau lebih dikenali sebagai Awang.

    Tujuannya ialah untuk menjadikan pemuda yang mengalami masalah pembelajaran itu sebagai seorang selebriti menerusi kemunculan dalam video terbitan syarikat produksinya Sukri Sulaiman Production. 

    “Apabila saya tengok video di Instagram yang mengejek Awang (Muhammad Hafizuan) dengan perkataan yang tidak sedap didengar membuatkan saya berasa sangat marah dan sejak itu, impian saya tiada lain tetapi hanya ingin orang hormatkan Awang,” katanya kepada Bernama di sini. 

    Muhamad Sukri berkata beliau terpaksa menunggu selama setahun untuk mendapatkan Awang memandangkan ketika itu dia masih terikat dengan sebuah syarikat produksi lain. 

    “Setelah setahun dan syarikat produksi tersebut tidak lagi mampu menguruskan Awang kerana tiada pengambaran video dan tawaran pengiklanan produk, akhirnya saya berjaya membawa Awang mengikut saya pada hujung tahun 2019. Sejak itu, bermulalah perjalanan kami menghasilkan video bersama-sama,” katanya.

    Katanya, selain pengiklanan produk dan ulasan makanan serta perkhidmatan, kebanyakan video yang menampilkan Awang berkaitan isu semasa dan masyarakat seperti bola sepak serta kehidupan berumah tangga.

    Antara karya yang mendapat sambutan luar biasa adalah beberapa siri video berjudul ‘Durian Mustaqim’ dihasilkan Julai tahun lepas yang memaparkan realiti semasa mengenai durian, termasuk harga yang tinggi, menjadi fenomena ketika itu di platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Tik Tok dan Instagram.

    Lebih membanggakan, pada 11 Ogos 2021 salurannya telah dianugerahkan ‘Youtube Silver Play Button’ selepas mencecah 100,000 pelanggan.

    Menurut Muhamad Sukri, meskipun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) lembam, Awang tidak sukar diurus, malah mudah mendengar kata dan memahami arahan yang diberikan.

    — LAGI

    YOUTUBER-AWANG 3 (AKHIR) KUALA TERENGGANU

    Katanya, sikap pemuda itu yang spontan, jujur dan kelakar telah berjaya menambat hati peminat, sama ada dari dalam atau luar Terengganu.

    “Dia tidak pernah bercakap kasar dengan sesiapa pun. Sekarang ini pergilah ke mana sahaja pasti akan ada yang menyapa Awang dan ingin berswafoto dengannya dan Awang akan melayan permintaan peminat dengan baik,” cerita Muhamad Sukri.

    Beliau juga bersyukur kehidupan Awang kini bertambah baik kerana sudah mempunyai pendapatan sendiri berserta caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), selain telah mengikat kontrak selama dua tahun sebagai duta bagi sebuah syarikat perniagaan emas yang terkenal.

    “Sebelum ini Awang tidak ubah seperti kanak-kanak. Dia akan berjalan-jalan dan bermain seorang diri. Awang juga sangat obses dengan buaian dan akan menghabiskan masanya bermain buaian di taman permainan berdekatan rumahnya di Kampung Seberang Pintasan di Dungun,” katanya sambil menambah ibu Awang yang menguruskan kewangan pemuda itu.

    Impian untuk menjadikan Awang terkenal dan dihormati kini telah tercapai, namun beliau tidak dapat lari dari tohmahan segelintir masyarakat yang mendakwa kononnya beliau mempergunakan insan istimewa itu.

    Walaupun berasa agak terkilan, Muhamad Sukri tidak menghiraukan perkara itu kerana yakin segala usahanya adalah demi membela nasib Awang dan inginkan pemuda itu berdikari.

    “Sebelum kehadiran Awang saya sudah ada 300,000 pengikut di Facebook, saya juga memang telah lama menjadi Youtuber. Jadi anggapan segelintir pihak itu pada saya tidak berasas,” katanya.- BERNAMA

  • Rakan YouTuber terkenal didakwa bunuh teman wanita

    Rakan YouTuber terkenal didakwa bunuh teman wanita

    SEORANG lelaki yang merupakan rakan seorang Youtuber terkenal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya.

    Abdul Jamal Ahmad, 23, didakwa membunuh Nur Diyanah Haris, 21, di sebuah rumah di Lintang Kampung Masjid, Teluk Kumbar di sini, antara 9 pagi hingga 5 petang pada 3 April lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

    Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali manakala Abdul Jamal tidak diwakili peguam.

    Media sebelum ini melaporkan, polis telah menahan seorang Youtuber lelaki dan tiga rakan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang cedera parah dipukul sebelum meninggal dunia dalam kejadian di Teluk Kumbar.

    Polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau yang memaklumkan seorang wanita dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

    Pemeriksaan ke atas mangsa menemukan kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia pada 3 April ketika menerima rawatan. – BERNAMA