Tag: Young Syefura Othman

  • PRU-15: Rara taruhan DAP pertahan Bentong

    PRU-15: Rara taruhan DAP pertahan Bentong

    DAP mempertaruhkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, ketika sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

    Loke berkata, penyenaraian Young Syefura atau lebih dikenali Rara untuk bertanding di kerusi Parlimen adalah langkah strategik untuk memastikan masa depan DAP ke arah parti pelbagai bangsa.

    Young Syefura atau lebih dikenali Rara dijangka bertembung Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diuar-uar mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi terbabit.

    Pada PRU14, kerusi Parlimen Bentong dimenangi DAP melalui aktivis anti-Lynas, Wong Tack yang bertanding menggunakan logo PKR, menewaskan dua calon termasuk Tiong Lai selaku penyandang.

    Ditanya mengenai nama Wong Tuck yang tidak disenarai, Loke berkata penyandang kerusi Parlimen Bentong itu menolak tawaran parti untuk bertanding di Cameron Highlands

    “Kita mahukan langkah yang strategik untuk Bentong dan kita cadangkan beliau (Wong Tuck) bertanding di Cameron Highlands, namun beliau tidak bersetuju,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau bagaimanapun tidak mengulas sebab mengapa Wong Tuck tidak bersetuju dengan cadangan parti itu, sebaliknya menyerahkan kepada bekas wakil rakyat berkenaan untuk menjelaskannya.

    “Saya berbincang dengannya selama tiga jam mengenai kerusi Bentong, namun keputusan akhir terletak pada tangan beliau.

    “Di peringkat parti, kita perlu buat keputusan memandangkan waktu yang ada suntuk,” katanya.

    Dalam pada itu, DAP menerima satu lagi kerusi Parlimen di Pahang iaitu Lipis untuk meletakkan calonnya dalam PRU14, sebagai tambahan kepada tiga kerusi sedia ada iaitu Bentong, Cameron Highlands dan Raub.

    Selain Rara di Bentong, Loke turut mengumumkan nama untuk baki tiga lagi kerusi Parlimen termasuk penyandang kerusi Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang akan bertanding di Lipis.

    Dua lagi nama ialah penyandang kerusi DUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong yang akan bertanding di Parlimen Cameron Highlands dan Chow Yu Hui yang akan mempertahankan penguasaan di Raub.

  • YB Rara menang Timbalan Ketua DAPSY, Marina antara undi terendah

    YB Rara menang Timbalan Ketua DAPSY, Marina antara undi terendah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman yang lebih popular dengan gelaran YB Rara menang jawatan Timbalan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dalam pemilihan hari ini.

    Jawatan Ketua DAPSY pula dimenangi oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.

    Seorang lagi pemimpin muda Melayu dalam DAP, Marina Ibrahim tidak dipilih menganggotai Jawatankuasa DAP.

    Malah, beliau yang baru seminggu bergelar ADUN Skudai beroleh jumlah undi yang agak rendah.

    Memetik laporan Malaysiakini, Kelvin meraih 232 undi bagi menewaskan Eric Teh Hoong Keat (158) dan Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (55) bagi mengetuai sayap itu untuk penggal 2021-2024.

    Beliau akan menggantikan Adun Pasir Pinji, Howard Lee.

    YB Rara pula meraih 212 undi bagi menewaskan Pengerusi DAP Batu Kitang, Abdul Aziz Isa (169) dan Alice Lan Suet Ling (64).

    YB Rara Marina Ibrahim
    Marina Ibrahim gagal memenangi sebarang jawatan dalam Jawatankuasa DAPSY. GAMBAR: Warta Rakyat

    Empat pemimpin yang menjadi Naib Ketua ialah Teh Swee Leong (Kedah), G Annun Nancy (Negeri Sembilan), K Jason Raj (Penang) dan PS Keristinah (Johor).

    Mereka menewaskan calon lain termasuk ADUN Subang, Michelle Ng; ADUN Luyang. Ginger Phoong dan Iskandar Fareez.

    Sekurang-kurangnya satu daripada empat jawatan itu dikhususkan untuk calon wanita.

    Bagi jawatan Setiausaha, Wayne Ong Chun Wei (Selangor) menewaskan Jenny Choy (Perak). Beliau meraih 240 undi manakala Jenny beroleh 204 undi.

    Seramai 15 lagi calon terpilih untuk menganggotai jawatankuasa sayap itu, termasuk ADUN Bukit Tunku, Lim Yi Wei.

    Selain Marina, ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee tidak terpilih setelah kedua-duanya mendapat antara undi terendah.

    Hari ini, DAP akan mengadakan pemilihan jawatankuasa eksekutif dengan pemimpin lain bakal menggantikan Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung, iaitu jawatan tertinggi bagi parti itu.