Tag: Yayasan Akalbudi

  • Zahid fail semakan mahkamah tolak permohonan dapatkan pasport secara kekal

    Zahid fail semakan mahkamah tolak permohonan dapatkan pasport secara kekal

    TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal, bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

    Pada 3 Feb lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen itu untuk Ahmad Zahid, memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkmamah, setelah segala urusan permohonan diplomatik selesai.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Peguam Aiman Abdul Rahman mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi, mengesahkan mengenai permohonan itu dan memaklumkan semasa pengurusan kes hari ini secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron, mahkamah menetapkan 27 Mac untuk pendengaran permohonan tersebut.

    Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 13 Feb, Ahmad Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya pasport tersebut dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.

    Menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata Hakim Sequerah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.

    “Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuk saya memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.

    “Oleh itu, wajar bagi Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan dan kelangsungan terhadap pentadbiran negara, yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat Malaysia,” katanya.

    Ahmad Zahid menyatakan bahawa permohonan itu sama sekali tidak bersifat mala fide (niat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak, kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan. – BERNAMA

  • Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

    Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Ahmad Zahid, 70, berkata permohonan tersebut adalah bersifat bona fide (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar beliau dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

    “Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara,” katanya yang memfailkan notis permohonan berserta afidavit sokongan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 20 Jan lepas.

    Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Ahmad Zahid berkata beliau dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.

    Selain itu, Ahmad Zahid berkata pasport tersebut diperlukan kerana ia adalah syarat dalam proses permohonannya untuk mendapatkan Pasport Diplomatik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, bagi tujuan pergerakan rasmi keluar dan masuk negara.

    “Adalah wajar untuk mahkamah mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan serta kelangsungan terhadap pentadbiran Malaysia yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat di negara ini,” katanya menerusi afidavit itu.

    Ahmad Zahid berkata permohonan tersebut tidak bersifat mala fide (berniat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak kerana beliau mengaku janji untuk tetap akan memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kesnya sehingga ke peringkat akhir pembelaan.

    “Saya turut mengaku janji bahawa saya akan patuh pada semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah dan akan memberi kerjasama penuh untuk menghadiri perbicaraan pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan,” jelasnya.

    Menurutnya, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan-permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah untuk membenarkannya ke luar negara bagi tujuan-tujuan rasmi.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau tidak mempunyai niat untuk melarikan diri dari negara ini dan tidak menghadirkan diri ke prosiding mahkamah kerana beliau masih berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik selain kesemuanya ahli keluarganya berada di negara ini.

    Sehubungan itu, Ahmad Zahid memohon supaya mahkamah mengetepikan syarat tambahan jaminan iaitu penyerahan pasport kepada mahkamah dan memohon ia dikembalikan kepadanya secara kekal secepat mungkin selain mengekalkan wang jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadapnya. 

    Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi permohonan tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Ain Hamzah yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan peguam Nabihah Meor Azli mewakili Ahmad Zahid.

    Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 3 Feb ini.

    Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes itu yang kini di peringkat membela diri dan akan bersambung 10 April di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – BERNAMA

  • Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh tahun depan

    Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh tahun depan

    PERBICARAAN kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) ditangguhkan ke Januari tahun depan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan kenyataan saksi.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah melapangkan tarikh pendengaran itu hari ini dan esok serta 9 dan 10 Nov selepas peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu.

    Hakim menetapkan 21 hari untuk perbicaraan iaitu 16-19 Jan, 30-31 Jan, 7-9 Feb, 27-30 Mac, 10-13 April dan 15-18 Mei.

    Terdahulu, Hisyam berkata pihak pembelaan memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu keputusan rayuan Ahmad Zahid terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan keterangan rekod 15 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Beliau berkata rayuan itu dijadual didengar pada 14 Nov di Mahkamah Rayuan.

    “Apa sahaja keputusan Mahkamah Rayuan, ini akan membantu pihak pembelaan menentukan saksi-saksi yang kami panggil di hadapan Yang Arif.

    “Terdapat beberapa saksi yang ditawarkan oleh pihak pembelaan yang akan kami tumpukan tetapi kami memerlukan panduan daripada Mahkamah Rayuan sama ada kami boleh mendapatkan kenyataan mereka atau sebaliknya, jadi kami dalam dilema. Atas nama keadilan, kami meminta mahkamah menunggu keputusan pada 14 Nov,” kata peguam itu.

    Beliau juga berkata seorang saksi dari Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan hari ini tidak sihat dan pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil buat masa ini.

    Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB. – BERNAMA