Tag: Yang diPertuan Agong

  • Agong iktiraf prestasi cemerlang kerajaan PN, kata Tuan Ibrahim

    Agong iktiraf prestasi cemerlang kerajaan PN, kata Tuan Ibrahim

    SEMUA pencapaian yang dibentangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah merupakan kejayaan cemerlang kerajaan terdahulu yang telah disahkan baginda sendiri.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, prestasi cemerlang yang ditonjolkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapat pengiktirafan baginda sebelum diteruskan oleh kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Data-data yang dikatakan oleh Tuanku itu ialah hasil kejayaan-kejayaan kerajaan sebelum ini yang ternyata cemerlang.

    “Semua pencapaian yang dibentangkan adalah kejayaan kerajaan terdahulu dan ia bukti nyata sebagaimana yang dinyatakan oleh Tuanku.

    “(Kerajaan PH-BN) yang baru-baru ini baru dua bulan, tak ada apa-apa lagi,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas titah Al Sultan Abdullah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas juga menyambut baik saranan Al Sultan Abdullahyang menyeru semua ahli politik supaya mengetepikan agenda politik sempit.

    Menurut beliau, Pas telah lama menyeru agar politik ekstrem diketepikan oleh rakyat.

    “Politik sempit bertentangan dengan nilai Islam dan tentunya tidak membantu negara,” katanya.

    Al Sultan Abdullah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini menyeru semua pihak mengenepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan.

    Baginda bertitah, kestabilan lanskap politik menerusi ikatan perpaduan ahli-ahli parlimen perlu dijadikan sebagai manifestasi dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang.

    Tuan Ibrahim juga menambah, Pas akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif yang akan menjadi semak imbang kepada kerajaan persekutuan.

    “Kita menyambut baik titah Tuanku dan PN akan bertindak sebagai pembangkang yang konstruktif bagi semak imbang kerajaan yang ada,” katanya lagi.

  • Agong titah perjelas keadaan sebelum Perdana Menteri angkat sumpah

    Agong titah perjelas keadaan sebelum Perdana Menteri angkat sumpah

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan kronologi dan titah di dalam Istana Negara sebelum beliau mengangkat sumpah, dua minggu lalu.

    Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan demikian supaya tidak timbul kekeliruan berhubung isu terbabit sehingga menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.

    “Semalam ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, baginda nyatakan ada baiknya jika Perdana Menteri jelaskan supaya jangan timbul kekeliruan, terutamanya yang menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

    Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

    Anwar menjelaskan, dalam isu pembentukan kerajaan sebaik Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berakhir, Yang di-Pertuan Agong mengambil tindakan selangkah di depan untuk mengadakan Sidang Khas Majlis Raja-Raja Melayu.

    Yang di-Pertuan Agong mengambil pendekatan mengikut Perlembagaan walaupun ini dipertikai oleh sesetengah tokoh Melayu dan Islam.

    “Penjelasan Yang di-Pertuan Agong kepada saya dan Raja-Raja Melayu yang sempat saya menghadap, adalah menyatakan daripada awal tidak dipertikaikan bahawa parti yang memperolehi kedudukan terbesar akan mendapat keutamaan.

    “Pada ketika itu, parti menang dengan kerusi terbesar adalah Pakatan Harapan (PH) sebanyak 83 kerusi Parlimen dan diikuti oleh Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi Parlimen.

    “Seterusnya ada usaha sambilan untuk mendapatkan akuan bersumpah (SD) dan ia terus berlaku dalam tempoh ditetapkan Yang di-Pertuan Agong, iaitu sehingga pukul 2 petang pada 21 November lalu.

    Beliau berkata, berapa pun jumlah SD yang diperoleh itu hanya akan ditetapkan setelah waktu diberikan berkenaan dimuktamad.

    “Seperti mana dalam perlumbaan dia boleh potong kita di ’round’ (pusingan) pertama. Kita potong dia ’round’ (pusingan) ketiga tapi yang pentingnya ialah garisan penamat.

    “Apabila di garis penamat, saya perolehi jumlah terbesar … kerana orang beri pengakuan sebelumnya, telah menarik balik (sokongan), sebelum tempoh 2 petang,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 19 Disember diadakan kerana beliau mahukan mandat yang lebih jelas untuk memimpin negara.

    “Rasa perlu untuk adakan undi percaya kerana jumlah jelas dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti kecil lain.

    “Saya jawab ampun tuanku, ini bukan soal peraturan dan undang-undang dibangkitkan, tapi kerana saya mahu memimpin dengan mandat yang jelas. Patik yakin perolehi majoriti.

    “Andai kata tidak perolehi, patik akan tunduk suara rakyat,” katanya.

  • Agong ingatkan jangan fitnah, provokasi semasa kempen PRU-15

    Agong ingatkan jangan fitnah, provokasi semasa kempen PRU-15

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru calon dan penyokong parti-parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut menasihatkan semua calon bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh calon dan penyokong mereka dalam kehangatan berkempen.

    “Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen.

    “Seri Paduka Baginda menzahirkan bahawa sifat-sifat tersebut adalah tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni.

    “Sifat-sifat tersebut juga bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan serta keadaan huru-hara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    SPR sebelum itu memaklumkan, PRU-15 akan diadakan pada 19 November nanti selepas 14 hari berkempen bermula selepas penamaan calon pada 5 November.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, pada hemat Seri Paduka Baginda, kerjasama dari semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.

    Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan semoga perjalanan PRU-15 kelak lancar dan selamat dan semoga rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

    Pada kenyataan sama, Ahmad Fadil juga memaklumkan, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani bin Ghazali, di Istana Negara pada Rabu.

    “Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan pihak Polis Diraja Malaysia dan agensi yang berkait bagi tempoh perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota,” katanya lagi.

  • Yang di-Pertuan Agong tingkatkan pegangan dalam Citaglobal

    Yang di-Pertuan Agong tingkatkan pegangan dalam Citaglobal

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meningkatkan pegangan dalam Citaglobal Bhd, syarikat senaraian awam yang terbabit dalam industri kejuruteraan sivil, pembinaan, minyak dan gas (O&G) serta pembuatan.

    Memetik laporan Berita Harian, Al-Sultan Abdullah kini menguasai kepentingan 12.4 peratus, meningkat daripada 9.0 peratus sebelum ini.

    Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Citaglobal berkata, Al-Sultan Abdullah memiliki kepentingan langsung sejumlah 132,118,593 unit saham dalam syarikat yang mula diperbadankan atas nama Weng Zheng Resources Bhd dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2 Januari 2008.

    Syarikat turut memiliki unit operasi utama iaitu Citaglobal Land Sdn Bhd, Sinergi Dayang Sdn Bhd, Citaglobal Energy Sdn Bhd dan WZS Industries Sdn Bhd.

    Pada 7 Jun lalu, kumpulan itu menukar nama kepada Citaglobal Bhd sebagai memberi gambaran yang lebih baik mengenai skop perniagaan yang bergerak ke hadapan.

    Menurut laman web rasmi Citaglobal, syarikat itu berhasrat menjadi sebuah konglomerat yang terbabit dalam sektor pengurusan kemudahan, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur dan teknologi.

    Citaglobal dipimpin oleh Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria sebagai Presiden dan Pengerusi Eksekutif bersama Naib Pengerusi Eksekutifnya, Tengku Datuk Seri Uzir Tengku Ubaidillah.

  • Agong, Raja Permaisuri zahir penghargaan kepada ATM, PDRM

    Agong, Raja Permaisuri zahir penghargaan kepada ATM, PDRM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan setinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan atas pengorbanan mereka membantu memerangi penularan wabak Covid-19.

    Penghargaan itu dizahirkan kepada petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas sebagai barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah.

    Penghargaan kepada seluruh perwira atas pengorbanan mereka itu dimuat naik dalam Facebook Istana Negara, hari ini.

  • Agong isytihar darurat di Sarawak hingga 2 Februari 2022

    Agong isytihar darurat di Sarawak hingga 2 Februari 2022

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Feb tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

    Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak COVID-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

    Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

    Warta Kerajaan Persekutuan itu menyebut ordinan berkenaan akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos menurut Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Jan, di mana PRN Sarawak dikehendaki diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

    “Dan bahawasanya Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut, beta boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak COVID-19 jika pilihan raya umum diadakan,” titah Seri Paduka dalam warta berkenaan.

    Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.