Tag: WhatsApp

  • WhatsApp tergendala, berbilion pengguna dunia terjejas

    WhatsApp tergendala, berbilion pengguna dunia terjejas

    APLIKASI mesej popular di dunia, WhatsApp dilaporkan sedang menghadapi masalah sekali gus memberi kesan kepada berbilion pengguna di seluruh dunia.

    Pengguna tidak berupaya untuk menerima dan menghantar teks baharu sejak pukul 3 petang hari ini.

    Mereka hanya boleh menaip teks kepada rakan namun ia tersekat dan tidak menghantar mesej itu.

    Buat masa ini, masih tiada kenyataan rasmi dari WhatsApp, kebanyakan pengguna mula membuat aduan di laman Twitter mengenai masalah itu.

    Perkara itu turut dilaporkan portal United Kingdom, The Independent.

    Hindustan Times melaporkan, India juga melaporkan masalah yang sama.

    Sementara itu, gangguan WhatsApp kembali pulih kira-kira pukul 5 petang, dua jam selepas masalah itu dilaporkan.

  • Indonesia sekat Facebook, Google, WhatsApp jika…

    Indonesia sekat Facebook, Google, WhatsApp jika…

    PIHAK berkuasa Indonesia bersedia untuk menyekat aplikasi media sosial dan perkhidmatan dalam talian termasuk Google, Facebook, dan WhatsApp dalam beberapa hari akan datang jika pihak terbabit gagal mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Informasi negara itu, lapor Xinhua.

    Syarikat gergasi digital termasuk Facebook, Google dan WhatsApp diberi tempoh sehingga Rabu untuk melengkapkan pendaftaran pelesenan.

    Pihak kementerian akan melabel aplikasi-aplikasi berkenaan sebagai haram dan menyalahi undang-undang negara jika gagal berbuat demikian.

    “Kami telah memberi amaran kepada semua syarikat teknologi tempatan dan asing termasuk perkhidmatan dalam talian, laman sesawang dan pengendali aplikasi bahawa mereka perlu mendaftar jika tidak mahu dikenakan sekatan. Kami telah memberi tempoh sejak enam bulan lalu,” Ketua Pengarah kementerian bahagian Aplikasi Maklumat, Semuel Abrijani memberitahu pemberita pada Selasa.

    Pendaftaran itu adalah sebahagian daripada peraturan baharu yang mula dikuat kuasa pada Januari 2022, dengan mensyaratkan semua platform teknologi perlu memperoleh lesen sebelum dibenarkan beroperasi.

    Peraturan itu juga membolehkan pihak berkuasa Indonesia mengarahkan platform yang mengeluarkan sebarang kandungan dianggap menyalahi undang-undang, tidak sesuai dan “mengganggu ketenteraman awam” untuk memadam hantaran dalam tempoh empat hingga 24 jam bergantung kepada kandungan berkenaan.

    Kerajaan Indonesia cuba mengurangkan penyebaran maklumat palsu dan penipuan, terutamanya menjelang pilihan raya umum negara itu yang dijadualkan berlangsung pada 2024. – BERNAMA

  • WhatsApp sekat lebih 1.75 juta akaun pengguna

    WhatsApp sekat lebih 1.75 juta akaun pengguna

    PLATFORM komunikasi pesanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), WhatsApp, menyekat lebih 1.75 juta akaun pengguna India pada November tahun lepas kerana didakwa menyalahgunakan perkhidmatannya, kata syarikat itu dalam laporan bulanan keselamatan pengguna keenamnya pada Ahad.

    Akaun pengguna India itu disekat berikutan aduan yang diterima daripada pengguna lain melalui mekanisme pengesanan penyalahgunaan syarikat yang memantau aktiviti pengguna di platform.

    Laporan bulanan WhatsApp diterbitkan mengikut Peraturan Teknologi Maklumat India 2021, yang berkuat kuasa pada Mei menetapkan platform digital besar dengan lebih lima juta pengguna untuk menerbitkan laporan pematuhan setiap bulan mengenai aduan yang diterima dan tindakan yang diambil.

    November lalu, penyedia perkhidmatan pesanan itu menerima 602 laporan tentang pelanggaran pengguna terhadap syarat perkhidmatannya.

    Jurucakap WhatsApp berkata syarikat itu melabur dalam teknologi Kecerdasan Buatan dan teknologi tercanggih lain untuk memastikan penggunanya selamat di platform itu.

    Pada Oktober lalu, WhatsApp menerima 500 laporan rungutan selepas dua juta akaun pengguna India disekat. – BERNAMA