Tag: waspada

  • Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Johor, Sabah hingga esok

    Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Johor, Sabah hingga esok

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Johor dan Sabah hingga esok. 

    MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan daerah yang terlibat di Johor adalah Mersing dan Kota Tinggi, manakala di Sabah melibatkan Sandakan (Beluran dan Sandakan) serta Kudat. 

    Dalam kenyataan sama turut memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk diramalkan berlaku di Pahang meliputi Pekan dan Rompin; Johor (Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru) serta Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Telupid) bagi tempoh sama. 

    Selain itu, hujan berterusan tahap waspada diramalkan berlaku hingga esok di Pahang yang melibatkan kawasan Maran, Kuantan dan Bera; Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin); Melaka; Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian) serta Sabah di kawasan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) dan Sandakan (Kinabatangan).  

    Sementara itu, hujan berterusan tahap waspada turut dijangka berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan serta Terengganu dari 27 Jan (Jumaat) hingga 30 Jan ini. – BERNAMA 

  • Lima negeri diramal hujan hingga Rabu – MetMalaysia

    Lima negeri diramal hujan hingga Rabu – MetMalaysia

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah hingga Rabu ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 12.05 tengah malam tadi, MetMalaysia meramalkan hujan berterusan di Terengganu iaitu di Dungun dan Kemaman serta di Pahang melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin.

    Selain itu, MetMalaysia turut menjangkakan keadaan cuaca sama di Johor melibatkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

    Hujan berterusan juga dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak iaitu di Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta di Sabah (Tambunan, Pantai Barat, Lahad Datu, Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat). – BERNAMA

  • Banjir belum berakhir, penduduk Terengganu perlu berwaspada

    Banjir belum berakhir, penduduk Terengganu perlu berwaspada

    guane

    WALAUPUN hujan lebat telah berhenti dan matahari kembali bersinar sejak tiga hari lalu, namun kita perlu ingat bahawa negeri-negeri di Pantai Timur masih lagi berada pada musim tengkujuh.

    Memandangkan musim ini yang turut diselubungi tiupan angin kencang ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang beserta ombak besar, maka penulis berharap semua pihak khususnya rakyat di Terengganu tidak terlalu bergembira.

    Sebaliknya, kita semua seharusnya sentiasa berwaspada memandangkan ancaman banjir masih boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

    Berdasarkan pengalaman lalu dan keadaan cuaca sekarang, penulis percaya kejadian banjir tidak hanya terhenti di sini sahaja.

    Cerun bukit di LPT2 Ajil yang runtuh minggu lalu mengakibat kan lumpur melintasi jalan

    Malah, banjir akan terus menjelma dan bakal melanda beberapa kawasan tertentu di negeri ini selagi musim tengkujuh belum berakhir.

    Justeru, penulis berharap setiap penduduk di Terengganu khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko mestilah sentiasa berhati-hati dan terus mengikuti perkembangan cuaca dari semasa ke semasa kerana hujan lebat mungkin bakal berulang dalam tempoh terdekat ini.

    Penulis percaya banjir gelombang kedua yang melanda semua lapan daerah di negeri ini menyebabkan lebih 40,000 mangsa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada minggu lalu adalah sebagai satu ‘peringatan’ atau ‘amaran’ kepada orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah.

    Dalam kejadian tersebut, daerah Kemaman merupakan paling ramai mangsa yang berpindah, namun kemusnahan menyebabkan kerugian harta benda adalah dilaporkan di daerah Besut.

    Lebih lima buah rumah penduduk di Jertih Besut telah musnah dihanyutkan arus deras msnakala seorang mangsa turut mengalami kerugian lebih RM600,000 apabila 151 ekor lembu peliharaannya dihanyutkan banjir.

    Penulis pada mulanya turut menggelabah dan berasa bimbang setelah berhadapan dengan keadaan hujan lebat secara berterusan tanpa henti pada minggu lalu, menyebabkan ramai yang terperangkap dan terpaksa ‘berkurung’ dalam rumah serta mencari tempat berteduh.

    Ketika itu dalam hati penulis hanya terfikir sebarang kemungkinan, iaitu banjir lebih besar bakal melanda semua kawasan di negeri ini, apatah lagi di sana sini terdengar berita rumah penduduk berhampiran kampung penulis turut ditenggelami air.

    Selain itu perkhabaran mengenai banyak jalan utama ditutup dan ada yang terputus hubungan beserta kejadian crunch runtuh di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Ajil sedikit sebanyak menggusarkan penulis.

    Bagaimanapun dalam suasana kelam kabut dan ‘kehangatan’ orang ramai bercakap tentang banjir besar serta rumah tenggelam, tiba-tiba sehari kemudian hujan mula reda lalu berhenti disamping matahari pula mengintai di celah-celah awan.

    Perkembangan itu sekaligus menyebabkan banjir beransur surut dan membolehkan mangsa yang berada di PPS telah pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan barang barang keperluan yang dipenuhi Lumpur.

    Sehingga petang semalam, hanya terdapat 9,586 mangsa membabitkan 2,695 keluarga masih berada di 81 PPS di negeri ini.

    Begitulah senario banjir yang melanda Terengganu pada kali ini.

    Ia sememangnya amat berbeza dan di luar jangka berbanding dengan tahun tahun sebelum ini.

    Biasanya hujan lebat secara berterusan tidak akan berhenti secara tiba-tiba, sebaliknya ia akan mulai reda selama beberapa hari sebelum berhenti dan cuaca panas.

    Mengimbas kembali kejadian banjir pada tahun-tahun sebelum ini, penulis percaya ancaman MTL selepas ini adalah melibatkan penduduk berhampiran sungai dan mereka yang tinggal di pesisir pantai.

    Perpindahan mangsa banjir selepas ini kemungkinan disebabkan fenomena air pasang besar serta hakisan pantai akibat angin kencang beserta ombak besar.

  • Waspada bisikan jahat cuba musnah keharmonian negara – KSN

    Waspada bisikan jahat cuba musnah keharmonian negara – KSN

    KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali meminta rakyat negara ini agar tidak berpecah belah dan termakan bisikan jahat pihak yang cemburu dengan keharmonian dikecapi Malaysia selama ini.

    Beliau pada masa sama meminta rakyat supaya meraikan kepelbagaian perbezaan yang ada untuk bersama-sama memperkukuh seterusnya menjadi sebuah negara yang maju, makmur dan sejahtera.

    Menurutnya, pandemik Covid-19 merupakan waktu untuk rakyat bersatu hati mendepani wabak ini.

    “Ingatlah, inilah masa yang sangat kritikal untuk kita untuk bersatu padu dan bersatu hati, dalam memastikan kemerdekaan dari kemelut pandemik Covid-19 yang merencatkan kehidupan normal yang kita jalani.

    “Kita mesti menang dalam peperangan ini, dan kita tidak boleh mengalah. Perlu disemat juga, perpaduan rakyat merupakan tunjang kepada kestabilan sesebuah negara.

    “Kemerdekaan yang dikecapi adalah berpaksikan kemuafakatan dan tolak ansur dalam meraikan kepelbagaian yang ada di negara kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Semarak Perpaduan Bulan Kebangsaan 2021 anjuran Kementerian Perpaduan Negara yang disiarkan secara maya, hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zuki berkata, kerajaan mengekalkan tema tahun lalu untuk sambutan Hari Kebangsaan iaitu, ‘Malaysia Prihatin’ seiring iltizam dan hasrat kerajaan menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara.

    Beliau berkata, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, Kementerian Perpaduan Negara menyusun pelbagai program berteraskan patriotisme dan semangat perpaduan.

    Kementerian itu jelas beliau turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang juga Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021), bagi memastikan program itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektifnya.

    “Program ini bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia dan memperkasa peranan serta pembabitan komuniti untuk sama-sama menyemarakkan semangat perpaduan tanpa mengira usia, agama, kaum, budaya dan adat resam,” tambah Mohd Zuki lagi.