Tag: wartawan

  • Mayat wartawan bebas Mexico ditemukan, petugas media ke-14 dibunuh tahun ini

    Mayat wartawan bebas Mexico ditemukan, petugas media ke-14 dibunuh tahun ini

    MAYAT Juan Arjon Lopez, seorang wartawan bebas,ditemukan di utara Mexico, menjadikan jumlah wartawan dan petugas media yang dibunuh setakat ini pada 2022, kepada 14 orang, kata pegawai pada Selasa.

    Semasa satu sidang media, Peguam Negeri Sonora, Claudia Indira Contreras Cordova berkata Lopez hilang sejak 9 Ogos, lapor Agensi Anadolu.

    “Kami baru menerima maklumat terdapat penemuan yang bertepatan dengan orang yang ditemukan mati dengan maklumat kami mengenai beberapa tatu di badan wartawan itu,” katanya.

    Menurut rakan sekerja dan ahli keluarga Lopez, wartawan portal maklumat A Qué Le Temes yang berusia 62 tahun itu kali terakhir dilihat pada 8 Ogos, dan mereka mula melaporkan kehilangannya melalui media sosial.

    Selepas berita mengenai kehilangan Lopez tersebar luas, pihak berkuasa di Sonora menganjurkan pasukan mencari. Bagaimanapun, pencarian itu tidak rasmi kerana tiada laporan rasmi dibuat.

    Pada 10 Jan, wartawan Jose Luis Gamboa ditemukan mati di negeri Veracruz. Sejak itu, berlaku gelombang pembunuhan yang menjadikan 2022 tahun paling banyak mencatat pembunuhan wartawan.

    Keganasan terhadap pengamal media telah berleluasa dan menjadi sumber kritikan terhadap Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador.- BERNAMA

  • Mayat wartawan Britain ditemukan, polis sahkan identiti

    Mayat wartawan Britain ditemukan, polis sahkan identiti

    IDENTITI mayat yang ditemui di Amazon disahkan milik wartawan Britain, Dom Philips, lapor Agensi Anadolu.

    Pengesahan dibuat setelah ujian forensik dan rekod pergigian dijalankan terhadap mayat yang ditemui itu, menurut polis persekutuan Brazil pada Jumaat.

    Selain itu, proses pengecaman seorang jurupandu yang juga pakar pengkaji masyarakat orang asli, Bruno Pereira diteruskan serta punca kematian Philips dan Pereira kini masih disiasat.

    Phillips, 57, yang bekerja untuk akhbar The Guardian berpangkalan di Britain, mengembara ke wilayah itu untuk menulis buku mengenai orang asli di Amazon manakala Pereira, 41, seorang pakar di Yayasan Pribumi Nasional milik kerajaan. Kedua-dua mereka dilaporkan hilang sejak 5 Jun lepas. – BERNAMA