Tag: waris sultan sulu

  • ‘Dakwa waris Sultan Sulu, 8 individu mahu tuntut tebusan RM65.34b dari Malaysia’

    ‘Dakwa waris Sultan Sulu, 8 individu mahu tuntut tebusan RM65.34b dari Malaysia’

    SEBANYAK lapan individu mendakwa waris Sultan Sulu, Jamalul Kiram II dikatakan cuba menyalahgunakan proses timbang tara dan undang-undang antarabangsa dengan mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan Malaysia, pada Februari tahun lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, mereka dilaporkan cuba menuntut wang tebusan bernilai AS$14.9 bilion (RM65.34 bilion) atau lebih 16 peratus daripada belanjawan tahunan negara.

    Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) menerusi laman sesawang https://www.malaysia-sulucase.gov.my/ menjelaskan Malaysia menolak tuntutan itu, selain tidak mengiktiraf keabsahannya dan melakukan litigasi di seluruh Eropah untuk membatalkannya.

    BHEUU antara lain menyifatkannya sebagai penyalahgunaan proses timbang tara dan perundangan antarabangsa yang licik serta cubaan mendapatkan tebusan daripada negara berdaulat, selain tuntutan berterusan itu akan mencemarkan reputasi sistem timbang tara di peringkat global.

    S: Siapakah lapan individu terbabit dan apakah status kes berkenaan?

    J: Difahamkan, lapan penuntut itu adalah warga Filipina, mendakwa mereka waris Sultan Sulu, Jamalul Kiram II yang mangkat pada 1936. Maklumat identiti mereka sangat sedikit dan tidak dapat ditentukan sama ada waris yang sah.

    Mereka ialah Nurhima Kiram Fornan; Fuad A. Kiram; Sheramar T. Kiram; Permaisuli Kiram – Guerzon; Taj – Mahal Kiram – Tarsum Nuqui; Ahmad Nazard Kiram Sampang; Jenny K.A. Sampang dan Widz – Raunda Kiram Sampang.

    Mahkamah Eropah setakat ini belum mengenal pasti identiti dan keabhsahan penuntut sebagai waris Kesultanan Sulu. Ada beberapa pihak lain turut mendakwa mereka adalah daripada keturunan sama yang tidak terbabit dalam kes ini.

    Litigasi kes terbabit ketika ini sedang dibuat di Perancis, Sepanyol, Belanda dan Luxembourg. Keputusan rayuan bagi menentukan status Award Awal oleh Mahkamah Perancis pada Jun depan. Award Awal itu dikemukakan Dr Gonzalo Stampa di Sepanyol, pada 2020.

    Hujahan Malaysia mendapati status Award Permulaan tiada asas perundangan, berpandukan beberapa alasan, termasuk keputusan ‘Superior Court of Justice of Madrid’ membatalkan pelantikan Dr Stampa dan bidang kuasa penimbang tara yang salah. Malaysia juga berhujah, Perjanjian 1878 yang menjadi asas kes pihak menuntut, tidak mempunyai klausa timbang tara.

    Jika Mahkamah Perancis mengekalkan rayuan Malaysia, bermakna keputusan memberikan Award Awal tiada asas dalam undang-undang negara itu. Tuntutan bagi Award Akhir masih menjadi subjek dalam kes terbabit yg akan didengar di Mahkamah Perancis bagi mengetepikan award timbang tara bernilai AS$14.9 bilion, akhir tahun ini.

    S: Bagaimana ia bermula?

    J: Asia Tenggara pada abad ke-19 tertakluk kepada kuasa kolonial yang bersaing untuk menguasai wilayah di seluruh rantau dengan perjanjian memberi dan menyerahkan tanah dan wilayah di Bornoe Utara ditandatangani Jamalul Kiram II serta dua saudagar, Baron de Overbeck, dan Alfred Dent, pada 1878.

    Baginda kemudian mengesahkan penyerahan kepada Syarikat Borneo Utara British dan bayaran penyerahan wilayah tahunan meningkat kepada 5,300 dolar tempatan (kita-kira AS$1,200 atau RM5,266.20 ketika ini) selepas Sepanyol melepaskan semua tuntutan ke atas wilayah itu, pada 1903.

    Namun, pembayaran dihentikan selepas waris sah Jamalul Kiram II tidak dapat ditentukan. Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara, Macaskie menerusi ‘Penghakiman Macaskie 1939’ mendapati waris Sultan Sulu berhak menerima bayaran menerusi Perjanjian 1878.

    Rakyat Sabah pada 1962, menyertai Persekutuan Malaysia yang ditubuhkan setahun kemudian. Kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf kesahihan Kesultanan Sulu, namun mewarisi Perjanjian kolonial 1878.

    Malaysia membuat pembayaran kepada waris sepatutnya yang ditentukan Penghakiman Macaskie selama beberapa tahun, namun ia ditamatkan pada 2013 susulan pencerobohan bersenjata ke atas Sabah, mengorbankan 73 mangsa, dilancarkan kumpulan yang mengaku Sultan Jamalul Kiram III, dari Kepulauan Sulu.

  • Pengasas pengganas Royal Sulu Force antara individu dakwa waris Sultan Sulu

    Pengasas pengganas Royal Sulu Force antara individu dakwa waris Sultan Sulu

    PENGASAS Royal Sulu Force (RSF), sebuah entiti pengganas terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013 dikenal pasti adalah antara lapan individu mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.

    Menurut Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, individu itu bernama Fuad A Kiram dan disenaraikan sebagai pengganas.

    “Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa Fuad A Kiram merupakan seorang pengasas RSF.

    “Kumpulan terbabit sebelum ini sudah diklasifikasikan sebagai entiti pengganas oleh kerajaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    RSF telah dihukum oleh mahkamah susulan kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, dan diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Malaysia sejak April 2022.

    Pencerobohan pada 2013 itu mengakibatkan 12 perwira negara terbunuh, selain menyebabkan kematian 56 pengganas dan enam orang awam. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, Menteri Dalam Negeri sudah memasukkan Fuad A Kiram ke dalam senarai entiti yang diklasifikasikan sebagai pengganas, mengikut Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

    Beliau berkata, penyenaraian individu itu berkuat kuasa 6 April lalu menerusi Warta Kerajaan Persekutuan.

    Pada 28 Februari tahun lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.

    Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan oleh itu dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

    Pada 11 Julai tahun lalu, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset PETRONAS yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

    Bagaimanapun, PETRONAS dalam kenyataannya memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.

    Pada 12 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

  • Mahkamah Sepanyol tolak rayuan ‘waris Sultan Sulu’

    Mahkamah Sepanyol tolak rayuan ‘waris Sultan Sulu’

    MAHKAMAH Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan sekumpulan individu mendakwa waris Sultan Sulu berhubung pertikaian dengan kerajaan Malaysia berkaitan bayaran pajakan ke atas Sabah.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, kumpulan itu mahu mencabar keputusan mahkamah lebih rendah sebelum ini yang membatalkan pelantikan seorang penimbang tara untuk mendengar pertikaian berkenaan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Putrajaya baru menerima pengesahan rasmi mengenai keputusan Mahkamah Perlembagaan itu.

    Pada Feb 2022, sebuah mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan Putrajaya membayar pampasan USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

    Penimbang tara Gonzalo Stampa memutuskan bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kesultanan Sulu di Filipina dengan wakil Syarikat British Borneo Utara yang mentadbir Sabah ketika itu.

    Azalina berkata, keputusan mahkamah perlembagaan itu mengesahkan pembatalan Stampa sebagai penimbang tara.

    “Justeru, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol mengesahkan lagi pendirian Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

    Azalina berkata, dengan pembatalan itu bermakna Stampa tiada kuasa untuk menjadi penimbang tara dan ini secara tidak langsung menamatkan prosiding timbang tara.

    Sebaliknya, Stampa memutuskan “Final Award” yang tidak sah mengikut undang-undang dengan membenarkan tuntutan RM62.59 bilion waris Sultan Sulu terhadap wilayah Sabah, katanya.

    Pertikaian itu berasal daripada perjanjian pajakan pada 1878 antara Sultan Sulu ketika itu, Jamal Al Alam dengan wakil Syarikat British Borneo Utara Baron de Overbeck dan Alfred Dent.

    Mengikut perjanjian itu, Jamal menyerahkan kedaulatan sebahagian besar Sabah kepada Overbeck dan Dent, yang bersetuju mereka dan waris mereka akan membayar waris sultan itu Peso Mexico 5,000 setiap tahun.

    Pada 1936, Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf secara rasmi, Jamalul Kiram II meninggal dunia tanpa waris. Bayaran itu ditangguhkan sehingga Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Charles F Macaskie menamakan sembilan waris yang dilantik mahkamah pada 1939.

    Malaysia mengambil alih pembayaran itu susulan perjanjian kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia pada 1963.

    Bayaran itu yang bersamaan RM5,300 setahun dihentikan pada 2013 selepas pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

  • Perintah penahanan waris Sultan Sulu berjaya diketepikan kerajaan

    Perintah penahanan waris Sultan Sulu berjaya diketepikan kerajaan

    MALAYSIA memperoleh kemenangan penting terhadap individu yang mendakwa sebagai waris kepada Sultan Sulu apabila Mahkamah di Luxembourg, kelmarin, mengetepikan perintah penahanan yang dimohon pihak terbabit.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi kenyataan berkata, perintah penahanan yang diketepikan itu dimohon berasaskan dua penganugerahan timbang tara (purported arbitral awards) yang dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah iaitu Dr Gondoza Stampa.

    Katanya, ketika itu Dr Stampa menganugerahkan kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

    Beliau berkata, Malaysia membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang sudah dirancang oleh penuntut dan mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Dr Stampa serta ‘anugerah’ yang diberikan.

    “Hasil daripada tindakan Malaysia, Mahkamah Sepanyol yang melantik Dr Stampa membatalkan pelantikan itu secara retrospektif dan ‘preliminary award’ yang dikeluarkannya di Madrid.

    “Mahkamah Perancis juga menggantung penguatkuasaan ‘final award’ yang dikatakan dikeluarkan oleh Dr Stampa di Perancis, sementara menunggu keputusan Mahkamah bagi permohonan Malaysia untuk mengetepikan perkara itu.

    “Malaysia kemudian dengan serta-merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan ‘relif interim’ supaya perintah penahanan itu diketepikan. Pendengaran bagi permohonan itu pula sudah berlangsung pada 5 Disember 2022 di hadapan hakim Mahkamah Luxembourg yang kemudiannya memutuskan mengetepikan perintah penahanan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Azalina berkata, keputusan Mahkamah Luxembourg itu menjustifikasikan prinsip kerajaan untuk mempertahankan Malaysia di mana-mana forum bagi memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

    “Dalam hal ini, kerajaan akan terus berusaha untuk menamatkan segala tuntutan terhadap Malaysia,” katanya.

    Pada Mac tahun lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain dan mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion.

    Selepas itu, pada 12 Julai dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

    Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

    Final Award Mahkamah Arbitrasi Paris pada 28 Feb 2022, yang dibuat oleh penimbang tara Dr Stampa menganugerahkan pihak menuntut Sulu itu sejumlah AS$14.92 bilion.

    Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu kemudian bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia.

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-undang) ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, Sabah tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia.

  • Waris Sultan Sulu cuba rampas aset Malaysia di Belanda pula

    Waris Sultan Sulu cuba rampas aset Malaysia di Belanda pula

    SELEPAS Perancis, waris Kesultanan Sulu memohon kebenaran di mahkamah Belanda untuk merampas aset Malaysia di negara itu, kata peguam mereka.

    Lapor agensi berita Reuters, waris berkenaan berusaha menguatkuasakan perintah ganjaran timbang tara sebanyak AS$15 bilion (RM70 bilion) yang patut dibayar oleh kerajaan Malaysia kepada mereka.

    Petisyen di Mahkamah Rayuan The Hague itu menyebabkan pertikaian perjanjian tanah era kolonial yang semakin berlarutan dan mengancam aset luar negara kerajaan Malaysia dan syarikat milik kerajaan.

    Kerajaan Malaysia yang tidak mengiktiraf tuntutan waris itu, bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas berhubung petisyen itu.

    15 Februari lalu, sebuah mahkamah timbang tara di Perancis mengarahkan Malaysia membayar AS$15 bilion, anugerah timbang tara kedua terbesar dalam rekod kepada waris terakhir Sultan Sulu.

    Malaysia berjaya mendapatkan penangguhan sementara menunggu rayuan tetapi anugerah itu tetap boleh dikuatkuasakan di luar Perancis di bawah perjanjian PBB berkaitan timbang tara antarabangsa.

    Waris kesultanan Sulu yang pernah menguasai wilayah dari Selatan Filipina hingga sebahagian kepulauan Borneo, memohon mahkamah di Belanda mengiktiraf dan menguatkuasakan anugerah timbang tara itu.

    Waris itu berhasrat untuk mendapatkan “hak terhadap aset Malaysia yang berada di Belanda,” menurut salinan petisyen kepada mahkamah yang dikongsi peguam.

    Bagaimanapun, Reuters belum dapat mengesahkan permohonan itu dengan pihak berkuasa Belanda.

    “Permohonan di Belanda ini akan disusuli dengan beberapa tindakan penguatkuasaan dan pelbagai penghakiman,” kata peguam Britain, Paul Cohen yang mengetuai kumpulan peguam waris berkenaan.

    “Ini mungkin termasuk aset Malaysia yang pemilikannya secara langsung atau tidak di Belanda atau di tempat lain,” kata Cohen melalui email kepada Reuters.

    Petisyen itu tidak menyatakan secara terperinci aset berkenaan.

    Beberapa syarikat besar Malaysia beroperasi di Belanda, termasuk Petronas dan Sime Darby Plantations.

    Syarikat-syarikat itu tidak mengeluarkan kenyataan segera mengenai petisyen Belanda ketika dihubungi oleh Reuters.

    Pada Julai lalu, dua anak syarikat Petronas di Luxembourg dirampas oleh mahkamah, sebahagian daripada usaha waris berkenaan untuk menguatkuasakan anugerah tersebut.

    Petronas, yang menyifatkan rampasan Luxembourg sebagai “tidak berasas”, berkata ia akan mengambil langkah undang-undang untuk menghalang percubaan rampasan akan datang di 44 negara di mana ia mempunyai aset dan mengehadkan dana syarikat yang disimpan di luar negara.

    Pertikaian itu adalah mengenai perjanjian yang ditandatangani pada 1878 antara dua kolonial Eropah dan Sultan Sulu untuk menggunakan wilayahnya di Malaysia masa kini, perjanjian yang dihormati oleh Malaysia selepas kemerdekaan sehingga 2013, membayar waris Kesultanan Sulu kira-kira AS$1,000 setahun.

    Putrajaya menghentikan bayaran itu selepas satu kumpulan dipercayai penyokong Kesultanan Sulu menyerang Sabah.

    Tindakan itu menyebabkan waris Kesultanan Sulu memfailkan tuntutan di mahkamah timbang tara dengan mendakwa Malaysia melanggar perjanjian berkenaan.