Tag: Warga emas disyaki bunuh abang

  • Warga emas disyaki bunuh abang, kakak ipar didakwa esok

    Warga emas disyaki bunuh abang, kakak ipar didakwa esok

    WARGA emas yang disyaki membunuh abang dan kakak iparnya di Taman Bercham Aman, Ipoh, Perak, minggu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh esok.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan yang ditemui semasa program korban perdana anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Balai Polis Kampung Rapat, pada Rabu, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, suspek yang berusia 61 tahun itu akan didakwa atas dua tuduhan membunuh.

    Jumaat lalu, suspek direman tujuh hari yang akan berakhir esok.

    Pada Khamis, pasangan suami isteri ditemui mati, dipercayai dibunuh ahli keluarga sendiri di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, Ipoh.

    Mangsa, Ng Chun Hon, 64 dan isterinya, Ooi Tin Lu, 59, dipercayai dibunuh pada malam Rabu.

    Suspek kemudiannya berjaya diberkas di Cameron Highlands, Pahang, pukul 7.45 malam Khamis, kira-kira 11 jam selepas polis menerima laporan mengenainya.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataannya berkata, polis turut menjumpai sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk mendatangkan kematian kepada mangsa.

    Bagaimanapun, katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan

  • Warga emas disyaki bunuh abang, kakak ipar ditahan

    Warga emas disyaki bunuh abang, kakak ipar ditahan

    POLIS berjaya menahan seorang lelaki malam tadi bagi membantu siasatan membunuh sepasang suami isteri di sebuah rumah di Taman Bercham Aman di Ipoh, pagi semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 61 tahun itu yang juga adik kepada mangsa lelaki ditahan di Genting Highlands, Pahang kira-kira 7.45 malam.

    “Polis juga menjumpai sebilah kapak yang dipercayai senjata digunakan untuk mendatangkan kematian kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Ipoh pagi ini untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

    Menurut Mior Faridalathrash, kes bunuh itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 11 jam selepas laporan diterima dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada polis Pahang, pengurusan Resorts World Genting dan orang awam atas kerjasama sehingga suspek berjaya ditangkap dalam masa singkat.

    Semalam, mayat suri rumah Ooi Tin Lu, 59, dan suaminya Ng Chun Hon, 64, seorang mekanik ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh abang Chun Hon yang balik ke rumah selepas bekerja lalu melaporkan kepada polis kira-kira 8.50 pagi.

    Pasukan polis bersama pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun yang tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua mayat ditempatkan berdekatan dengan satu daripadanya tertiarap manakala satu lagi tersandar pada dinding dipercayai mati akibat kecederaan di kepala disebabkan senjata tajam dan objek tumpul namun tiada senjata ditemukan.

    Susulan itu, polis memburu suspek yang juga adik lelaki Chun Hon yang menghilangkan diri bersama kereta jenis Proton Saga milik Ooi.—Bernama