Tag: warga emas

  • Bekas banduan didakwa cuba rogol, rompak warga emas

    Bekas banduan didakwa cuba rogol, rompak warga emas

    SEORANG lelaki yang baharu dua bulan dibebaskan dari penjara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di Taiping, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk cubaan merogol seorang wanita warga emas, minggu lalu.

    Harian Metro melaporkan, S Saaran, 32, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan tersebut dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

    Bagi pertuduhan pertama, Saaran dituduh melakukan cubaan rogol terhadap seorang warga emas berusia 75 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Lorong 14 Taman Assam Maju, di sini, 8.30 pagi, 15 Ogos lalu.

    Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun yang sama.

    Pertuduhan kedua, Saaran turut melakukan rompakan bersenjatakan pisau terhadap harta milik mangsa berupa wang tunai RM10, serta rantai emas serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas warga emas itu pada masa, tempat, dan tarikh sama.

    Bagi perbuatan itu ia boleh dihukum mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa pada masa, tarikh dan lokasi sama didakwa melakukan perbuatan sebagaimana pertuduhan pertama dan kedua, melakukan rompakan terhadap harta milik seorang individu berusia 55 tahun iaitu menantu lelaki kepada mangsa warga emas terbabit.

    Saaran didakwa melakukan rompakan terhadap harta lelaki itu membabitkan wang tunai RM5,000 serta sebuah kereta jenis Honda yang pada ketika melakukan rompakan itu tertuduh menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah pisau.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 392 KK, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Bagi kes cubaan rogol, Nur Syuhada menawarkan jaminan RM30,000 beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati mangsa, manakala bagi kes merompak bersenjata Nur Syuhada menawarkan jaminan RM20,000 dan syarat tambahan sama.

    Bagaimanapun, tertuduh memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan mengambil kira keadaan dirinya yang tidak bekerja kerana baru keluar penjara dua bulan lalu.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin dengan seorang penjamin RM20,000 bagi kes cubaan rogol dan RM10,000 bagi kes rompak serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi dalam kes berkenaan sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes termasuk bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

  • Warga emas, anak mengaku tak salah rogol remaja 15 tahun dalam kereta

    Warga emas, anak mengaku tak salah rogol remaja 15 tahun dalam kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas dan anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja dalam kereta di Kluang, enam tahun lalu.

    Mohd. Hashim Saidin, 77, yang berkerusi roda dan anaknya berusia 21 tahun (yang ketika kejadian berusia 16 tahun) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Dua beranak tersebut kemudian dibawa ke lokap selepas masing-masing gagal membayar ikat jamin sebanyak RM12,000 dan RM15,000.

    Mengikut kertas pertuduhan, anak tertuduh yang bekerja sebagai penghantar barang terlebih dahulu merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun di Jalan Kinabalu, Kluang pada pukul 5.15 petang, 25 Mei 2017.

    Selepas itu, giliran Mohd. Hashim melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa sama di kawasan lapang dekat Kampung Abdul Rahman Yasin, Kluang pada PUKUL 6 petang dengan kejadian berlaku dalam kereta dan hari sama.

    Berikutan itu, dua beranak didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan 10 kali.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Ogos ini sebutan kes dan serahan dokumen.

    Di mahkamah sama, seorang pekerja kedai langsir mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan merogol, persetubuhan luar tabii serta amang seksual fizikal terhadap seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) lembam, minggu lalu.

    Tertuduh, Amirul Shaqirin Sazali, 27, membuat pengakuan itu sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibaca di hadapan Abu Bakar.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa merogol, meliwat, dan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 13 tahun dalam sebuah kereta pada pukul 8 malam, 8 Julai lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3), Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman serta tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Warga emas dituduh cuba bunuh, amang seksual kanak-kanak

    Warga emas dituduh cuba bunuh, amang seksual kanak-kanak

    SEORANG warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh dan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, 26 Mei lalu.

    Tertuduh, Ashaari Othman, 71, yang juga Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh dengan niat menyebabkan kematian ke atas kanak-kanak itu dengan cara memukul menggunakan kayu bersaiz 49 sentimeter (cm) di kawasan semak bersebelahan sebuah bengkel baiki kereta yang tidak bernombor di Kampung Permatang Keriang, Penaga di sini, 26 Mei lalu.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak itu kira-kira pukul 5 petang sehingga 8 malam di Eco Park Pantai Robina pada hari sama.

    Pendakwaan dibuat mengikut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Zulhazmi menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan kes.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Ashaari mengaku bersalah di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan atas pertuduhan menculik kanak-kanak itu kira-kira pukul 1 tengah hari di Taman Kuala Muda, Penaga, 26 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani dan ketika prosiding, beliau meminta tiada jaminan ditawarkan susulan bimbang tertuduh akan menimbulkan bahaya kepada mangsa kerana mangsa merupakan jiran tertuduh.

    Rosnee menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan kes.

    Pada 28 Mei lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun hilang selepas keluar bermain berhampiran kediamannya.

    Mangsa ditemui orang awam jam 6 petang tadi kira-kira 2.4 kilometer dari lokasi rumahnya dalam keadaan tidak bermaya.

    Polis kemudiannya menahan seorang warga emas dua hari kemudian bagi membantu siasatan susulan pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan kecederaan berunsurkan jenayah ke atas kanak-kanak berkenaan.

  • Sempat ucap selamat tinggal kepada isteri sebelum maut dibelit sawa 7 meter

    Sempat ucap selamat tinggal kepada isteri sebelum maut dibelit sawa 7 meter

    SEORANG warga emas sempat mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya sebelum dia ditemui maut dibelit seekor ular sawa sepanjang tujuh meter dalam kejadian dekat Konawe Selatan, Sulawesi Tenggara, Indonesia, Khamis lalu.

    Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Rasmin, 63, ditemui sedang ditelan dan sudah tidak bernyawa oleh menantu dan anak perempuannya di kebun mereka.

    Ketua Polis Tinanggaea, Iptu Asiz Doali berkata, mangsa pergi ke kebun untuk melihat lembu peliharaannya dan mengucapkan selamat tinggal kepada isteri pada pukul 4.30 petang.

    Bagaimanapun, isteri mangsa yang dikenali sebagai Inah mula risau apabila suaminya tidak pulang ke rumah meskipun sudah menjelang lewat petang.

    Isteri mangsa kemudian meminta menantunya yang dikenali sebagai Suparjo dan anak mangsa untuk pergi ke kebun mencari mangsa.

    “Suparjo dan isteri kemudian pergi ke kebun dan terkejut apabila mendapati mangsa dibelit ular sawa.

    “Mereka kemudian meminta bantuan penduduk setempat untuk membantu menyelamatkan mangsa.

    “Mangsa nyaris ditelan ular sawa tersebut kerana kepala mangsa telah masuk ke dalam mulut ular tersebut,” katanya menurut laporan UtusanTV memetik Detik.com.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tinanggea, Ipda Yusuf berkata, pemeriksaan mendapati tubuh mangsa patah akibat dibelit.

    “Ular tersebut membelit seluruh badan mangsa sehingga menyebabkan tulang rusuknya patah.

    “Terdapat juga kesan gigitan di kaki dan leher mangsa. Dipercayai ular tersebut menerkam leher mangsa kerana terdapat kesan cedera parah,” katanya.

  • Myvi bertembung CRV, 3 maut di Jempol

    Myvi bertembung CRV, 3 maut di Jempol

    TIGA termasuk seorang warga emas maut apabila sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai masuk ke laluan bertentangan dalam kejadian di KM26 Jalan Bahau-Kemayan, dekat Lui Barat, Jempol.

    Dalam kejadian kira-kira 1.57 tengah hari tadi, mangsa maut adalah Sallehuddin Nong, 63, selain dua wanita, Tee Tai En, 29, dan Tin Siew Kwan, 59.

    Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook berkata, kemalangan itu berlaku selepas Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan Honda CRV, dari arah Sungai Lui menuju ke Bandar Seri Jempol.

    “Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi serta penumpang belakang Honda CRV telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya menurut Kosmo.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Warga emas terlanggar isteri sendiri hingga maut

    Warga emas terlanggar isteri sendiri hingga maut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita maut di depan rumahnya setelah dilanggar suami sendiri, dipercaya secara tidak sengaja di Taman Selasih, Kulim, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, kejadian kira-kira pukul 7 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia 59 tahun maut di lokasi kejadian.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa keluar dari keretanya untuk mengambil barang yang tertinggal dalam rumah.

    “Ketika itu suami mangsa berusia 60-an yang sedang mengundur tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri kenderaan tersebut.

    “Kenderaan tersebut kemudiannya turut melanggar sebuah kereta yang diletakkan berhampiran rumah tersebut,” katanya.

    Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mayat mangsa dihantar ke jabatan forensik Hspital Kulim untuk dibedah siasat.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jala 1987,” katanya.

  • Tragedi ikan buntal, suami juga maut akibat makan ikan sama

    Tragedi ikan buntal, suami juga maut akibat makan ikan sama

    WARGA emas yang makan hidangan ikan buntal bersama isterinya bulan lalu, disahkan meninggal dunia, hari ini, menjadikan dua mangsa maut akibat memakan ikan sama.

    Mangsa, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, yang sebelum ini koma meninggal dunia selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), sejak 25 Mac lalu, lapor Berita Harian.

    Pada 29 Mac lalu, isterinya, Lim Siew Guan, 83, dilaporkan maut, manakala Kuai Sin dimasukkan ke ICU HEBHK selepas makan hidangan ikan buntal.

    Ikan buntal iaitu sejenis ikan yang disebut ‘ikan fugu’ tergolong dalam satu daripada jenis racun semula jadi yang paling bahaya dan mematikan di dunia, dibeli menerusi laman Facebook daripada pembekal di Batu Pahat yang mendapatkan bekalan dari nelayan di Endau.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, dilaporkan berkata isteri mangsa yang mengalami gejala sesak nafas dan menggigil, pada pukul 5 petang 25 Mac lalu, kemudian disahkan maut dua jam kemudian.

    Kuai Sin turut dilaporkan mengalami gejala sama kira-kira sejam selepas isterinya mendapat gejala berkenaan.

    Difahamkan itu kali pertama pasangan warga emas berkenaan makan masakan berasaskan ikan buntal.

    Racun yang dikenali sebagai Tetrodotoksin yang ada dalam ikan buntal adalah racun yang boleh menyerang sistem saraf dan boleh membawa maut.

  • Gempa Turkiye: Warga emas ditemui selamat 187 jam terperangkap bawah runtuhan

    Gempa Turkiye: Warga emas ditemui selamat 187 jam terperangkap bawah runtuhan

    DENGAN hanya minum air kencing sendiri, seorang mangsa gempa bumi di Turkiye berjaya diselamatkan selepas 187 jam terperangkap di bawah runtuhan pangsapuri yang didiaminya di Mersin di Wilayah Antakya kelmarin.

    Lelaki warga emas itu diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat selepas salah seorang petugas mendengar suaranya ketika misi mengesan mangsa dijalankan di kawasan runtuhan.

    Huseyin Berber, 62, yang juga pesakit kencing manis menceritakan detik hitam itu kepada agensi berita antarabangsa hari ini.

    Menurutnya, untuk meneruskan hidup, dia tiada pilihan lain selain daripada terpaksa meminum air kencingnya sendiri ketika terperangkap di antara sisa runtuhan.

    “Saya hanya ingat ketika saya sedar telah terperangkap dalam runtuhan. Ketika itu semuanya gelap, terlalu gelap sehingga saya tidak dapat melihat badan saya sendiri.

    “Saya menjerit minta tolong, tetapi tiada siapa mendengar. Bangunan ini 15 tingkat, saya bersyukur bila saya dengar bunyi dari kawasan atas runtuhan, saya terus menjerit walaupun tekak saya mulai bengkak,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Huseyin berkata, gempa kedua yang berlaku mengakibatkan siling turut runtuh, namun tidak mengenainya.

    “Gempa kedua, siling runtuh tapi tidak kena saya. Saya terpaksa sengetkan badan dan duduk di antara runtuhan yang menimpa peti sejuk dan kabinet rumah saya.

    “Hanya permaidani saya guna untuk menyelimut saya sepanjang masa sebelum saya dapat mencapai satu kerusi berhampiran dan duduk menunggu diselamatkan.

    “Saya pesakit kencing manis, ketika kejadian ubat dan sebotol air jatuh ke arah saya. Saya minum hingga habis, kemudian saya terpaksa kencing dalam botol untuk diminum.

    “Apabila air kencing itu sejuk, saya minum untuk selamatkan diri saya,” katanya lagi.

    Huseyin diselamatkan pasukan penyelamat dan dikejarkan ke Hospital Bandar Mersin untuk diberikan rawatan lanjut.

    Sehingga kini, lebih 41,000 mangsa maut dalam kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria, manakala lebih 12,000 bangunan dilaporkan runtuh akibat gempa itu.

  • Warga emas maut jengkaut dikendali jatuh gaung

    Warga emas maut jengkaut dikendali jatuh gaung

    SEORANG warga emas maut selepas jengkaut dikendali jatuh ke dalam gaung dalam kejadian di Jalan Assan Nunggang, Jalan KJD di Sibu, hari ini.

    Mangsa, John ak Singke, 62, maut akibat tersepit di dalam jentera berat itu.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 3.38 petang.

    Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Pasukan operasi dimaklumkan kemalangan melibatkan sebuah jengkaut jatuh gaung dan terdapat seorang mangsa tersepit.

    “Jarak ke lokasi dari jalan utama dalam anggaran 400 meter dan anggota berjalan kerana tiada akses untuk jentera ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kata kenyataan itu lagi, mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan ‘Air Lifting Bag’.

    “Mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian pada pukul 5.51 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. lapor Harian Metro.

  • Warga emas antara 7 individu ditahan jadi keldai akaun

    Warga emas antara 7 individu ditahan jadi keldai akaun

    SEORANG warga emas berusia 61 tahun antara tujuh individu ditahan polis Pulau Pinang selepas dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan.

    Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di beberapa negeri antara Selasa lalu hingga semalam.

    Tambahnya, suspek warga emas itu ditahan bersama seorang lagi suspek lelaki selepas disyaki menjadi keldai akaun sindiket dalam urusan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan dan penyamaran sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

    Katanya, turut ditahan ialah empat suspek lelaki dan seorang wanita kerana disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan melibatkan penipuan tawaran kerja sambilan serta pinjaman wang tidak wujud dalam talian.

    ”Kesemua suspek yang berusia antara 27 hingga 61 tahun itu ditahan di sekitar Perak, Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan kes-kes yang dilaporkan pada 2019, 2021 dan 2022.

    ”Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah antara RM1,330 sehingga RM19,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah kenyataan itu, kesemua mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan antaranya jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara dan Macau Scam.

    Sementara itu, dalam kes berasingan, polis Pulau Pinang turut berjaya menumpaskan sindiket memproses dan menjual air ketum selepas menahan 11 lelaki berusia 22 hingga 40 tahun dalam serbuan di sekitar Batu Maung, dekat sini semalam.

    Menurut kenyataan IPD Barat Daya, sindiket itu dipercayai memproses air ketum di sebuah rumah sebelum menjualnya kepada pembeli tetutama pelanggan tetap dengan harga RM5 setiap bungkus.

    “Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 70 bungkus plastik lutsinar dipercayai berisi air ketum dan pelbagai peralatan untuk memproses air tersebut.

    ”Sindiket ini dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan,” katanya.