Tag: warga Bangladesh

  • Warga Bangladesh langgar mati penunggang motosikal diburu

    Warga Bangladesh langgar mati penunggang motosikal diburu

    POLIS giat memburu lelaki warga Bangladesh yang disyaki melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal dalam kemalangan maut di Jalan Teluk Piah Kanan, di Kuala Selangor, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian pukul 8.30 pagi itu membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Waja dan Honda EX5.

    Menurutnya, penunggang motosikal adalah lelaki tempatan berusia 33 tahun.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang bersendirian dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Bukit Rotan.

    “Tiba di lokasi, Proton Waja yang datang dari arah belakang melanggar motosikal itu menyebabkan mangsa tercampak.

    “Pemandu kereta kemudian dipercayai keluar dari kenderaannya dan bertindak melarikan diri,” katanya, lapor Harian Metro hari ini.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, penunggang motosikal yang parah dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan pukul 11 pagi hari sama.

    “Susulan kemalangan itu, polis mempergiat usaha pencarian suspek di sekitar Kuala Selangor dan Jeram.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105 atau balai polis berhampiran.

  • Polis tahan tiga warga Bangladesh keluarkan permit kerja palsu

    Polis tahan tiga warga Bangladesh keluarkan permit kerja palsu

    POLIS menahan tiga lelaki warganegara Bangladesh di sekitar Shah Alam kerana disyaki mengeluar dan menjual permit kerja palsu kepada rakan senegara sejak Oktober lepas. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata penahanan dua suspek pertama berumur lingkungan 20 dan 30 tahun dibuat menerusi satu serbuan pada 7.30 malam di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini pada Selasa lepas.

    Beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tinggal di Malaysia sejak kira-kira tiga tahun lepas dan bekerja di sekitar kawasan industri di Hicom Glenmarie serta didapati mula aktif menjalankan kegiatan memalsukan dan menjual permit palsu itu sejak Oktober. 

    “Suspek menjalankan kegiatan mengedar serta menjual permit palsu kepada warganegara asing dengan menawarkan harga yang lebih murah dan cepat dengan harga setiap permit dianggarkan sebanyak RM200 dan kebanyakannya dibeli oleh warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Iqbal berkata hasil penahanan suspek, pihak polis berjaya merampas beberapa peralatan iaitu sebuah komputer riba, sebuah mesin cetak, tiga pasport, 10 keping pas lawatan kerja sementara dan empat telefon bimbit.

    Katanya, susulan penangkapan dua suspek terbabit, seorang lagi suspek warga Bangladesh berumur 30-an telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam malam tadi dan dipercayai terlibat dalam kes terbabit. 

    Beliau berkata dua suspek pertama telah direman hingga 3 Dis manakala suspek ketiga akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

    Ketua Polis Shah Alam, permit kerja, Bangladesh

  • Warga Bangladesh dipenjara 9 bulan tipu pasport dapat vaksin

    Warga Bangladesh dipenjara 9 bulan tipu pasport dapat vaksin

    SEORANG lelaki warga Bangladesh dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan nombor pasport dan nama individu lain bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, bulan ini. 

    Tertuduh, Mizan Nur Rahman, 26, turut dipenjara tiga bulan kerana didapati tidak memiliki pas yang sah untuk masuk ke negara ini.

    Majistret Norzaliza Tesmin memerintahkan hukuman berkenaan dijalankan serentak berkuat kuasa hari ini dan tertuduh dihantar ke Penjara Jelebu bagi menjalani hukuman berkenaan.

    Mengikut pertuduhan pertama, Mizan didapati memperdaya seorang petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan mengatakan dirinya adalah pemilik kepada nombor pasport milik seorang individu lain.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di PPV Institut Pengajian Tinggi Mega Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, kira-kira 10 pagi pada 13 Sept lepas, yang mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua pula, Mizan yang juga pekerja pembersihan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini, didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan maksimum enam sebatan. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- BERNAMA