Tag: warga asing

  • Dua warga asing antara tiga individu dituduh edar dadah

    Dua warga asing antara tiga individu dituduh edar dadah

    TIGA individu termasuk dua warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan mengedar dadah minggu lepas.

    Tertuduh lelaki warga India Narayanan Loganathan, 42, wanita warga Indonesia Puteri Adelia, 21, dan wanita tempatan M. Hemamalani, 26, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

    Mengikut kertas pertuduhan, Narayanan didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 62,000 gram di sebuah rumah di Bandar Lahat Mines di sini kira-kira 5.15 petang, 4 Okt lepas.

    Lelaki yang bekerja di kedai runcit itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

    Puteri Adelia dan Hemamalani yang tidak bekerja pula didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas mengedar dadah jenis pil Yaba seberat 161 gram di sebuah rumah lain di Bandar Lahat Mines di sini kira-kira 5.30 petang hari yang sama.

    Pertuduhan ke atas kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut seksyen sama dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dengan Narayanan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam R. Raja Segaran.

    Mahkamah kemudian menetapkan 14 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk menunggu laporan kimia. – BERNAMA

  • Kad pengenalan palsu:Tujuh pekerja asing didenda

    Kad pengenalan palsu:Tujuh pekerja asing didenda

    TUJUH warga asing yang bekerja di sebuah kilang tekstil dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

    Lelaki warga negara Filipina Ridhwan Likung, 26, tiga wanita warga negara Filipina; Nurmina Kipli, 45, Nona Najuk, 45, Masriyah Ismail, 40, dan tiga wanita warga negara Indonesia; Sundari Mahmudi, 29, Salina Husin, 48, dan Mulyani, 47, mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

    Mereka dikenakan denda antara RM3,000 hingga RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

    Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 14 Sept 2021, jam 2 petang di sebuah kilang tekstil Seksyen 26 Taman Perindustrian Hicom di sini.

    Mereka, tanpa kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan palsu serta salinan pelbagai individu sebagai dokumen pengenalan diri untuk bekerja.

    Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1) (e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkarnain Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.- BERNAMA

  • 8 termasuk 4 wanita warga asing ditahan berpesta dadah

    8 termasuk 4 wanita warga asing ditahan berpesta dadah

    SERAMAI lapan individu termasuk empat wanita warga asing ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam pesta dadah di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Seberang Perai, Pulau Pinang semalam.

    Selain empat wanita warga asing, turut ditahan dalam serbuan itu ialah tiga lelaki  dan seorang wanita tempatan berusia antara 25 hingga 40 tahun.

    Kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dalam operasi kira-kira pukul 6 petang.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, serbuan di unit tingkat 10 kondominium tersebut dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam.

    Ketika serbuan katanya, kesemua suspek dikatakan sedang berhibur dengan bunyi alunan muzik kuat serta meminum jus campuran dadah.

    “Siasatan mendapati kediaman itu disewa oleh salah seorang suspek lelaki sejak setahun yang lalu dan kesemua mereka datang ke situ bersama pasangan dan kenalan untuk berhibur.

    “Pemeriksaan di dalam kediaman tersebut  menemukan pelbagai jenis dadah antaranya pil Eramin 5, pil ekstasi, jus campuran dadah serta syabu yang dipercayai digunakan mereka untuk berhibur.

    “Polis turut merampas peralatan sistem audio dan lampu disko, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Tambah Rahimi, hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati tujuh daripada mereka positif dadah.

    Jelasnya, polis tidak menolak kemungkinan mereka menjadikan kediaman sewa itu sebagai lokasi berhibur ekoran pusat hiburan tidak beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya); Sek. 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek. 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

    Sementara itu, beliau berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai dalam menyampaikan maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis.

  • Tiada sogokan, warga asing cuba nasib dapat vaksin ‘serbu’ PPV – SPRM

    Oleh:Bernama

    KESESAKAN di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Midlands, dekat sini adalah berpunca daripada tindakan pekerja asing yang hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya telah membuat risikan susulan satu video tular dalam media sosial yang mendakwa segerombolan individu bukan warganegara Malaysia telah beratur panjang dengan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

    SPRM memberitahu tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM80 perlu diberi kepada penjaga pintu untuk memasuki PPV itu juga adalah tidak benar.

    “SPRM telah menghantar pasukan pegawai risik bagi memantau tohmahan terbabit, hasil risikan mendapati, kejadian yang berlaku adalah di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukannya di PPV SACC dan tohmahan mengenai bayaran rasuah RM80 juga tidak benar,” menurut kenyataan itu.

    Menurut SPRM, PPV Pusat Konvensyen Midlands dijadikan Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN) iaitu sebahagian daripada inisiatif Program lmunisasi lndustri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), dan terdapat masalah pada sistem iaitu janji temu untuk individu juga terselit di PPV tersebut.

    SPRM menasihatkan orang ramai untuk melaporkan terus apa-apa maklumat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM dan bukannya menghebahkan menerusi media sosial.- BERNAMA