Tag: warga

  • Kempen dingin, PDN seru warga Damansara derma darah

    Kempen dingin, PDN seru warga Damansara derma darah

    PUSAT Darah Negara (PDN) menyeru warga Damansara dan kawasan sekitarnya menderma darah di lokasi kempen derma darah anjurannya di Lotus’s Mutiara Damansara (sebelum ini dikenali sebagai Tesco).

    PDN dalam hantaran menerusi Facebooknya hari ini memaklumkan, penganjuran kempen yang bermula hari ini hingga Jumaat ini mendapat sambutan agak dingin daripada orang ramai.

    “Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 40 beg darah di lokasi ini pada hari ini. Bagaimanapun hingga 2.15 petang, hanya tujuh beg darah sahaja diperoleh.

    “Buat warga Damansara dan sekitarnya…jom bantu kami dapatkan stok bekalan darah di sini, sumbangan anda amat diperlukan bagi memastikan para pesakit mendapat bekalan darah yang mencukupi,” menurut PDN.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut berkongsi hantaran itu dalam satu ciapan Twitter beliau.

    “Sumbangan anda dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

    PDN turut menganjurkan kempen derma darah di tingkat bawah, Center Court B, pusat beli-belah D’Pulze, Cyberjaya bermula 27 hingga 31 Ogos ini dari 11 pagi hingga 5 petang.

    Bagi memudahkan urusan pendermaan darah, penderma darah diminta untuk mengisi slip kehadiran menerusi pautan berikut, https://linktr.ee/dermadarah.- BERNAMA

  • Warga Malaysia di Hatyai ditahan kerana mengurung diri bersama anak

    Warga Malaysia di Hatyai ditahan kerana mengurung diri bersama anak

    SEORANG lelaki warga Malaysia di Hatyai, selatan Thailand, ditahan polis selepas mengurung diri bersama dua orang anaknya dalam sebuah bilik di kediamannya.

    Dalam kejadian pada kira-kira 6 petang, polis baru sahaja beredar daripada rumah kedai dua tingkat yang dihuninya selepas si isteri yang merupakan warga Thai meminta bantuan setelah lelaki itu mengurungnya bersama dua orang anak mereka selama hampir seminggu.

    Ketua Polis Hatyai Pol. Kol. Akrawut Taneerat berkata lelaki yang berusia 43 tahun dari Kuala Lumpur itu dipercayai mengalami ganguan mental dan kini ditahan polis.

    “Isterinya risau perkara yang tidak diingini berlaku, maka beliau sekali lagi membuat laporan polis agar polis bagi menyelamatkan kedua-dua anak lelakinya yang berusia lima dan tujuh tahun,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Beliau menambah bahawa polis terpaksa memecahkan pintu untuk membawa keluar kedua-dua anak pasangan itu.

    Semalam, Bernama melaporkan bahawa lelaki itu bertindak mengurung isteri berusia 39 tahun dan dua anak lelakinya dalam rumah hampir seminggu kerana fobia dengan jangkitan COVID-19 yang melonjak di Thailand.

    Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid berkata lelaki itu kini ditahan di lokap di Balai Polis Hatyai dan dijangka dibawa berjumpa pakar psikiatri esok.

    “Polis Thailand akan menjalankan siasatan lanjut termasuk rekod kemasukannya ke Thailand,” katanya.- BERNAMA