Tag: Wanita UMNO

  • Remaja tak matang, wakil Wanita UMNO gesa umur pengundi dinaikkan ke 23 tahun

    Remaja tak matang, wakil Wanita UMNO gesa umur pengundi dinaikkan ke 23 tahun

    SEORANG pemimpin Wanita UMNO Kedah menggesa kerajaan menaikkan semula had umur mengundi kepada 23 tahun kerana remaja berusia 18 tahun masih belum matang.

    Menurut Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai Norma Awang, pengundi 18 tahun mempunyai tahap kematangan dan pemahaman yang mentah mengenai pilihan raya, pengundian, sistem demokrasi dan implikasi pengundian terhadap pembentukan dan dasar kerajaan.

    “Sebab itu kita sarankan kepada penggubal undang-undang dan wakil Umno dalam kerajaan ubah semula had umur mengundi ini,” katanya ketika perbahasan sayap Wanita UMNO di WTC di ibu negara hari ini.

    Norma berkata, Barisan Nasional tidak cukup “ranggi” dan “loklaq” bagi menawan hati serta aspirasi anak muda, yang menjadi punca prestasi buruk UMNO dalam pilihan raya umum ke-15.

    Katanya, jangan dibanding remaja 18 tahun di Malaysia dengan rakan sebaya mereka di luar negara terutama di Barat.

    Menurutnya, di kebanyakan negara Barat, ramai remaja 18 tahun sudah mengikuti pengajian Masters dan PHD tetapi di Malaysia kebanyakan remaja masih “terkial-kial menagih ketum, asyik dengan TikTok dan bermadu asmara cinta monyet”.

    “Remaja 18 tahun di negara ini, seluar dalam pun emak bapak yang masih beli dan mereka baru selesai peperiksaan SPM,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Atas faktor itu, kata Norma, had umur mengundi di Malaysia perlu dinaikkan kepada 23 tahun, tambahnya, pengundi setidaknya habis pengajian ijazah pertama.

    Inisiatif Undi18 dilaksanakan oleh kerajaan sejak Dis 2021, menurunkan had umur pengundi daripada 21 ke 18 tahun.

    PRU15 adalah kali pertama pelaksanaan inisiatif itu dan pendaftaran pengundi automatik. Ini menyebabkan penambahan 5.8 juta pengundi baharu, peningkatan sebanyak 40 peratus.

  • 4 ADUN tarik sokongan pentingkan diri sendiri

    4 ADUN tarik sokongan pentingkan diri sendiri

    WANITA UMNO Melaka menyifatkan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai mementingkan diri dan bukannya untuk kepentingan rakyat.

    Pengerusi Sekretariat Profesional Wanita UMNO Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, pihaknya berasa sedih dan marah dengan tindakan empat ADUN tersebut.

    “Saya sedih dengan nasib rakyat yang baru mula mencari makan seperti pembawa beca, peniaga kecil, peniaga besar. Sedih dengan nasib JPKK yang sedang seronok memberikan khidmat kepada rakyat tiba-tiba kena berhenti.

    “Sedih dengan wanita yang sedang bergelut kesusahan ditinggalkan, diancam jenayah, keretakan rumah tangga yang mencari tempat perlindungan kepada sebuah kerajaan yang kukuh dan mantap,” katanya dalam hantaran Facebook malam ini.

    Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka mendakwa, mereka mengambil kesempatan dan mencari keuntungan diri dengan jawatan yang disandang dalam ketidakstabilan kerajaan.

    Haryaty turut mengesa agar pengundi dan jentera Wanita UMNO Melaka untuk menolak keempat-empat ADUN tersebut sekiranya mereka bertanding dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

    Semalam empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Sebelum ini Kerajaan Melaka pimpinan BN diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung dengan pembubaran DUN Melaka penggal yang ke-14 semalam.

    Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pemakluman itu adalah sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

    Terdahulu, Ab Rauf berkata, DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

    Beliau berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali semalam.