Tag: wanita OKU

  • Wanita OKU maut rumah terbakar

    Wanita OKU maut rumah terbakar

    SEORANG wanita golongan orang kurang upaya (OKU) maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kira-kira pukul 5 petang tadi.

    Ketika kejadian, mangsa, Nuraida Hashim, 43, yang mengalami masalah ketidakupayaan mental dikatakan berada di atas katil di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa berjaya dibawa keluar ke tempat selamat ketika kejadian, namun pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital kemudian mengesahkan wanita tersebut telah meninggal dunia.

    Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, ujar beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu yang melibatkan sebuah rumah dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 40 peratus.

    “Seramai 15 anggota termasuk penyelia dengan diketuai oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam terlibat dalam misi memadam kebakaran itu.

    “Turut memberi bantuan ialah jentera dari BBP Bandar Perda serta beberapa pasukan bomba sukarela (PBS) iaitu dari Kota Permai, Cross Street dan Juru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 5.31 petang dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 6.26 petang.

    “Kerja-kerja ‘overhaul’ kemudian dijalankan di kawasan yang terbakar dan operasi tamat sepenuhnya pukul 7.48 malam,” ujarnya.

  • Wanita OKU hilang di Batang Kali ditemui di Muar

    Wanita OKU hilang di Batang Kali ditemui di Muar

    SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang dari rumah ibu saudara di Jalan Meranti, Bandar Utama, Batang Kali Selangor sejak 21 Julai lalu ditemui selamat pada Isnin.

    Memetik laporan Sinar Harian, adik mangsa, Zafiah Eni Zainuddin, 29, berkata, seorang wanita pada Ahad telah menghubunginya memberitahu mangsa, Zakiah Yusra Zainuddin, 31, atau dipanggil Kiah berada di Muar, Johor sepanjang dilaporkan hilang.

    Menurut Zafiah Eni, mangsa memberitahu dibawa seseorang ke sana untuk berjalan-jalan selain mahu mencari kerja sebelum dia diserahkan kepada pihak ketiga.

    “Pada Ahad (14 Ogos), saya dapat berita daripada seorang wanita dari Muar, Johor mengatakan terjumpa hantaran tentang kehilangan Zakiah dan menghubungi saya untuk kepastian.

    “Selama tarikh hilang 21 Julai hingga 14 Ogos, Zakiah tinggal di rumah wanita itu,” katanya kepada Sinar Harian.

    Zafiah Eni berkata, Zakiah kemudian pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas sebelum mengambil teksi ke rumah sepupu di Selayang pada Isnin.

    “Dia tidak terus pulang ke rumah di Batang Kali kerana terlupa alamat menyebabkan dia pergi ke rumah sepupu sebelum saya datang menjemputnya.

    “Saya telah membuat pemeriksaan ke atasnya dan dia berada dalam keadaan baik serta selamat,” katanya.

    Dalam masa sama, Zafiah Eni turut mengucapkan terima kasih semua pihak yang banyak membantu dalam pencarian kakaknya itu menerusi sebaran hantaran di media sosial sehingga Zakiah berjaya ditemui dalam keadaan selamat.