Tag: Wanita maut

  • Wanita maut motosikal dirempuh kereta pelancong di Langkawi

    Wanita maut motosikal dirempuh kereta pelancong di Langkawi

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG wanita maut, manakala anak lelakinya cedera parah setelah motosikal dinaiki mereka dipercayai dilanggar sebuah kereta dipandu pelancong di Jalan Bukit Malut, Langkawi pada pukul 7.45 pagi hari ini.

    Mangsa, Fodilah Abdul Kadir, 57, disahkan maut di tempat kejadian sementara anaknya, Mohamad Zaki Ahmad Nizat, 25, cedera parah di kaki kanan.

    Kemalangan berlaku ketika dua beranak itu yang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang Mohamad Zaki dalam perjalanan ke kedai makan yang diusahakan berhampiran lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua mangsa sedang bergerak dari arah Kuah menuju ke Bukit Malut sebelum kereta jenis Perodua Bezza dipercayai hilang kawalan.

    “Kereta terbabit dari arah Temonyong ke Kuah yang dipandu seorang lelaki warga India berusia 38 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal dinaiki dua beranak berkenaan.

    “Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tersebut tercampak ke kawasan semak di bahu jalan sebelah kiri,” katanya.

    Menurut Shariman, ujian nafas bagi mengesan alkohol yang dilakukan terhadap pemandu kereta terbabit didapati negatif, namun dia yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat di Singapura kini direman selama dua hari untuk membantu siasatan.

    Sementara itu, mayat wanita berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk proses bedah siasat dan anaknya turut dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan susulan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Wanita maut, kenderaan dinaiki langgar tiang lampu jalan

    Wanita maut, kenderaan dinaiki langgar tiang lampu jalan

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    SEORANG wanita terbunuh selepas kenderaan dinaiki melanggar tiang lampu jalan dalam kejadian di kilometer 12 Jalan Batu Pahat-Kluang, Batu Pahat pukul 9.15 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa, Mahani Mahfool, 26, cedera parah dan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dilokasi kejadian.

    “Suami mangsa, Mohammad Rahmat Amin, 31, yang turut tersepit di tempat duduk pemandu mengalami kecederaan parah manakala anak pasangan ini yang berusia empat tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

    “Hasil siasatan mendapati kereta jenis Honda Ferior yang dinaiki keluarga ini dalam perjalanan dari arah Sri Gading ke Bandar Batu Pahat.

    “Sebaik tiba dilokasi kejadian, kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu diatas pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan,” Katanya melalui kenyataan hari ini.

    Ismail berkata, kemalangan tidak melibatkan kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar.

    Menurutnya, semua mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan dan proses bedah siasat.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata, 13 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Uni Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Katanya, anggota pasukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan pasangan suami isteri itu selepas kedua-duanya didapati tersepit di tempat duduk masing-masing.

    Tambah beliau. mangsa disahkan meninggal dilokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala suami dan anak mangsa dirujuk ke hospital menggunakan ambulan yang datang membantu.

  • Wanita maut, bayi parah dalam kemalangan

    Wanita maut, bayi parah dalam kemalangan

    SEORANG wanita maut manakala bayinya dan seorang lagi penumpang cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu bertembung treler di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Bintang, di Setiu, pukul 4.40 petang tadi.

    Kemalangan berkenaan menyebabkan mangsa, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, yang memandu MPV jenis Perodua Alza meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Bayinya, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman dan Muhammad Arsyad Syahiran Mohd. Agil, 9 mengalami kecederaan parah.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler yang dipandu dari arah Chiku, Gua Musang menghala ke Kuala Terengganu, manakala Perodua Alza dipandu mangsa dari arah Manir menghala ke Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian kereta dipandu mangsa yang membawa lima penumpang telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler.

    “Pemandu treler, Azman Ismail, 35, tidak mengalami kecederaan manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Afandi, tiga lagi penumpang iaitu suami kepada Fatin Hazlin Dahlia, Mohd. Lekman Zakaria, 36, mengalami luka-luka sementara dua lagi anaknya iaitu Nur Qaireen Luffiya dan Sayyid Lutfi, 7, patah tangan kiri.

    Beliau berkata, lima penumpang Perodua Alza dihantar ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

  • Wanita maut ditelan ular sawa 6 meter

    Wanita maut ditelan ular sawa 6 meter

    SEORANG wanita separuh baya ditemukan maut dalam perut seekor ular sawa sepanjang enam meter, semalam sehari setelah kehilangannya dilaporkan.

    Wanita malang itu, Zahara, 52, merupakan seorang penoreh getah dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.

    Dia merupakan penduduk RT 04, Dusun Betara 8, Desa Terjun Gajah, Mukim Betara, daerah Tanjung Jabung Barat, Jambi.

    Ketua Kampung Desa Terjun Gajah, Birin berkata, mereka mencari mangsa sehingga ke dalam hutan sejurus dia dilaporkan hilang.

    “Namun pagi tadi (Isnin), Zahara kami temukan di dalam perut ular,” katanya kepada Kompas.com semalam.

    Birin menjelaskan, ketika ditemukan, wanita itu sudah meninggal dunia.

    “Tidak ada yang melihat Zahara ditelan ular, kerana dia menoreh getah sendirian.

    “Kejadian berlaku Ahad pagi semasa wanita itu keluar menoreh namun sehingga petang dia tidak pulang ke rumah,” katanya.

    Mengulas lanjut Birin berkata, berikutan itu, satu pencarian disertai kira-kira 300 penduduk kampung digerakkan bagi mencari mangsa.

    Namun katanya, penduduk langsung tidak menemukan sebarang petunjuk.

    Keesokan paginya kata Birin, penduduk menemukan seekor ular sawa betina besar sepanjang enam meter pada pukul 9 pagi.

    “Ular itu ditangkap dan kemudian dibunuh penduduk. Kerana curiga perutnya yang besar, penduduk kemudiannya membelah perut ular sawa.

    “Akhirnya penduduk menemukan jenazah Zahara sekali gus membuatkan penduduk bertambah bimbang,” kata Birin.

    Menurutnya, ular betina yang pendek tetapi besar itu dipercayai mempunyai pasangan susulan insiden penemuan seekor ular sawa berukuran lapan meter sebelum itu.

    “Ini ularnya betina. Kerana bentuknya yang pendek tapi besar. Seminggu lalu ada warga yang menangkap ular yang lebih panjang sekitar 8 meter, namun terlepas karena keletihan. Mereka cuma bertiga,” kata Birin.

    Untuk itu, penduduk kampung katanya khuatir kerana di hutan masih ada ular yang lebih besar.

    Tambahnya, ular raksasa itu juga telah menelan 2 ekor kambing milik penduduk.

  • Wanita maut disyaki ditekup bantal oleh teman lelakinya

    Wanita maut disyaki ditekup bantal oleh teman lelakinya

    SEORANG wanita berusia 24 tahun ditemukan mati dipercayai akibat ditekup dengan menggunakan bantal oleh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Pandan, Klang, dekat sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima aduan kira-kira jam 9.12 malam, semalam, daripada seorang wanita tempatan.

    “Kaunter aduan Balai Polis Klang telah menerima satu aduan daripada seorang perempuan warga tempatan, yang menyatakan bahawa pada 7.18 malam semalam telah terima panggilan video daripada suspek, yang meminta bantuan untuk mengambilnya di kawasan Kampung Pandan, Klang.

    “Ini kerana suspek dikatakan telah bertindak menekup muka dengan mengunakan bantal terhadap seorang perempuan, sehingga tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengan suspek.

    “Pihak polis yang sampai di lokasi tempat kejadian mendapati, kejadian berlaku di sebuah rumah jenis lot di kawasan Kampung Pandan, Klang. Mangsa telah ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah tersebut, pemeriksaan tubuh badan mangsa tiada sebarang kesan kecederaan,” katanya.

    Cha berkata suspek berusia 19 tahun telah ditangkap pihaknya di tepi jalan berdekatan dengan tempat kejadian, ketika beliau mahu melarikan diri.

    Beliau berkata pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

    “Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, telah menemukan beberapa barang yang boleh membantu siasatan,” katanya.

    Cha berkata siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Beliau berkata suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Wanita maut, dipercayai dilanggar semasa melintas Lebuhraya Persekutuan

    Wanita maut, dipercayai dilanggar semasa melintas Lebuhraya Persekutuan

    SEORANG wanita maut selepas dipercayai dilanggar sewaktu dia melintas jalan di Kilometer (KM) 7 Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam tengah malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian langgar lari pada pukul 12.11 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika wanita berumur 33 tahun yang melintas jalan di laluan dari Kuala Lumpur menghala Klang di lebuh raya berkenaan, dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan jenisnya.

    “Wanita yang berpakaian serba warna hitam itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dan mayat telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami dengan menelefon 011-31215697 bagi membantu siasatan. –Bernama

  • Wanita maut, Mercedes-Benz rempuh lori baiki jalan

    Wanita maut, Mercedes-Benz rempuh lori baiki jalan

    SEORANG wanita maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 9.6 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Puchong, Petaling Jaya, pukul 12.20 tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu membabitkan sebuah Mercedes Benz dan sebuah lori.

    “Ketika kejadian, lori berkenaan berhenti di lorong kanan laluan terbabit untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan.

    “Kereta dipandu mangsa secara tiba-tiba datang dari arah belakang di lorong sama dan melanggar bahagian belakang lori terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa berusia 22 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

    Dalam kemalangan berasingan, seorang lelaki maut apabila motosikal dinaikinya melanggar bahagian belakang sebuah kereta di Kilometer 23.3 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Plaza Tol Duta, Petaling Jaya, malam tadi.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R. Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” katanya.