Tag: wang palsu

  • Peniaga ayam dituduh guna wang palsu berjumlah RM700

    Peniaga ayam dituduh guna wang palsu berjumlah RM700

    SEORANG peniaga ayam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan wang palsu berjumlah RM700 pada minggu lepas.

    Rohamad Mohamad Saaid, 58, didapati menggunakan sebagai tulen mata wang Malaysia iaitu tujuh keping RM100 yang palsu pada 12.15 tengah hari 18 April lepas, yang didepositkan ke akaun seorang individu di sebuah bank di Indera Mahkota di sini.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan sebanyak RM8,000 atas alasan menanggung isteri dan seorang anak.

    Hakim Mohd Kafli Che Ali kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Mei untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim. – BERNAMA

  • Penganggur dipenjara 18 bulan guna wang palsu

    Penganggur dipenjara 18 bulan guna wang palsu

    GARA-gara menggunakan dua keping wang palsu RM100 untuk membeli nasi dan rokok, seorang penganggur dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.

    Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman penjara terhadap Muhamad Fizwan Norruhadi, 34, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 23 Ogos lepas. 

    Tertuduh yang beralamat di Sungai Isap 3 di sini, didakwa menggunakan wang palsu RM100 sebagai tulen untuk membeli nasi bungkus berharga RM5 di sebuah gerai makan di Beserah di sini pada 9.30 pagi 21 Ogos lepas. 

    Dia juga didakwa menggunakan sekeping lagi wang palsu itu pada 3.18 petang hari yang sama di sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota di sini, untuk membayar sebungkus rokok bernilai RM12. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menjaga bapanya yang berusia 64 tahun. – BERNAMA