Tag: Wan Rosdy Wan Ismail

  • Pembangkang Pahang setuju RUU Antilompat Parti dibentang di DUN

    Pembangkang Pahang setuju RUU Antilompat Parti dibentang di DUN

    PEMBANGKANG di Pahang bersetuju agar Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada Mei ini.

    Ketua Pembangkang DUN Pahang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mencadangkan sesi taklimat dan perbincangan antara kedua-dua pihak dapat diadakan sebelum persidangan berlangsung, supaya mereka dapat meneliti RUU itu.

    “Saya ingin tegaskan keperluan RUU ini dibentang dalam persidangan (DUN Pahang) akan datang walaupun setakat ini ada beberapa negeri yang masih belum membentangkannya.

    “Saya bagi jaminan bahawa mana-mana RUU yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri akan disokong sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata mereka juga bersetuju dengan pandangan bahawa kerajaan negeri perlu selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan, iaitu dengan Akta Antilompat Parti telah berkuat kuasa pada 5 Okt lepas.

    Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Ahli DUN Cheka mendakwa setakat ini, pihaknya belum menerima notis persidangan.

    Pada Isnin, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada sidang media berkata kerajaan negeri sedia membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada Persidangan DUN terdekat, jika mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat iaitu 28 kerusi.

    Ia berikutan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mencukupi jumlah itu, menyebabkan mereka perlu mendapatkan sokongan pembangkang terlebih dahulu, bagi memastikan RUU itu diluluskan.

    Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH). – BERNAMA

  • Wan Rosdy, Zambry sah tanding Naib Presiden UMNO

    Wan Rosdy, Zambry sah tanding Naib Presiden UMNO

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden UMNO pada pemilihan parti itu.

    Mereka mengesahkan penyerahan borang pencalonan di ibu pejabat UMNO semalam menerusi hantaran di Facebook.

    Terdahulu, Bernama melaporkan bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengesahkan sudah menghantar borang pencalonan untuk jawatan naib presiden UMNO.

    Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Johari Ghani pula antara muka baharu yang mengumumkan akan bersaing jawatan sama dalam pemilihan UMNO setakat ini.

    Jawatan naib presiden UMNO disandang bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas menteri pembangunan luar bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

    Khaled dan Mahdzir mengumumkan akan mempertahankan jawatan itu, manakala Ismail belum menyatakan pendiriannya.

    Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad pula akan mempertahankan jawatan itu.

    Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong akan bertembung bekas ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang menyerahkan borang pencalonannya untuk kembali menerajui sayap itu pada 17 Feb lepas.

    Pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan diadakan 11 Mac ini, manakala UMNO bahagian serta MKT pada 18 Mac nanti.

  • Pahang hantar pasukan penyelamat, sukarelawan – Wan Rosdy

    Pahang hantar pasukan penyelamat, sukarelawan – Wan Rosdy

    MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pasukan penyelamat dan sukarelawan dari negeri itu akan dihantar segera ke kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.

    Beiau berkata, ia bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus tanah runtuh.

    “Saya menerima perkhabaran berita yang mengejutkan mengenai tragedi tanah runtuh yang telah berlaku di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor awal pagi tadi.

    “Susulan kejadian itu, saya telah mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan dari Pahang untuk segera ke kawasan tragedi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Rosdy turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk mengadakan sebarang aktiviti perkhemahan sama ada di kawasan tanah tinggi atau di berhampiran sungai.

    Katanya, ia bagi mengelakkan kejadian buruk daripada berlaku terutama ketika musim tengkujuh.

    “Saya berdoa semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang bentuk musibah dan malapetaka,” katanya.

    Setakat pukul 11 pagi, polis mengesahkan 9 maut, manakala 60 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh terbabit.

  • Exco Pahang: Wan Rosdy pegang lapan portfolio

    Exco Pahang: Wan Rosdy pegang lapan portfolio

    MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memegang lapan portfolio dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diumumkan pagi tadi.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu bertanggungjawab dalam portfolio perancangan, kewangan, tanah, sumber asli, tenaga dan air.

    Beliau pada masa sama turut memegang portfolio berkaitan pembangunan ekonomi, perladangan dan komoditi.

    Anak kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar pula diberi tanggungjawab menjaga portfolio pelaburan, perindustrian, sains, teknologi dan inovasi.

    ADUN Benta, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak pula memegang portfolio pertanian, industri asas tani, bioteknologi dan pendidikan.

    Selain itu, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Adun Kerdau memegang portfolio hal ehwal agama Islam, pembangunan luar bandar dan hal ehwal Orang Asli.

    ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pula memegang portfolio kerja raya, pengangkutan dan kesihatan.

    Portfolio hal ehwal felda, koperasi dan usahawan pula dipegang ADUN Muadzam Shah, Ir Razali Kassim manakala Adun Pelangai, Datuk Seri Johari Harun pula memegang portfolio kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau.

    ADUN Guai dan ADUN Dong yang baru menjadi wakil rakyat untuk penggal pertama, Datuk Sabariah Saidan dan Mohd Fadzli Mohamad Kamal turut tersenarai sebagai exco dalam barisan kerajaan Pahang.

    Sabariah memegang portfolio kebajikan masyarakat, pembangunan wanita dan keluarga, manakala Mohd Fadzli pula memegang portfolio komunikasi dan multimedia, belia, sukan dan badan bukan kerajaan.

    Dua ADUN Pakatan Harapan (PH) yang turut dilantik sebagai exco ialah ADUN Teruntum, Sim Choon Siang dan ADUN Triang, Leong Yu Man.

    Sim diamanahkan memegang portfolio hal ehwal pengguna dan sumber manusia, manakala Leong pula memegang portfolio perpaduan, pelancongan dan kebudayaan.

    Wan Rosdy dalam sidang media selepas pengumuman barisan exco dan portfolio itu berharap semua pihak dapat mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi supaya dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap.

    “Saya harap semua agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.

    “Laksanakanlah segala tugas yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah untuk menjadikan Pahang sebuah negeri maju dapat dicapai,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Wan Rosdy turut meminta rakyat Pahang memberi peluang dan kepercayaan kepada kerajaan Pahang yang baru dibentuk ini demi kestabilan dan kemakmuran negeri.

    “Sudah sampai masanya untuk kita membuka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan perbezaan antara kita dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama,” katanya lagi.

    Pada PRU15 lalu, BN memperoleh 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) pula mendapat 17 kerusi dan PH memenangi lapan kerusi DUN.

    Bagaimanapun, kerajaan Pahang dapat dibentuk selepas BN bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.

    BN mendapat kerusi ke-17 mereka selepas menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Tioman pada 7 Disember lalu.

  • Wan Rosdy jangan putar belit cerita, kata Saifuddin

    Wan Rosdy jangan putar belit cerita, kata Saifuddin

    DATUK Seri Saifuddin Abdullah mendakwa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak menjelaskan fakta sebenar di sebalik proses rundingan di antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

    Pengerusi PN Pahang itu menjelaskan, rundingan di antara di Wan Rosdy yang mewakili BN dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili PN melibatkan tiga pusingan.

    “Pada pusingan pertama, semasa itu memang belum ada kerajaan di peringkat persekutuan. Hakikatnya ialah kami menyatakan kita tidak mahu membentuk kerajaan dengan PH di Pahang.

    “(Pusingan) Yang kedua ialah kita nak membentuk kerajaan negeri dengan BN.

    “Ketiga, kami kata logiknya kamilah (PN) jadi menteri besar kerana kami ada kelebihan kerusi. Selanjutnya kalau Wan Rosdy tak selesa menjadi exco biasa, Tuan Ibrahim kata, kita boleh fikirkan (alternatif) contohnya sekiranya kami membentuk kerajaan persekutuan boleh bawa dia (Wan Rosdy) ke pusat,” katanya.

    Kata bekas menteri luar itu lagi, tindakan yang diambil PN itu menunjukkan mereka benar-benar bertolak ansur asalkan bukan PH yang membentuk kerajaan negeri di Pahang.

    “Jadi Wan Rosdy jangan putar belit cerita. Ceritanya betapa kami bertolak-ansur dengan BN… itu cerita yang sebenar,” katanya pada sidang media selepas program kempen PN di Taman Mahsuri, Padang Serai, malam tadi, lapor Malaysiakini.

    Anggota Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Wan Rosdy yang mendakwa rundingan di antara BN dengan PN untuk menubuhkan kerajaan gagal kerana sikap pimpinan PN yang dilihat terlalu mementingkan jawatan.

    Terdahulu Malaysiakini melaporkan Wan Rosdy berkata sebelum kerajaan negeri dibentuk dia dihubungi pengerusi PH Pahang, Amirudin Shari, yang menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama tanpa syarat kepada BN Pahang bagi membentuk kerajaan negeri.

    Wan Rosdy berkata, beliau juga kemudiannya dihubungi pimpinan PN dan bertemu Tuan Ibrahim serta Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

    “Dalam pertemuan itu, timbalan presiden PAS telah bercakap dulu dan ketika itu kerajaan (persekutuan) belum ditubuhkan lagi.

    “Ayat pertama dikeluarkan kepada saya mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju melantik saya sebagai senator dan diberi jawatan menteri penuh.

    “Saya ni terkejut dalam hati, kerajaan tak tubuh lagi ni, macam mana boleh offer kepada saya,” katanya.

    Sementara itu Saifuddin turut melabelkan Wan Rosdy sebagai bersikap sombong selepas hanya menawarkan satu jawatan exco kepada PN sebaliknya dua kepada PH.

    “Cerita yang sebenarnya juga betapa sombongnya Wan Rosdy apabila dalam rundingan terakhir ketika pertemuan dengan Tuan Ibrahim dia menyatakan BN akan jadi menteri besar, dua jawatan exco kepada PH dan satu saja (jawatan exco) kepada PN.

    “Itu sombonglah, jadi kita kata tak payahlah nak berunding macam mana orang ada 17 kerusi boleh dapat satu exco dan orang ada lapan kerusi dapat dua exco,” ujarnya.

  • BN dan PH bentuk kerajaan negeri Pahang, Wan Rosdy dilantik MB

    BN dan PH bentuk kerajaan negeri Pahang, Wan Rosdy dilantik MB

    PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah memperkenankan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata baginda juga berkenan, untuk melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merupakan Pengerusi BN negeri sebagai Menteri Besar.

    Lantikan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

    “Majlis pengurniaan surat cara lantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar akan diadakan pada 11 pagi Isnin, 28 Nov di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Ahmad Khirrizal juga menyatakan Tengku Hassanal telah berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat kepimpinan parti-parti politik yang terlibat, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebelum membuat keputusan tersebut.

    Pelantikan Menteri Besar itu mengakhiri kemelut politik yang berlaku di Pahang, yang menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung buat kali pertama, selepas tiada parti politik yang memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi pada pilihan raya umum itu.

    Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi DUN, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN), manakala PH mendapat lapan kerusi. Secara keseluruhan terdapat 42 kerusi di DUN Pahang.

    Pengundian bagi DUN Tioman telah ditangguhkan dan akan berlangsung pada 7 Dis ini, susulan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian PRU15 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

    Keputusan DUN Tioman bagaimanapun tidak memberi kesan kerana tiada parti akan memperoleh majoriti mudah daripada keputusan tersebut. – BERNAMA