Tag: wan ahmad fayhsal wan ahmad kamal

  • ‘Rakyat mahu tahu kenapa ada usaha lengahkan kes Zahid’, kata Wan Fayhsal

    ‘Rakyat mahu tahu kenapa ada usaha lengahkan kes Zahid’, kata Wan Fayhsal

    KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, satu laporan polis mengenai apa yang didakwa sebagai konspirasi melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pendakwa Raya bagi melepaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada dakwaan di mahkamah, telah dibuat.

    Menurut Ahli Parlimen Machang itu, laporan berkenaan dibuat oleh pemimpin sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Armada Bersatu dengan hasrat memastikan sistem perundangan di negara ini kekal menyakinkan dan tidak ada campur tangan mana-mana pihak.

    Tegas beliau, perkara itu amat penting untuk ditangani dengan serius untuk memastikan keadilan tidak disongsang sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.

    Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan pihaknya berpendapat terdapat konspirasi politik melibatkan pemimpin negara dalam usaha melengahkan kes yang mempunyai prima facie.

    Beliau turut mendakwa pihak Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut terlibat dalam apa yang disifatkan sebagai kepincangan sistem perundangan negara.

    “Kita nak tahu kenapa SPRM, nak buat semakan semula, membantu melengahkan kes ini walaupun dah ada prima facie.

    “Sedangkan kes boleh berjalan untuk pihak tertuduh iaitu Timbalan Perdana Menteri mempertahankan atau membela diri dengan adil menggunakan saluran yang ada.

    “Kenapa perlu ada semakan semula? Nak tangguh lagi? Ini perkara yang dibangkitkan oleh orang awam. apa jadi kepada sistem kehakiman kita,” katanya selepas membuat laporan polis tersebut, lapor Astro AWANI.

    Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal juga mengajak pimpinan Pakatan Harapan untuk bersama menyatakan bantahan terhadap apa yang berlaku ketika ini.

    “Saya nak tanya rakan-rakan saya dalam Pakatan Harapan, where are you in this matter? Kenapa kamu berdiam diri untuk bersuara berkenaan dengan perkara ini?

    “Ini satu perkara yang amat membimbangkan kerana prinsip perjuangan Pakatan Harapan juga sama dengan kami mendaulatkan undang-undang negara, mempertahankan negara daripada dizalimi oleh kleptokrasi,” katanya lagi.

    Wan Ahmad Fahysal berharap pihak Peguam Negara dan SPRM segera memperbetulkan perkara ini agar tidak terpalit dengan usaha yang dianggap tidak bermoral itu.

  • MP PN kemuka usul tergempar bincang lawatan Anwar ke Saudi

    MP PN kemuka usul tergempar bincang lawatan Anwar ke Saudi

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang hari ini mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat bagi membincangkan kesan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi minggu lalu.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, beliau memohon sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk memberi laluan kepada usul itu bagi membincangkan kesan ekonomi dan hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi hasil lawatan rasmi Anwar dari 22 hingga 24 Mac lalu.

    Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu juga mahu butiran terperinci kos lawatan yang disifatkannya penting kerana membabitkan wang pembayar cukai.

    “Lawatan rasmi itu diperlihat sebagai lawatan tidak berimpak tinggi memandangkan perdana menteri tidak berjaya melakukan pertemuan dengan pemerintah tertinggi kerajaan Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mahupun Putera Mahkota Mohammed Salman yang merupakan perdana menteri Arab Saudi.

    “Sebelum ini, pada Mac 2021, perdana menteri kelapan berjaya mendapat persetujuan kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota haji sebanyak 10,000 jemaah dan peningkatan eksport minyak sawit ke Arab Saudi berjumlah 500,000 tan yang nilainya mencecah RM 1 bilion.

    “Justeru, besar harapan saya agar perkara ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta keizinan majlis mesyuarat demi kepentingan rakyat,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dalam sidang media di luar Dewan Rakyat berkata, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul menerima usul itu pada 9.50 pagi tadi.

    Katanya, beliau turut menyerahkan soalan berhubung isu itu untuk waktu pertanyaan kepada perdana menteri (PMQT) esok.

    Semalam, setiausaha politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi menolak dakwaan sesetengah pihak yang mempolitikkan lawatan itu sebagai gagal dan membazir wang rakyat.

    Katanya, lawatan tiga hari Anwar ke Saudi sangat berhasil, antara lain dalam memperkukuhkan hubungan Putrajaya-Riyadh.

    Menurutnya, lawatan itu diisi jadual padat dan tersusun menyebabkan Anwar tidak dapat menemui pemimpin lain dalam kerajaan Saudi, tetapi beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Dunia Islam.