Tag: VOC

  • 392 kes positif COVID-19 libatkan VOC dikesan

    392 kes positif COVID-19 libatkan VOC dikesan

    SEBANYAK 392 kes positif COVID-19 melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) dikesan di dalam negara bagi tempoh 25 September lepas hingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 384 kes adalah daripada varian Delta (B.1.617.2) dan lapan lagi membabitkan varian Beta (B.1.351).

    Dr Noor Hisham berkata, kajian mutasi ‘Spike Protein COVID-19’ di Malaysia itu dijalankan enam konsortium iaitu Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM), Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dan Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara.

    Turut terlibat ialah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika UM (TIDREC-UM), Institut Genom Malaysia dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

    Dr Noor Hisham berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian bawah pemerhatian (VUM) adalah sebanyak 2,252 kes.

    Dr Noor Hisham berkata, daripada 2,252 kes yang dikesan, sebanyak 2,232 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah varian mempunyai kepentingan (VOI).

    “Secara keseluruhan, sehingga kini terdapat 1,996 kes varian Delta, 222 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha berada dalam kategori VOC,” katanya.

    VUM terdiri daripada Theta, Kappa dan Eta selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 30 Sept lepas meletakkannya dalam varian itu. Sebelum ini, ketiga-tiganya dikategorikan sebagai VOI.

    Kini, hanya Lamba (C.37) dan Mu (B.1.621) dikategorikan sebagai VOI. – BERNAMA

  • Rekod kes sembuh Covid-19 terus tinggi melebihi kes baharu

    Rekod kes sembuh Covid-19 terus tinggi melebihi kes baharu

    JUMLAH harian pesakit yang sembuh daripada COVID-19 di Malaysia terus mengatasi jangkitan baharu apabila 18,074 kes pulih dilaporkan hari ini berbanding 13,899 kes baharu.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak tersebut kini seramai 1,968,541 orang.

    Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 211 kes atau 1.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 13,688 kes atau 98.5 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

    Selain itu, beliau berkata terdapat 1,071 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 847 kes disahkan COVID-19 manakala 224 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    “Sebanyak 601 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 359 kes positif sementara 242 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata 12 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan lima kluster tempat kerja, tiga kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi, dua kluster komuniti serta masing-masing satu kluster pendidikan lain dan keagamaan. 

    Kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) seluruh negara pula ialah 0.90 dengan Pahang muncul sebagai negeri yang mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.01 manakala Labuan menjadi satu-satunya negeri merekodkan R-Naught sifar.

    Beliau juga berkata enam kajian tempatan terhadap mutasi protein pepaku COVID-19 mengesan 475 varian yang membimbangkan (VOC) antara 13 Sept lepas hingga hari ini membabitkan 472 varian Delta dan tiga varian Beta.

    Katanya ia dikenal pasti melalui kajian berterusan oleh Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS), Institut Genom Malaysia (MGI), Institut Farmakogenomik Integratif Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM) serta Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (TIDREC-UM) 

    Dr Noor Hisham berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang perlu diberi perhatian (VOI) ialah 1,860 setakat hari ini dengan 1,840 kes adalah VOC manakala 20 adalah VOI.

    “Secara keseluruhan sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 1,612 kes varian Delta, 214 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

    “Bagi VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa tiga kes varian Eta,” katanya. 

    Beliau berkata data kematian dan data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman GitHub dan laman sesawang https://covidnow.moh.gov.my.- BERNAMA