Tag: visa

  • Arab Saudi kurangkan insurans premium haji, umrah

    Arab Saudi kurangkan insurans premium haji, umrah

    ARAB Saudi telah mengurangkan insurans premium jemaah haji daripada 109 Riyal (RM127) kepada 29 Riyal (RM34), iaitu penurunan sebanyak 73 peratus.

    Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, Menteri Haji dan Umrah Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah turut mengumumkan pengurangan premium insurans komprehensif untuk menunaikan umrah daripada 235 Riyal (RM274) kepada 88 Riyal (RM103).

    Berucap pada majlis perasmian persidangan dan pameran ‘Ekspo Haji 2023’ pada Selasa, menteri itu berkata tempoh visa umrah juga akan dilanjutkan daripada 30 hari kepada 90 hari.

    “Seperti pemegang visa Umrah yang kini boleh melancong di seluruh pelusuk negeri, pemegang visa lain juga dibenarkan menunaikan umrah,” menurut kenyataan itu.

    Al-Rabiah juga menjelaskan bahawa mulai tahun ini, semua pengelola jemaah haji boleh membuat kontrak dengan mana-mana syarikat berlesen di Arab Saudi dan tidak hanya membabitkan beberapa syarikat terpilih seperti sebelum ini.

    “Beliau menekankan peranan kementerian dalam meningkatkan daya saing dengan memberi peluang kepada pengelola jemaah haji untuk menjalin kontrak dengan beberapa syarikat dan bukannya satu syarikat seperti sebelum ini,” kata kenyataan itu.

    ‘Ekspo Haji 2023’, anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dari 9-12 Jan, 2023, adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk membina ekosistem perkhidmatan dan penyelesaian inovatif dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada jemaah haji sambil meningkatkan pengalaman beribadah dan budaya tempatan.- BERNAMA

  • Arab Saudi benarkan visa setahun hingga 90 hari untuk pelancong dari 49 negara

    Arab Saudi benarkan visa setahun hingga 90 hari untuk pelancong dari 49 negara

    ARAB Saudi membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 negara sejak 1 Ogos, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa masuk bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara tersebut.

    Saudi Gazette melaporkan, syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong dan memasuki Arab Saudi termasuk imunisasi legkap dengan vaksin yang diluluskan oleh kerajaan itu.

    Katanya, ini sebagai tambahan kepada ujian PCR negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas dan pendaftaran di portal Muqeem negara itu.

    Selepas hampir setahun setengah sejak pandemik bermula awal tahun lalu, Arab Saudi telah membangunkan laman web untuk memudahkan mereka yang ingin mendapatkan visa pelancong melalui portal dalam talian.

    Pelancong dan pelawat dari 49 negara termasuk Malaysia, layak untuk memohon e-visa, yang membolehkan mereka menunaikan Umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu.

    Selain Malaysia, warga dari negara berikut layak mendapatkan visa pelancongan: Amerika Syarikat, Kanada, Andorra, Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Belanda, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania dan Luxembourg.

    Turut layak ialah Malta, Monaco, Montenegro, Norway, Poland, Portugal, Romania, Rusia, San Marino, Slovakia, Slovenia, Ukraine, United Kingdom, Switzerland, San Marino , Sepanyol, Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Macau), serta Jepun, Kazakhstan, Singapura, Korea Selatan, Oceania, Australia dan New Zealand.

    Sebelum ini Kementerian Pelancongan Arab Saudi mengumumkan bermula 1 Ogos, negara ini membuka kembali pintu negara kepada pelancong dan menarik balik sekatan kemasukan bagi pemegang visa pelancong.

    Namun kata kementerian itu, pelancong yang tiba perlu mendaftarkan maklumat berkaitan dengan dos vaksinasi di https://muqeem.sa/#/vaccine-registration/home, data itu direkodkan dalam aplikasi Tawakkalna dan mesti ditunjukkan semasa memasuki tempat awam.

    Sementara itu, Haramain Sharifain, sebuah blog sosial berbahasa Inggeris melaporkan semua pengunjung yang tiba di negara itu mesti memberikan bukti lengkap mengenai satu daripada empat vaksin yang dibenarkan Arab Saudi: dua dos vaksin Oxford/Astra Zeneca, Pfizer/BioNTech atau Moderna atau satu dos vaksin dihasilkan Johnson and Johnson.

    Mereka yang lengkap dua dos vaksin Sinopharm atau Sinovac akan dibenarkan masuk dengan syarat dos tambahan perlu menggunakan satu daripada empat vaksin lain yang diluluskan Arab Saudi.