Tag: video tular

  • Remaja 17 tahun mengaku salah ‘wheelie’ bersama isteri 16 tahun

    Remaja 17 tahun mengaku salah ‘wheelie’ bersama isteri 16 tahun

    SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku salah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas tuduhan melakukan aksi ‘wheelie’ semasa menunggang motosikal pada 1 Syawal lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, pertuduhan terhadap buruh kasar tersebut dibuat di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menunggang motosikal jenis Honda C100B dengan cara mengangkat tayar hadapan yang berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di sini pada jam 12 tengah hari, 22 April lalu.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum bawah peruntukan sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 sehingga RM15,000.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala remaja tersebut diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kelantan, Nor Zaimah Mohamed.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM900 dengan seorang penjamin.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak.

    Lelaki itu dan isterinya berusia 16 tahun yang membonceng motosikal menyerah diri kepada polis pada Khamis lalu selepas aksi mereka tular di laman sosial.

    Remaja perempuan yang hamil dua bulan setengah tersebut bagaimanapun dibebaskan sebagai saksi pertuduhan.

  • Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

    Menurutnya, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

    “Saya sahkan kita (polis) terima laporan dan kertas siasatan sudah dibuka.

    “Kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya, lapor Astro AWANI di sini hari ini.

    Difahamkan kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

    Sebelum ini, tiga rakaman video berdurasi sembilan saat, 56 saat dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Susulan itu, Musa menerusi ciapannya di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
    Beliau turut mengesakan, mereka yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

  • Video tular ibu dakwa terima wang BAP berbeza-beza disiasat

    Video tular ibu dakwa terima wang BAP berbeza-beza disiasat

    DAKWAAN seorang wanita yang menerima wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dalam jumlah yang berbeza-beza akan disiasat Kementerian Pendidikan (KPM).

    Menerusi kenyataan KPM memaklumkan, pihaknya telah menerima satu video yang tular dalam aplikasi TikTok tersebut.

    Menurutnya lagi, wanita berkenaan yang juga ibu kepada tiga orang anak belajar di sekolah sama mendakwa menerima jumlah bayaran BAP yang berbeza-beza.

    “KPM akan menyiasat perkara tersebut dengan kerjasama pihak yang terlibat bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan.

    “Ini supaya tindakan yang tegas dapat dilaksanakan sekiranya wujud kebenaran seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

    Sementara itu, KPM turut memohon kerjasama semua murid, ibu bapa atau penjaga membuat aduan secara rasmi melalui SISPAA KPM di https://moe.spab.gov.my.

    Selain itu, orang ramai juga boleh membuat aduan melalui telefon sepanjang waktu pejabat beroperasi di talian 03-8884 6456.

    KPM katanya, akan memastikan semua butiran pengadu akan dirahsiakan demi menjaga kebajikan pihak yang membuat aduan.

    Terdahulu, tular seorang wanita mempersoalkan tindakan seorang guru yang didakwa sengaja mengurangkan jumlah asal wang BAP.

    Berdasarkan rakaman video di TikTok itu, wanita berkenaan mendakwa guru tersebut tidak jujur apabila hanya menyerahkan RM100 sahaja kepadanya ketika hadir mengambil wang BAP bagi tiga orang anaknya.

    Kerajaan memperuntukkan BAP sebanyak RM150 kepada semua murid yang masih bersekolah dan diagihkan secara tunai pada bulan ini.

  • Video tular bukan kes culik, berebut jagaan anak

    Video tular bukan kes culik, berebut jagaan anak

    VIDEO tular pergaduhan melibatkan beberapa individu yang berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin bukan kejadian cubaan culik seperti didakwa beberapa pihak.

    Sebaliknya Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kejadian itu melibatkan perebutan hak penjagaan anak melibatkan ahli sebuah keluarga.

    Jelasnya, polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 1.30 petang yang mana seorang wanita yang juga warga emas mengadu cucunya yang berusia sembilan tahun dilarikan bekas menantu perempuannya.

    “Siasatan mendapati, video yang tular di media sosial yang pada mulanya disangka kes culik adalah kejadian berkaitan laporan yang diterima.

    “Kejadian terbabit berlaku semasa kanak-kanak itu pulang dari sekolah dan perebutan hak penjagaan ini berlaku sejak tahun 2013 selepas ibu dan bapa mangsa bercerai.

    “Proses tuntutan hak penjagaan masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut beliau berkata, pengadu turut mengalami kecederaan dalam kejadian terbabit.

    Selain itu tambah beliau, suspek turut membuat laporan polis menyatakan mangsa selamat dalam jagaannya.

    “Suspek menyerahkan sepenuhnya kes ini kepada peguamnya dan pihak polis untuk siasatan.

    “Kita turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung video terbabit memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya.

    Sejak kelmarin, tular dua video yang masing-masing berdurasi satu minit tiga puluh saat yang memaparkan pergaduhan antara beberapa individu di hadapan SK Kepala Batas.

    Menerusi video terbabit, kelihatan seorang wanita terjatuh ketika cuba mengejar seorang kanak-kanak perempuan yang dilarikan beberapa individu menaiki kereta.

    Orang ramai dilihat turut cuba membantu menghalang kenderaan terbabit daripada meninggalkan lokasi kejadian.

  • Dua lelaki tular ada 12 rekod lampau, diberkas curi kabel Telekom

    Dua lelaki tular ada 12 rekod lampau, diberkas curi kabel Telekom

    DUA lelaki nyata tidak serik melakukan kegiatan jenayah selepas ditangkap mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, kedua-dua suspek berusia 18 dan 26 tahun dengan 12 rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah harta-benda berjaya ditahan pukul 9 malam.

    Katanya, ini selepas kegiatan mereka dikesan menerusi video tular berdurasi 24 saat di media sosial Facebook semalam.

    “Video berkenaan menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru dipercayai membawa kabel yang dicuri,” katanya dalam kenyataan.

    Ashmon berkata, polis telah menerima laporan dari Telekom Malaysia Berhad berhubung kejadian curi kabel yang berlaku di tepi Jalan Keranji

    Katanya, turut dirampas ialah kabel yang dicuri kedua-dua suspek.

    “Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda,” katanya.