Tag: veteran tentera

  • Jangan layan veteran tentera macam peminta sedekah, kata MP Bersatu

    Jangan layan veteran tentera macam peminta sedekah, kata MP Bersatu

    ISU penyelarasan pencen membabitkan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tertangguh sejak 2013 perlu diselesaikan segera oleh kerajaan PH-BN.

    Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berkata, walaupun penyelarasan gaji pegawai dan anggota ATM sudah dilakukan 20 tahun lalu, namun penyelarasan itu tidak membabitkan pegawai dan anggota yang sudah pencen.

    Menurut beliau, belum ada menteri yang menerajui Kementerian Pertahanan dilihat ingin menyelesaikan isu berlarutan itu.

    “Saya nak hak mereka ini ditunaikan, mereka bukan merayu, mereka bukan meminta, mereka tidak meminta sedekah, tapi ini adalah hak mereka yang perlu ditunaikan oleh kerajaan.

    “Kita kena ingat, mereka ini, veteran ATM ini bekerja 24 jam tidak ada ‘over-time’ tidak macam orang (kerja) lain, tinggal anak isteri dan kalau berlaku apa-apa, siapa nak jaga keluarga,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu, beliau merasmikan mesyuarat agong tahunan Persatuan Veteran ATM (PVATM) Paya Besar, Pahang di Kuantan, hari ini.

    Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan pada 13 Mac lalu memaklumkan kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan itu tahun ini.

    Katanya, penyelarasan pencen untuk veteran ATM akan diusahakan dalam belanjawan tahun depan jika keadaan kewangan negara mengizinkan.

    Isu penyelarasan pencen sudah dibangkitkan sejak tahun lalu apabila Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menuntut empat perkara membabitkan veteran ATM.

    Empat perkara dituntut adalah penyelarasan pencen, tempoh perkhidmatan, pengampunan kepada pegawai atau anggota dijatuhkan hukuman dan Pencen Hilang Upaya (PHU).

    Semak semula pencen hilang upaya

    Dalam pada itu Khlir turut memohon kerajaan mempertimbangkan kadar PHU yang sudah tidak disemak semula sejak tahun 2000.

    “Sudah 23 tahun kadar itu tidak disemak dan saya dimaklumkan ketika ini terdapat 272 penerima PHU, ada yang hilang kaki, hilang mata (penglihatan) naikkanlah (elaun) itu, takkan nak tunggu mereka semua mati dulu,” katanya lagi.

    Buat masa ini veteran ATM yang hilang upaya menerima PHU antara minimum RM500 hingga RM2,000 maksimum.

    Khlir bagaimanapun memuji Mohamad yang disifatkan sebagai menteri pertahanan yang baik dan ikhlas membantu veteran ATM.

    “Saya harap veteran ATM janganlah kutuk menteri pertahanan sekarang (Mohamad) sebab saya nampak dia seorang yang baik dan ikhlas menjalankan tugas.

    “Kalau nak kutuk menteri pertahanan sebelum ini, kutuklah, sebab saya tahulah perangai mereka,” katanya.

  • Skandal LCS: Jangan guna kebajikan veteran halalkan penyelewengan

    Skandal LCS: Jangan guna kebajikan veteran halalkan penyelewengan

    PERSATUAN Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengingatkan pihak-pihak terbabit dalam skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) supaya tidak menjadikan kebajikan veteran sebagai alasan untuk menghalalkan penyelewengan dalam proses pembinaan kapal berkenaan.

    Memetik laporan SatuBerita, Presiden Veteran TLDM, Laksamana Pertama (B)Mohamad Imran Abd Hamid berkata, tindakan tersebut amat keji dan tidak bertanggungjawab.

    “Merapu. Jangan hendak berselindung di sebalik kebajikan veteran untuk menghalalkan penyelewengan.

    “Sebenarnya, terlalu banyak syarikat kontraktor diberi ‘sub’ kepada syarikat lain menyebabkan bayaran berganda dan duit lenyap begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi SatuBerita, hari ini.

    Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diasak berhubung keputusan kerajaan memberi kontrak secara rundingan terus kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) walaupun sejarah syarikat tersebut dibawah pentadbiran terdahulu ada rekod gagal menyiapkan kapal kerana mahu menjaga kebajikan veteran.

    “(Yang sebenarnya) dia beri kepada syarikat ‘penyamun’ sebab itu jadi begini. Kalau tiada ‘arahan’ perkara ini tidak akan berlanjutan dan kapal boleh siap seperti dirancang,” tegasnya lagi.

    Mengulas lanjut, Mohamad Imran berkata, dia sendiri pernah ditugaskan menyiapkan Kapal Diraja (KD) Lekir dan KD Kasturi di Jerman pada tahun 1981 hingga 1984.

    “Tim kami berjaya menyiapkan kapal seperti dirancang tanpa ada gangguan kerana projek itu diberi secara ‘direct’ tanpa ada ‘sub’ dan ‘arahan ghaib’.

    “Bila terlalu banyak sub kontraktor, inilah jadinya. Cuba hanya diberi terus kepada BNS, pasti kapal LCS sudah ada hari ini,” katanya.

    Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

    Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

  • Veteran tentera tak sangka Timbalan Menteri Pertahanan datang rumah

    Veteran tentera tak sangka Timbalan Menteri Pertahanan datang rumah

    SEORANG veteran tentera British tidak menyangka tetamu yang datang menyantuni beliau di rumahnya di Taman Bijaya di Klang hari ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz susulan ketiadaan protokol ketika kunjungan itu.

    Abdul Aziz Mohd Amin, 83, berkata Ikmal Hisham yang datang seorang diri secara bersahaja ramah menyapa beliau dan isterinya Nor Azian Abd Wahab, 76, sebelum meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama mereka.

    “Memang saya sudah dimaklumkan Timbalan Menteri Pertahanan akan datang ke rumah tapi saya tak sangka orang yang saya leka bersembang itu adalah beliau.

    “Beliau juga bercerita tentang keadaan banjir di Kelantan dan Hulu Langat, tempat yang beliau tinjau sebelum ini sambil tidak putus-putus bertanyakan khabar saya terutama kenapa saya berkerusi roda.

    “Bila menteri datang rumah kita, sudah tentu kita suka. Orang masih ingat pada kita dan dalam ramai-ramai, kita yang terpilih untuk mereka kunjungi,” katanya pada Bernama di rumahnya hari ini.

    Lawatan itu adalah sempena program Cakna Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut disertai pegawai kanan ATM termasuk Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

    Program itu adalah antara inisiatif Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM bagi menjaga kebajikan veteran yang terkesan akibat banjir.

    Menurut JHEV, seramai 244 veteran ATM terjejas akibat bencana banjir di Selangor dan 46 orang daripada mereka adalah di daerah Klang.

    Ikmal Hisham juga berkata pada tahun lepas, sejumlah 531 mangsa banjir dibantu dengan peruntukan sebanyak RM265,000. – BERNAMA